Tuesday, August 3, 2010

CABAR TUTUP PUSAT HIBURAN DAN RUMAH URUT

KAJANG – Pas Selangor dicabar mendesak Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) memastikan pusat hiburan dan rumah urut di negeri ini ditutup sepanjang Ramadan jika ia benar-benar memperjuangkan Islam.

Tindakan ini perlu dilaksanakan oleh kepimpinan Pas yang diterajui Pesuruhjaya Pas Negeri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, sekiranya parti yang memperjuangkan Islam berkenaan betul-betul ikhlas dalam perjuangannya. Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, Pas perlu mendesak Kerajaan Negeri menutup pusat-pusat hiburan sepanjang bulan puasa ini.

“Kita mendesak dan mencabar Pas bertindak segera bagi menghormati bulan mulia itu. “Buktikan bahawa Pas tidak berada di bawah telunjuk parti komponen lain, khususnya DAP dalam menangani isu ini dan rakyat sendiri boleh menilai sejauh mana keikhlasan Pas dalam memperjuangkan Islam,” katanya ketika berucap pada Ceramah Selamatkan Selangor di Padang Awam Taman Putra Kajang, dekat sini semalam. Menurutnya, UMNO sedia berganding bahu sekiranya Pas ingin bersama-samanya mendesak Kerajaan Negeri mengeluarkan larangan operasi pusat hiburan sempena Ramadan ini bagi memastikan kesucian bulan berkenaan. “Kita sedia berganding bahu mengenai perkara ini dan komitmen kita amat jelas tapi kita kurang pasti apakah Pas sanggup berbuat demikian atau lebih suka mengambil sikap berdiam diri demi menjaga kepentingan politik bersama PR.

Ia adalah satu pandangan yang baik bagi menghormati bulan Islam setelah semua umat Islam semua berpuasa. Sepatutnya PAS yang lebih memperjuangkan islam bertegas akan menutup pusat hiburan dan rumah urut tersebut. Jangan disebabkan bagi menjaga kepentingannya ia membiarkan sahaja apa yang ada kemungkaran di depan mata.

No comments:

Post a Comment