Wednesday, December 21, 2011

PAS Kian Tergelincir Dari PerjuanganNya

KUALA LUMPUR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan partinya itu kian tergelincir daripada perjuangan asal dan berdepan kemungkinan hilang sokongan sekiranya terus meminggirkan perjuangan memartabatkan Islam.

Katanya, Pas perlu kembali ke pangkal jalan dan kepimpinan sedia ada perlu memikirkan jalan terbaik mengembalikan parti itu kepada perjuangan asal iaitu menegakkan sebuah negara Islam.

“Pas sekarang sudah dipenuhi dengan golongan profesional dan akademik yang bersifat sekular berbanding sebelum ini yang menyaksikan parti ini dikuasai golongan ulama.

“Saya berjuang untuk memastikan matlamat Pas diletakkan kembali di landasan asalnya bagi memastikan semangat perjuangan Islam itu menjadi teras dalam perjuangan Pas,” katanya pada sidang media di kediamannya, semalam.

Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berkata, konsep Negara Berkebajikan sepatutnya tidak perlu menjadi pegangan Pas ketika ini kerana banyak negara lain dalam dunia mempraktikkan konsep sama.

"Tetapi, untuk meletakkan asas negara Islam, Pas memerlukan ulama yang dapat menggarap Islam dalam konteks kehidupan moden dan saya melihat ulama Pas terdahulu berjaya membawa Pas ke arah ini.

“Saya secara peribadinya mahu mempertahankan Pas (berjuang membentuk negara Islam) dan saya yakin hampir ke semua ahli di dalam parti ini menyokong usaha yang saya lakukan selama ini,” katanya.

Hasan berkata, beliau mempunyai bukti sokongan terhadap Pas semakin berkurangan sejak kebelakangan ini rentetan situasi semasa parti.

“Penyokong (Pas) bukan seperti lembu yang dicucuk hidung, mereka adalah insan yang berbudaya, bertatasusila dan beragama dan terbukti mempunyai kekuatan intelektual dan laras berfikir yang matang dan mesti dihormati.

“Perjuangan saya turut mendapat respons positif Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Tantawi, mereka menyokong usaha saya meletakkan semula Pas di landasan awal,” katanya.

Mengenai dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini bahawa beliau terjerat dalam agenda Umno, Hasan berkata: "Mustafa dilihat terlalu bongkak dan sombong kerana menggunakan jawatannya untuk memfitnah saya dan jika benar buktikan saya terperangkap dengan Umno dan saya terlingkung dalam agenda untuk melemahkan Pas.”

Ditanya sama ada kerjasama dengan DAP dan PKR menjadi penghalang untuk Pas kembali kepada yang asal, beliau yakin perkara itu akan dibincangkan semula oleh kepimpinan tertinggi termasuk memikirkan semula status Pas dalam Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Hasan mendesak partinya mengenakan tindakan disiplin terhadap Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib berhubung kenyataan yang mendahului kepimpinan Pas Pusat berhubung pengumuman pencalonan bagi Pilihan Raya Umum ke-13.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Ulusan : Perlu ada usaha kuat untuk menjadikan asas perjuangan seperti kata Dr Hassan Ali tersebut.

PAS BANYAK BERGANTUNG KEPADA DAP - KHALID

SHAH ALAM 20 Dis. – Pas hari ini mengakui parti itu banyak bergantung kepada DAP dalam usaha membantu memulihkan imej mereka daripada label ekstremis dan pelampau sebelum ini.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad berkata, sumbangan DAP itu banyak membantu Pas mendapatkan keyakinan di kalangan bukan Islam terhadap parti itu.

Justeru katanya, Pas sedia membantu DAP untuk memulihkan imej parti itu yang dilabelkan sebagai parti chauvinis bagi memastikan mereka sama-sama dapat memenangi pilihan raya.

“DAP banyak bantu Pas bebas daripada imej ekstremis, pelampau, nak potong tangan orang (hudud) dan paksa orang masuk Islam. Kita (Pas) juga bantu DAP.

“Nak menang pilihan raya, Pas mesti bebas daripada imej pelampau dan DAP bebas daripada imej chauvinis,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan DAP untuk meletakkan calon mereka dari kalangan orang Melayu untuk bertanding di kawasan majoriti kaum itu,Khalid berkata, pihaknya menganggap ia adalah usaha DAP membebaskan diri mereka daripada imej berkenaan.

Bagaimanapun katanya, masalah tidak timbul kerana cadangan tersebut tidak mendapat persetujuan daripada pihak Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana dibimbangi akan dieksploitasi oleh UMNO.

“Kita (Pas) faham niat DAP itu. Mereka bukan nak dapat kerusi MB (Menteri Besar) dengan letak calon Melayu untuk bertanding atas tiket parti itu,” jelasnya.

Ulasan : Ini jelas menampakkan Pas boleh diperalatkan oleh DAP dengan sewenang-wenangnya untuk mendapatkan kuasa dan mereka boleh menchancurkan orang melayu di Tanah Air Melayu ini.

Monday, December 19, 2011

ISRAEL MASIH BUKA PENEMPATAN DI BAITULMAQDIS

BAITULMAQDIS 19 Dis. - Kementerian Perumahan Israel semalam membuka tender untuk pembinaan lebih 1,000 unit rumah di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Jurucakap kementerian itu berkata, lebih 500 rumah baru dibina di timur bandar Har Homa manakala 528 lagi dibina di dua kawasan Tebing Barat, iaitu 348 di Bietar dan 180 lagi di Givat Ze’ev.

Katanya, pembinaan unit baru itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Palestin memohon keanggotaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada September lalu. - AFP

Ulasan : Itulah perangai Israel yang masih memperdaya dan meruntuhkan umat islam di Negara Plastin.

PARTI PAS PERLU NYATAKAN PENDERIAN TERHADAP DAP

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Pemimpin utama Pas perlu menyatakan pendirian berhubung strategi DAP untuk meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti kaum itu dalam pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tindakan Pas yang berdiam diri seolah-olah parti itu akur dan terus mengalah kepada helah dan agenda politik DAP.

"Pas perlu perjelas isu ini kerana apa yang mahu dilakukan DAP itu satu tindakan yang cukup mengelirukan.

"Mungkin dengan meletakkan calon Melayu mereka dapat menyembunyikan latar belakang parti yang bersifat perkauman," katanya pada sambutan Maal Hijrah anjuran Kelab Jaguh di sini, hari ini.

Hadir sama Penaung Kelab Jaguh, Datuk Ibrahim Ali bersama ahli kelab yang merupakan anak-anak negeri Kelantan di perantauan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut mendedahkan tindakan DAP kini mengatur langkah memikat segelintir orang Melayu untuk ditawarkan sebagai calon bertanding.

"Saya difahamkan pemimpin-pemimpin DAP sudah buat rundingan dengan ahli-ahli korporat dan profesional Melayu.


"Mereka yang terdiri daripada doktor dan peguam ini telah ditawar peluang untuk menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan helah dan memahami agenda sebenar perjuangan DAP.

"Kalau kita tahu sejarah, DAP ini satu parti yang sangat perkaumaan.

Ulusan :Orang melayu seharusnya sedar tentang kepentingan orang melayu itu sendiri yang perlu dipertahankan dari kaum lain.

Wednesday, December 14, 2011

CUEPACS AKAN TENTUKAN KEDUDUKAN SBPA

SUNGAI PETANI 14 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membuat keputusannya esok sama ada menerima atau menolak tawaran skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, keputusan itu akan diputuskan oleh 135 ahli persatuan gabungan CUEPACS dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang akan menghadiri kongres penuh di Hotel Brasmana, Kuala Perlis.

"Kongres ini khusus membincangkan SBPA kerana taklimat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada kami hanya menyentuh perkara dasar.

“Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada anggota-anggota CUEPACS negeri Kedah di sini hari ini.

Sehubungan itu, anggota-anggota CEUPACS diminta tidak menandatangani surat tawaran JPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya SBPA.

Beliau berkata, tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi oleh JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.

"Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas,” kata Omar.

Katanya, Cuepacs akan meminta JPA menyertainya dalam jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada penjawat awam mengenai SBPA. - BERNAMA

Ulasan : Ia satu keputan bijak yang dibuat oleh Cuepacs dalam menentukan penjawat awam di negara ini. Kita seharus menyokong niat baik Cuepacs tersebut.

Isu NFC Jangan Bebankan UMNO - Syed Ali

KUALA LUMPUR 13 Dis. — Kontroversi melibatkan syarikat Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) tidak wajar dibiarkan membebankan UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Mengingatkan Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail supaya tidak membebankan UMNO dengan isu syarikat itu, beliau berkata sikap berdiam diri dan enggan tampil menjawab segala tuduhan yang dilemparkan pembangkang terutama menerusi laman-laman blog, boleh mengelirukan rakyat.

Katanya, kalau benar tiada penyelewengan, buatlah penjelasan terbuka secara terperinci dan kalau salah, ambillah tanggungjawab kerana wang terlibat adalah hak rakyat.

"Hari ini orang bercakap NFC itu ada kaitan dengan UMNO, parti dituduh lindungi penyelewengan dan sebagainya, tentulah tidak adil kerana UMNO tiada kaitan dengannya.

"Kita di bawah (peringkat cawangan dan bahagian) diserang dengan macam-macam tuduhan pasal NFC, malah ada yang kata UMNO bela lembu untuk kepentingan Shahrizat (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil), apa yang kita nak jawab dan siapa yang perlu bertanggungjawab?" katanya dalam entri terbaru laman blog Umnocheras.blogspot.com.

Oleh itu, katanya, jalan terbaik ialah Mohamad Salleh perlu berterus-terang manakala isteri beliau pula, Shahrizat perlu segera melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat.

Paling sedih, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi sasaran pembangkang apabila dilemparkan tuduhan kononnya melindungi keluarga Shahrizat.

"Mengapa pula UMNO, Najib dan Muhyiddin yang jadi sasaran, takkan kerana isu NFC dan Shahrizat pula pegang jawatan Ketua Wanita UMNO, mereka berdua dipaksa memikul biawak hidup, tentulah tidak adil dan kejam persepsi sedemikian," katanya.

Beliau berkata itulah kaitan yang sedang hebat disebarkan pembangkang dalam usaha mereka menjatuhkan kerajaan BN.

Syed Ali mengulas desakan Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi terhadap Mohamad Salleh agar lebih agresif menjawab tuduhan terbaru mengenai projek NFC bagi mengelak rakyat berterusan menyalahkan kerajaan.

Puad berkata, tuduhan terbaru berhubung pembelian tanah di Putrajaya, menerima elaun RM100,000 dan memberi elaun RM40,000 kepada anak sendiri serta pembelian kereta mewah, yang kesemuanya menggunakan dana syarikat, perlu dijawab segera bagi mengelakkan kekeliruan selain turut memberi kesan negatif terhadap kerajaan.

Antara yang turut bersuara meminta Shahrizat meletak jawatan ekoran isu ini ialah Anggota Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghafur Salleh dan timbalan setiausaha Pemuda MCA Loh Chew Jun.

Ulasan : Penjelasan dari CEO,NFC perlu bagi memperjelaskan isu ini jangan dianggap ia akan memberikan masalah kepada UMNO yang banyak dikeritik oleh pihak pembangkang pada masa ini.

Tuesday, December 13, 2011

NEGARA KEBAJIKAN PARTI PAS

SHAH ALAM – Dokumen 57 halaman bertajuk Negara Berkebajikan Tawaran Pas, membawa 10 agenda bagi merealisasi Negara Berkebajikan didahului agenda pertama, mahu mewujudkan kerajaan beramanah, adil dan bersih.

Menerusi konsep itu, Pas mahu memperkukuh sistem federalisme, mengkaji semula peruntukan Perlembagaan untuk memperkasa amalan pemisahan kuasa, menjamin pilihan raya bersih dan adil, memulihkan agensi-agensi awam seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara dan PDRM.

Konsep kedua, iaitu masyarakat penyayang, aman dan bersatu pula menekankan untuk menambah badan masyarakat madani dan organisasi perniagaan sosial, menyemak semula jumlah pengurangan dan pelepasan cukai, mewujudkan pasukan polis bantuan di bawah pihak berkuasa tempatan, menyemak dasar berkaitan perpaduan nasional dan menubuhkan Majlis Dialog Kebangsaan.

Di bawah konsep ketiga, iaitu mewujudkan ekonomi mampan, seimbang dan saksama, Pas berhasrat menyusun keutamaan pembangunan supaya pertumbuhan tidak diukur berdasar pembinaan dan infrastruktur mega mewah, tetapi selaras matlamat dan strategi pembangunan.

Agenda keempat iaitu pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai, inisiatif ditawarkan ialah memberi yuran pengajian percuma kepada anak luar bandar berpendapatan RM1,500 ke bawah dan keluarga bandar berpendapatan RM2,500 ke bawah memasuki universiti awam.

Bagi agenda kelima iaitu perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai, ia mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional bagi kumpulan rakyat tidak mempunyai skim perlindungan kesihatan daripada majikan.

Bagi agenda keenam, iaitu agenda kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat menggariskan inisiatif memperkukuh dan memperkemas pengurusan zakat, wakaf dan lain-lain dengan memberi lebih kuasa dan peranan kepada masjid sebagai pusat sehenti kebajikan masyarakat Muslim setempat.

Agenda ketujuh pula memupuk gaya hidup kekeluargaan yang memenuhi fitrah semula jadi manusia melalui kempen berterusan.

Agenda kelapan pula meletakkan aspek belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela dengan mengadakan kuota minimum 15 peratus bagi tenaga kerja di semua peringkat dan bidang bagi menjunjung dan menginsafi hakikat bahawa setiap generasi berhak dan bertanggungjawab ke atas aspirasi dan kemaslahatannya sendiri serta bagi memastikan proses peralihan generasi berlaku secara sihat dan teratur.

Agenda kesembilan mewujudkan kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia.
Agenda terakhir iaitu mewujudkan alam sekitar segar, terpelihara dan lestari akan menguatkuasakan akta dan peraturan berkaitan pemuliharaan alam sekitar dan menggubal peruntukan tertentu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Ulasan : Itulah janji parti PAS yang mereka mahukan negara kebajikan tetapi UMNO telah lamame laksanakan negara kebajikan tersebut dalam membantu rakyat.

ISU NABI : RAKYAT KELANTAN KECEWA

Isu Nabi: Rakyat Kelantan kecewa

BACHOK 12 Dis. - Rakyat Kelantan meminta Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat bersikap terbuka dan bertanggungjawab menyelesaikan isu seorang penceramah yang dikatakan menyamakan beliau dengan nabi tanpa memberi alasan letih untuk menyatakan perkara sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Jelawat, Mohd. Rashidi Ramli berkata, tindakan Mursyidul Am Pas itu bagi menjawab isu berkenaan baru-baru ini, mengecewakan rakyat.

Beliau berkata, tindakan menuding jari kepada media tidak sesuai dengan kedudukan beliau selaku pemimpin utama di Kelantan, lebih-lebih lagi isu berkenaan turut membabitkan Nik Aziz sendiri yang sepatutnya diselesaikan secara profesional dan tanpa beremosi.

"Letih bukan perkataan yang sesuai untuk dilafazkan oleh pemimpin. Isu itu sebenarnya sengaja diabaikan oleh pemimpin Pas kerana ia mungkin sebahagian daripada agenda terakhir parti itu untuk memancing undi rakyat Kelantan pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.