KUALA LUMPUR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan partinya itu kian tergelincir daripada perjuangan asal dan berdepan kemungkinan hilang sokongan sekiranya terus meminggirkan perjuangan memartabatkan Islam.
Katanya, Pas perlu kembali ke pangkal jalan dan kepimpinan sedia ada perlu memikirkan jalan terbaik mengembalikan parti itu kepada perjuangan asal iaitu menegakkan sebuah negara Islam.
“Pas sekarang sudah dipenuhi dengan golongan profesional dan akademik yang bersifat sekular berbanding sebelum ini yang menyaksikan parti ini dikuasai golongan ulama.
“Saya berjuang untuk memastikan matlamat Pas diletakkan kembali di landasan asalnya bagi memastikan semangat perjuangan Islam itu menjadi teras dalam perjuangan Pas,” katanya pada sidang media di kediamannya, semalam.
Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berkata, konsep Negara Berkebajikan sepatutnya tidak perlu menjadi pegangan Pas ketika ini kerana banyak negara lain dalam dunia mempraktikkan konsep sama.
"Tetapi, untuk meletakkan asas negara Islam, Pas memerlukan ulama yang dapat menggarap Islam dalam konteks kehidupan moden dan saya melihat ulama Pas terdahulu berjaya membawa Pas ke arah ini.
“Saya secara peribadinya mahu mempertahankan Pas (berjuang membentuk negara Islam) dan saya yakin hampir ke semua ahli di dalam parti ini menyokong usaha yang saya lakukan selama ini,” katanya.
Hasan berkata, beliau mempunyai bukti sokongan terhadap Pas semakin berkurangan sejak kebelakangan ini rentetan situasi semasa parti.
“Penyokong (Pas) bukan seperti lembu yang dicucuk hidung, mereka adalah insan yang berbudaya, bertatasusila dan beragama dan terbukti mempunyai kekuatan intelektual dan laras berfikir yang matang dan mesti dihormati.
“Perjuangan saya turut mendapat respons positif Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Tantawi, mereka menyokong usaha saya meletakkan semula Pas di landasan awal,” katanya.
Mengenai dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini bahawa beliau terjerat dalam agenda Umno, Hasan berkata: "Mustafa dilihat terlalu bongkak dan sombong kerana menggunakan jawatannya untuk memfitnah saya dan jika benar buktikan saya terperangkap dengan Umno dan saya terlingkung dalam agenda untuk melemahkan Pas.”
Ditanya sama ada kerjasama dengan DAP dan PKR menjadi penghalang untuk Pas kembali kepada yang asal, beliau yakin perkara itu akan dibincangkan semula oleh kepimpinan tertinggi termasuk memikirkan semula status Pas dalam Pakatan Rakyat.
Dalam pada itu, Hasan mendesak partinya mengenakan tindakan disiplin terhadap Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib berhubung kenyataan yang mendahului kepimpinan Pas Pusat berhubung pengumuman pencalonan bagi Pilihan Raya Umum ke-13.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Ulusan : Perlu ada usaha kuat untuk menjadikan asas perjuangan seperti kata Dr Hassan Ali tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment