Friday, August 28, 2009

JADIKAN MASJID SEBAGAI PUSAT PERPADUAN : TENGKU ABDULLAH


KUALA LIPIS: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, mahu masjid dijadikan sebagai pusat perpaduan, menimba ilmu dan perhimpunan masyarakat setempat selain sebagai tempat beribadat. Selain itu, baginda juga mahu jawatankuasa masjid mengatur lebih banyak aktiviti keagamaan yang dapat menarik minat golongan belia untuk menyertainya. "Masjid yang cantik, besar dan dibina dengan peruntukan besar jika tidak diimarahkan dengan aktiviti dan kegiatan seperti menimba ilmu, maka ia akan membazir," titah baginda pada majlis perasmian Masjid Kampung Bukit Betong dekat sini hari ini.
Baginda bertitah, peranan ahli jawatankuasa masjid bukan sekadar menentukan sembahyang lima waktu atau solat Jumaat seminggu sekali tetapi perlu merancang aktiviti seperti kelas al-Quran, fardu ain, ceramah agama dan sebagainya. "Jawatankuasa masjid juga berperanan mengatur jadual bagi mengimarahkan masjid kerana hanya cara tersebut ia boleh menarik kariah terutamanya golongan muda ke masjid," titah baginda. Titah Tengku Abdullah, selain menjaga harta benda dan memastikan masjid sentiasa bersih, jawatankuasa masjid juga perlu menghindarkan tempat suci itu daripada menjadi gelanggang politik.
"Adalah mendukacita sekiranya rumah Allah itu disalahguna untuk kepentingan politik atau lain-lain tujuan kerana matlamat kerajaan membina masjid adalah untuk memberikan kemudahan kepada penduduk beribadat," titah baginda. Tengku Abdullah turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa mematuhi ajaran Al-Quran dan hadis serta mengukuhkan perpaduan di kalangan sendiri kerana hanya dengan cara itu umat Islam boleh menjadi kuat. - Bernama

komen : Dengan perasmian Masjid Baru Bukit Betong ini dapat merapatkan perpaduan jemaah
membuat solat berjemaah. Tidak kira fahaman kita seharus bersatu dalam rumah Allah tersebut.

IDRIS JALA DILANTIK SEBAGAI MENTERI



Oleh Kamarulzaidi Kamis kamarulzaidi@bharian.com.my


Bos MAS diberi tugas pantau, kawal KPIKUALA LUMPUR: Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Seri Idris Jala (kanan), dilantik sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan di Putrajaya semalam, berkata Idris juga dilantik sebagai Ketua Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), sebuah badan baru yang ditubuhkan bagi memantau dan mengawal pelaksanaan inisiatif Indeks Prestasi Utama (KPI) peringkat nasional dan menteri.
Najib berkata, beliau memaklumkan kepada kabinet mengenai pelantikan Idris pada Bengkel KPI Kabinet di Putrajaya pagi semalam dan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. "Idris akan mengangkat sumpah sebagai senator pada tarikh yang ditetapkan kelak. Sebagai Ketua Eksekutif Pemandu, Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi peringkat menteri.
"Sementara itu, Koh akan meneruskan tugas beliau dalam merangka dan melaksanakan keseluruhan dasar dan strategi mengenai pengurusan prestasi serta transformasi organisasi dengan tumpuan khusus terhadap Bidang Hasil Utama Nasional (N-KRA)," katanya. Susulan itu, Koh akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemandu yang akan dianggotai Ketua Setiausaha Negara serta beberapa pegawai kanan lain. Idris pula akan menumpukan terhadap perkongsian kepakaran dan pengalamannya di Shell dan MAS serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam kerajaan Persekutuan. "Idris, yang akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pemandu, bakal bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI) dan menasihat di KRA peringkat menteri (M-KRAs) dan M-KPI.
"Idris dipilih berdasarkan pengalamannya menerapkan KPI ketika mengetuai MAS," katanya ketika dihubungi Berita Harian. . Pada 1 Disember lalu, kontrak perkhidmatan Idris dilanjutkan bagi tempoh tiga tahun sehingga 30 November 2011 susulan prestasi beliau yang memberangsangkan. Idris berjaya memulihkan MAS dalam tempoh kurang dua tahun, setahun lebih awal daripada yang dijadualkan dengan mencatatkan keuntungan lebih RM851 juta pada 2007. Sebelum menyertai MAS, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell. Antara 2002 dan 2005, Idris adalah pengarah urusan Shell MDS (Malaysia) dan naib presiden Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia). Antara 2000 dan 2002, Idris adalah naib presiden, pemasaran runcit, Shell International. Beliau juga naib presiden perundingan pembangunan perniagaan yang mengetuai pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan. Antara 1998 dan 2000, Idris adalah pengarah urusan Shell Sri Lanka, di mana beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di negara itu. Idris adalah lulusan ijazah Universiti Sains Malaysia dan sarjana dari Warwick University, United Kingdom.
komen : Perlantikan Datuk Seri Idris Jala diberikan kepercayaan penuh oleh Datuk Seri Najib
bagi memudi KPI kerana pengalaman beliau dengan MAS telah berjaya memulihkan agensi tersebut. Semoga kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri akan dimunafaat dan membuahkan hasil kepada Negara dan Kerajaan.

Thursday, August 27, 2009

MENGKHIANATI ISLAM

ADA tanggapan sebahagian orang bahawa janganlah ditegur Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat walaupun beliau mengeluarkan kenyataan salah dan liar. Diamkan sahaja.
Kononnya jika ditegur juga maka lagi kuat penyokong Pas bertindak balas kerana imejnya yang menonjol sebagai Tok Guru. Dengan kata lain, Nik Aziz tidak boleh disentuh sama sekali.
Apakah Awang perlu sama terikat dengan tanggapan itu sedangkan Nik Aziz makin banyak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar? Sudah tentu tidak. Awang tidak boleh berdiam. Yang salah mesti disanggah apatah lagi melibatkan soal kepentingan Islam.
Berdasarkan maklumat yang Awang terima, sebahagian ahli dan penyokong Pas juga tidak senang dengan satu demi satu kenyataan liar Nik Aziz yang hanya memburukkan imej parti itu. Kata kesat beliau ''pergi jahanam sama UMNO" dan kenyataannya bahawa tidak salah DAP menghina Islam, cukup membingungkan.
Belum reda isu itu beliau menyatakan pula penyokong UMNO tidak akan masuk syurga, yang kemudian mengundang bantahan umat Islam termasuk Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Malah ada pemimpin Pas antaranya Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib secara terbuka tidak bersetuju dengan Nik Aziz. Menurut Harun, peluang masuk syurga adalah urusan Allah dan ia tidak bergantung kepada parti yang disertai.
Dalam kes Nik Aziz, Awang percaya beliau tidak berniat untuk menghina dan memudaratkan Islam tetapi tindak-tanduknya sudah dilihat begitu. Pada pengamatan Awang, masalah dengan Nik Aziz adalah ego dan riaknya sebagai seorang ulama. Itulah juga masalah dengan segelintir ulama, kerana ego mereka sanggup memperjudikan Islam.
Untuk berlaku adil, buatlah kajian tentang Nik Aziz sejak beliau menjadi Menteri Besar. Berapa banyak kenyataannya yang meragukan dan tidak berasaskan ajaran Islam sebenar?
Dalam pada itu, Awang ingin bertanya Nik Aziz tentang peranan yang UMNO mainkan selama ini dalam menegakkan Islam bermula dengan menulis perlembagaan negara yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi sehinggalah kepada pembangunan syiar Islam. Masyarakat Islam dunia turut mengakui dan mengiktiraf Malaysia sebagai model negara Islam. Kelahiran Tabung Haji, Universiti Islam, Bank Islam, instrumen kewangan Islam, insurans Islam, sekolah-sekolah agama dan banyak lagi yang kerajaan BN pimpinan UMNO telah lakukan atas nama pembangunan Islam.
Itu belum bercakap tentang pembinaan puluhan ribu masjid dan surau. Di Kelantan sendiri, lebih 500 masjid dibina oleh kerajaan UMNO. Menurut maklumat hanya sebuah masjid yang kerajaan Pas bina. Apa maknanya ini semua sedangkan Nik Aziz sudah memerintah Kelantan lebih tiga penggal? Apakah usaha UMNO ini tidak Islamik dan penyokong UMNO dinafikan ke syurga berdasarkan tafsiran beliau?
Lebih ramai bukan Islam memeluk agama Islam di negara ini bukannya kerana peranan Pas apatah lagi Nik Aziz sebaliknya kerana UMNO. Sama ada suka atau tidak untuk diakui, itulah hakikatnya
Lebih ramai bukan Islam tertarik menyertai Islam di bawah teraju kepimpinan UMNO terutama ketika zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir Mohamad yang melaksanakan pendekatan sederhana dan progresif.
Dalam kaitan ini, UMNO yang lebih dominan tentu ada kelemahan yang boleh diperbaiki dan Pas yang jauh tercicir dalam sumbangan kepada pembangunan Islam, boleh dilonjakkan pencapaiannya. Carilah titik penyatuan terutama dalam isu-isu kepentingan umat Islam. Tetapi menghina, memburukkan dan memperlekehkan sesama orang Islam bukan caranya. Apa pun pintu taubat dan memohon kemaafan masih terbuka luas untuk kita semua lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini. Itu pun jika kita tidak dicengkam ego dan riak.

komen : Berfikirlah mana yang baik dan hayatilah agama islam yang sebenarnya.

EKONOMI MALAYSIA SUKU KEDUA KUNCUP 3.9 PERATUS

Oleh Zainab Mohd Yatimmailto:Yatimzmy@bharian.com.my

Negara dijangka catat pertumbuhan positif suku keempatEKONOMI Malaysia menguncup 3.9 peratus pada suku kedua lalu, jauh lebih baik berbanding penguncupan 6.2 peratus dalam suku pertama. Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata prospek pada suku ketiga ini terus bertambah baik dan ekonomi negara dijangka kembali mencatat pertumbuhan positif dalam suku keempat.
Beliau berkata, ini disandarkan kepada jangkaan yang sektor domestik akan terus meningkat berikutan akses kepada pembiayaan yang terbuka luas. Pasaran kewangan juga, katanya dijangka kekal stabil serta menggalakkan, pasaran buruh terus meningkat, manakala sektor isi rumah serta perniagaan yang tidak terjejas akan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam separuh kedua ini. Berikutan itu, Zeti berkata, kerajaan dijangkakan membuat semakan semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi seluruh tahun ini ketika pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober ini.
Zeti berkata, berikutan prestasi pada suku kedua itu, ekonomi negara hanya menguncup 5.1 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Beliau menjelaskan, prestasi lebih baik pada suku kedua lalu disumbangkan terutama oleh perbelanjaan awam lebih tinggi serta pertumbuhan positif dalam penggunaan swasta.
Dalam tempoh dikaji, katanya, semua sektor ekonomi mencatat prestasi lebih baik dengan sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan 1.6 peratus berbanding penguncupan 0.2 peratus dalam suku pertama, manakala kemerosotan dalam sektor perkilangan pula menyederhana pada 14.5 peratus daripada 17.9 peratus dalam suku pertama. "Pertumbuhan sektor pembinaan pula bertambah kukuh pada kadar 2.8 peratus daripada 1.1 peratus kerana mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan fiskal," katanya. Zeti berkata, sektor pertanian kembali pulih dengan mencatat pertumbuhan 0.3 peratus berbanding penguncupan 4.9 peratus dalam suku pertama, manakala perlombongan merosot pada kadar lebih sederhana iaitu 2.6 peratus daripada 5.2 peratus berikutan kemerosotan pengeluaran gas asli dan minyak mentah. Keseluruhannya, Zeti berkata, pertumbuhan ekonomi terus dipengaruhi oleh kemerosotan ketara dalam permintaan luar negara dan aktiviti pelaburan swasta yang lemah. Dalam tempoh suku kedua itu juga, katanya eksport bersih barangan dan perkhidmatan benar negara merosot 0.7 peratus akibat daripada ekonomi global yang terus lembap. Bagaimanapun, katanya aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada asas tunai dalam suku kedua lalu adalah lebih tinggi pada RM10.4 bilion berbanding RM6.8 bilion pada suku pertama dan ini mencerminkan aliran masuk modal ekuiti yang lebih tinggi. FDI bersih katanya, berjumlah RM6.7 bilion, meningkat berbanding RM2.1 bilion dalam suku pertama dan disalurkan terutama ke dalam sektor minyak dan gas serta perkilangan. Sementara itu, Zeti berkata, rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah RM322.9 bilion setakat 30 Jun lalu, memadai untuk membiayai sembilan bulan import tertangguh dan ini mencerminkan 3.8 kali hutang jangka pendek negara

komen : Diharapkan ekonomi akan pulih, rakyat bersatu dibawah kepimpinan YAB Datuk Seri Najib Tuan Abd Razak Perdana Menteri ke 6. Dengan negara setabil rakyat akan bernaum di bawah pertadbirannya.

Wednesday, August 26, 2009

SPRM BUKAN MAINAN POLITIK

Oleh Johari Ibrahimmailto:Ibrahimjoib@bharian.com.my

NAJIB bersama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlan ketika mengadakan sidang media
Suruhanjaya usah dipersalah hanya berdasarkan kes Teoh: Najib PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan institusi yang boleh dijadikan 'permainan' untuk berpolitik kerana ia memberi kesan negatif kepada sebuah badan penting mencegah rasuah di negara ini. Perdana Menteri berkata, SPRM tidak wajar dipersalahkan hanya berdasarkan satu kes yang membabitkan kematian Teoh Beng Hock kerana suruhanjaya itu sendiri tidak mahu perkara itu berlaku. "Kita tidak boleh cepat menyalahkan SPRM atau menjadikan SPRM mainan politik atas sentimen kerana ini boleh membawa kesan negatif kepada satu badan yang kita harap akan menjadi badan penting untuk mencegah rasuah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2009 di Kementerian Kewangan, di sini semalam.
Perdana Menteri diminta mengulas situasi SPRM yang dijadikan sasaran kritikan berterusan termasuk oleh pembangkang berikutan kematian Teoh. Akibat kritikan itu, pegawai kanan SPRM diugut bunuh serta kenderaan agensi itu dilontar dengan bom molotov di Klang, baru-baru ini. Najib berkata kerajaan masih yakin dengan kewibawaan SPRM sebagai agensi penting untuk memerangi gejala rasuah dan memastikan urus tadbir negara berjalan dengan baik. Beliau berkata kerajaan telus dalam kes berkenaan dengan mengadakan inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh serta menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk meneliti prosedur siasatan SPRM.
"Kalau ada yang tidak memuaskan atau boleh disabitkan dengan soal 'civil liberties' kerajaan akan membuat langkah pembetulan. "Kita telus dalam sebarang hal dan harap dengan keterbukaan ini rakyat memahami kerajaan tidak ada niat nak tutup kelemahan yang berlaku di mana-mana tempat," katanya.

komen : Sikap pembangkang sengaja mengambil kesempatan diatas kematian Teoh Beng Hock,
menyebabkan SPRM menjadi sasaran mereka. Banyak kes yang melibat penjawat awam, ahli politik dikenakan tindakan di dalam kes yang telah dihakimi. Cuma sikap pembangkang jika kena kepada mereka, mereka mencari kesalahan orang lain terutama kerajaan yang dipersalahkan. Teruskan kerja SPRM jangan dijadikan alasan untuk menghentikan siasatan keatas pihak pembangkang yang melakukan kesalahan di dalam negara ini.

Monday, August 24, 2009

JALAN SG. KOYAN KE CAMERON HIGHLANDS

Oleh ALI MAHMOODutusanpahang@utusan.com.my

CAMERON HIGHLANDS 23 Ogos - Rakyat negeri ini tidak lagi perlu ke Tapah, Perak atau Gua Musang, Kelantan untuk ke Cameron Highlands apabila projek pembinaan Jalan Sungai Koyan dekat sini ke kawasan peranginan itu siap sepenuhnya Mac tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, apabila siap, jalan sepanjang 79.1 kilometer bernilai RM806 juta itu akan menjadi laluan masuk utama negeri ini ke Cameron Highlands.
''Apabila siap nanti, rakyat Pahang tidak lagi perlu membazirkan masa mengunjungi daerah itu sama ada melalui Simpang Pulai, Ipoh dan Tapah, Perak atau melalui Gua Musang, Kelantan.
''Jalan ini yang dibina menerusi empat pakej sejak 2002 bakal menjana dan memberi peluang ekonomi kepada penduduk yang tinggal di sepanjang laluan terutama kepada masyarakat Orang Asli dalam Parlimen Cameron Highlands," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau perkembangan pembinaan jalan tersebut dari Sungai Koyan sehingga Ringlet dekat sini semalam.
Menurut Adnan, jalan Sungai Koyan-Cameron Hihglands yang dibina menerusi empat pakej itu dapat memendekkan perjalanan sejauh 80 kilometer dari Kuantan ke Tanah Rata.
Selepas kajian disiapkan pada 1996, beliau memberitahu, pembinaan pakej pertama jalan itu dimulakan pada 1999 dari Sungai Koyan ke Pos Betau sepanjang 19 kilometer membabitkan perbelanjaan RM52 juta dan siap pada 2002.
''Pakej kedua melibatkan pembinaan jalan sepanjang 22 kilometer bermula dari Pos Betau ke Bukit Petubung dimulakan pada 2002 dan siap pada 2005 dengan kos pembinaan RM151 juta.
''Sementara itu pakej ketiga dari Bukit Tetubung ke Sungai Susu menelan belanja RM232 juta mula dibina pada 2004 dan siap pada tahun lalu melibatkan lalua 19.5 kilometer dan kos pembinaan jalan ini agak tinggi kerana membabitkan 10 buah jambatan," kata beliau.
Tambah Adnan, pakej terakhir dari Jalan Kampung Susu-Ringlet sepanjang 18.6 kilometer itu dimulakan pada 2005 dan kini telah 80 peratus siap dan hanya lapan kilometer lagi masih dalam pembinaan membabitkan kos RM173 juta.
Apabila siap nanti, katanya, ia bukan sahaja memendekkan masa perjalanan tetapi turut membuka peluang ekonomi seperti gerai makanan dan kraftangan kepada pelancong yang melalui jalan tersebut.

komen : Apabila siap jalan ini nanti ia akan dapat memajukan pekan Felda Sg Koyan, Daerah Lipis. Orangramai tidak perlu lagi melalui jalan Tapah, Ipoh Perak dan melalui Logging, Gua Musang, Kelantan. Mereka boleh terus melalui Felda Sg Koyan, Pos Betau, perkampungan Orang Asli untuk terus ke Ringlet, Cameron Highlands. Dengan ini ianya akan memajukan pekan Sg Koyan apabila ramai pengunjung datang melalui jalan ini ke Cameron Highlands.

Wednesday, August 19, 2009

MASUK SYURGA TAK KIRA PARTI KATA HARUN TAIB

KUALA TERENGGANU 18 Ogos – Ketika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan penyokong UMNO tidak layak masuk syurga, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib (gambar) pula mempunyai pandangan berbeza berhubung perkara itu.
Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berpendirian, peluang masuk syurga adalah urusan dan keizinan Allah dan ia tidak semestinya bergantung kepada mana-mana parti yang disertai.
Jelasnya, setahu beliau, umat Islam yang sentiasa mengamalkan kebaikan, bertakwa selain ikhlas dalam mematuhi segala ajaran Islam, mereka akan masuk syurga dengan izin Allah.
“Sesiapa saja (umat Islam) yang mengamalkan ajaran Islam dan yakin dengan ajaran itu selain mengamalkannya dengan jujur, ikhlas, maka dengan izin Allah mereka akan masuk syurga.

komen : Benar kata Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak Pas syurga bukan ditentukan oleh Nik Aziz, Allah lebih berkuasa menentukan segalanya. Janganlah ikut kata Nik Aziz ingin berkuasa dan teruskan kuasanya tanpa memperdulikan perjuangan Pas yang sebenarnya isu arak dijual bebas di Selangor tidak dipertahankan. Isu sesama islam ditimbulkan, itulah ulamak Pas.