Monday, August 24, 2009

JALAN SG. KOYAN KE CAMERON HIGHLANDS

Oleh ALI MAHMOODutusanpahang@utusan.com.my

CAMERON HIGHLANDS 23 Ogos - Rakyat negeri ini tidak lagi perlu ke Tapah, Perak atau Gua Musang, Kelantan untuk ke Cameron Highlands apabila projek pembinaan Jalan Sungai Koyan dekat sini ke kawasan peranginan itu siap sepenuhnya Mac tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, apabila siap, jalan sepanjang 79.1 kilometer bernilai RM806 juta itu akan menjadi laluan masuk utama negeri ini ke Cameron Highlands.
''Apabila siap nanti, rakyat Pahang tidak lagi perlu membazirkan masa mengunjungi daerah itu sama ada melalui Simpang Pulai, Ipoh dan Tapah, Perak atau melalui Gua Musang, Kelantan.
''Jalan ini yang dibina menerusi empat pakej sejak 2002 bakal menjana dan memberi peluang ekonomi kepada penduduk yang tinggal di sepanjang laluan terutama kepada masyarakat Orang Asli dalam Parlimen Cameron Highlands," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau perkembangan pembinaan jalan tersebut dari Sungai Koyan sehingga Ringlet dekat sini semalam.
Menurut Adnan, jalan Sungai Koyan-Cameron Hihglands yang dibina menerusi empat pakej itu dapat memendekkan perjalanan sejauh 80 kilometer dari Kuantan ke Tanah Rata.
Selepas kajian disiapkan pada 1996, beliau memberitahu, pembinaan pakej pertama jalan itu dimulakan pada 1999 dari Sungai Koyan ke Pos Betau sepanjang 19 kilometer membabitkan perbelanjaan RM52 juta dan siap pada 2002.
''Pakej kedua melibatkan pembinaan jalan sepanjang 22 kilometer bermula dari Pos Betau ke Bukit Petubung dimulakan pada 2002 dan siap pada 2005 dengan kos pembinaan RM151 juta.
''Sementara itu pakej ketiga dari Bukit Tetubung ke Sungai Susu menelan belanja RM232 juta mula dibina pada 2004 dan siap pada tahun lalu melibatkan lalua 19.5 kilometer dan kos pembinaan jalan ini agak tinggi kerana membabitkan 10 buah jambatan," kata beliau.
Tambah Adnan, pakej terakhir dari Jalan Kampung Susu-Ringlet sepanjang 18.6 kilometer itu dimulakan pada 2005 dan kini telah 80 peratus siap dan hanya lapan kilometer lagi masih dalam pembinaan membabitkan kos RM173 juta.
Apabila siap nanti, katanya, ia bukan sahaja memendekkan masa perjalanan tetapi turut membuka peluang ekonomi seperti gerai makanan dan kraftangan kepada pelancong yang melalui jalan tersebut.

komen : Apabila siap jalan ini nanti ia akan dapat memajukan pekan Felda Sg Koyan, Daerah Lipis. Orangramai tidak perlu lagi melalui jalan Tapah, Ipoh Perak dan melalui Logging, Gua Musang, Kelantan. Mereka boleh terus melalui Felda Sg Koyan, Pos Betau, perkampungan Orang Asli untuk terus ke Ringlet, Cameron Highlands. Dengan ini ianya akan memajukan pekan Sg Koyan apabila ramai pengunjung datang melalui jalan ini ke Cameron Highlands.

No comments:

Post a Comment