Friday, August 28, 2009

JADIKAN MASJID SEBAGAI PUSAT PERPADUAN : TENGKU ABDULLAH


KUALA LIPIS: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, mahu masjid dijadikan sebagai pusat perpaduan, menimba ilmu dan perhimpunan masyarakat setempat selain sebagai tempat beribadat. Selain itu, baginda juga mahu jawatankuasa masjid mengatur lebih banyak aktiviti keagamaan yang dapat menarik minat golongan belia untuk menyertainya. "Masjid yang cantik, besar dan dibina dengan peruntukan besar jika tidak diimarahkan dengan aktiviti dan kegiatan seperti menimba ilmu, maka ia akan membazir," titah baginda pada majlis perasmian Masjid Kampung Bukit Betong dekat sini hari ini.
Baginda bertitah, peranan ahli jawatankuasa masjid bukan sekadar menentukan sembahyang lima waktu atau solat Jumaat seminggu sekali tetapi perlu merancang aktiviti seperti kelas al-Quran, fardu ain, ceramah agama dan sebagainya. "Jawatankuasa masjid juga berperanan mengatur jadual bagi mengimarahkan masjid kerana hanya cara tersebut ia boleh menarik kariah terutamanya golongan muda ke masjid," titah baginda. Titah Tengku Abdullah, selain menjaga harta benda dan memastikan masjid sentiasa bersih, jawatankuasa masjid juga perlu menghindarkan tempat suci itu daripada menjadi gelanggang politik.
"Adalah mendukacita sekiranya rumah Allah itu disalahguna untuk kepentingan politik atau lain-lain tujuan kerana matlamat kerajaan membina masjid adalah untuk memberikan kemudahan kepada penduduk beribadat," titah baginda. Tengku Abdullah turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa mematuhi ajaran Al-Quran dan hadis serta mengukuhkan perpaduan di kalangan sendiri kerana hanya dengan cara itu umat Islam boleh menjadi kuat. - Bernama

komen : Dengan perasmian Masjid Baru Bukit Betong ini dapat merapatkan perpaduan jemaah
membuat solat berjemaah. Tidak kira fahaman kita seharus bersatu dalam rumah Allah tersebut.

1 comment:

  1. Salam Merdeka,

    Semoga Allah melindungi tanah air kita dari pengkhianat bangsa dan agama.

    Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !

    ReplyDelete