Mei, Jun tempoh sesuai adakan PRU-13 – Penganalisis
KUALA LUMPUR 8 Feb. - Beberapa penganalisis politik berpendapat bahawa bulan Mei dan Jun merupakan masa yang sesuai untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, bulan Mei adalah masa terbaik untuk kerajaan mengadakan PRU13 kerana kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan.
“Suasana politik tahun ini lebih baik berbanding 2008 kerana pemimpin BN sentiasa berusaha keras dan turun pandang untuk mendengar masalah rakyat.
“BN akan terus menguasai Persekutuan dan mempunyai harapan untuk mengambil semula negeri Selangor dan Kedah kerana sokongan rakyat mula beralih kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang memberi bayangan bahawa Parlimen mungkin dibubarkan awal Mei depan bagi membolehkan PRU-13 diadakan dalam tempoh 60 hari.
Ini kerana, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dijangka akan mengemukakan semua cadangan kepada Dewan Rakyat untuk dilaksanakan oleh SPR pada April depan.
Turut berkongsi pandangan yang sama adalah Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Mansor Mohd. Noor memberitahu, tempoh itu sesuai dengan kedudukan politik semasa yang terjamin berikutan usaha kerajaan dalam melakukan pelan transformasi negara.
“Usaha berterusan kerajaan dalam memperkenalkan pelan transformasi negara, konsep Gagasan 1Malaysia dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat dapat menjamin kemenangan BN pada PRU-13 ini.
“BN pasti menang tetapi hasrat untuk memperoleh 2/3 majoriti adalah sukar dijangkakan. Oleh itu, kerajaan perlu berusaha untuk mengubah persepsi negatif rakyat terhadap BN,” ujarnya.
Tambahnya, pembangkang akan cuba membangkitkan beberapa isu untuk melemahkan kerajaan seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, kadar jenayah, ekonomi dan Bajet 2012.
Sementara itu, Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, PRU tidak begitu sesuai untuk diadakan pada bulan Mei atau Jun tahun ini kerana ada beberapa kekangan yang perlu diselesaikan kerajaan terlebih dahulu.
“Contohnya, Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) perlu diselesaikan secara berhemah agar semua pihak berpuas hati lebih-lebih lagi ia melibatkan 1.3 juta undi kakitangan kerajaan.
“Biarlah masalah-masalah itu diselesaikan terlebih dahulu dan biar rakyat merasai dahulu hasil program transformasi yang dilaksanakan kerajaan sebelum mahu mengadakan PRU-13. Biar lambat asal selamat,” katanya.
// Ini adalah pandangan mereka mengenai tarikh pilihanraya umum akan datang. Ini yang tahu cuma Perdana Menteri yang lebih arif dan lebih tahu mana kedudukan yang sesuai bila dan masa yang diadakan sesuai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment