Tuesday, September 8, 2009

BN TUNAIKAN JANJI



KUALA KRAI 7 Sept. - Biarpun tewas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Barisan Nasional (BN) tetap menunaikan janji untuk membantu penduduk di situ dengan peruntukan awal sebanyak RM8.9 juta menerusi tiga projek utama.
Projek tersebut ialah pembinaan jambatan dua lorong menghubungkan Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru bernilai RM8 juta, penambaikan Masjid Temalir (RM600,000) dan pembinaan kemudahan sukan di Kampung Manjor dengan kos RM300,000.
Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara tersebut sebagai menghargai kesediaan pengundi untuk membawa perubahan ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini petang ini.
Perdana Menteri berkata, ia sebagai tanda terima kasih dan membuktikan bahawa BN ikhlas menepati janji untuk membantu rakyat di kawasan berkenaan yang dianggap sudah membawa kemenangan walaupun tewas dengan majoriti amat tipis di kawasan kubu kuat Pas itu.
''Oleh kerana pemimpin UMNO di sini termasuk Ketua UMNO Bahagian memintanya maka saya sahkan projek membina jambatan ini akan dilaksanakan dengan anggaran sebanyak RM8 juta sebagai penghargaan kepada mereka dan menunaikan janji pilihan raya.
''Saya anggap ini sebagai menghargai sokongan pengundi di Manek Urai yang sebenarnya mahukan perubahan, mudah-mudahan yang sikit itu (majoriti) akan menjadi kenyataan sikit masa lagi," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed. Kira-kira 4,000 rakyat Kuala Krai menghadiri majlis itu.
Pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai lalu, calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tewas dengan majoriti 63 undi kepada calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah.
Kekalahan tipis itu mengejutkan semua pihak kerana kawasan itu dikatakan kubu kuat Pas memandangkan pada pilihan raya umum lalu, calon Pas, Allahyarham Ismail Yaakob menang dengan majoriti, 1,352 undi.
Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian Ismail akibat pelbagai komplikasi di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, Kerajaan Pusat dan BN akan terus membela nasib rakyat Kelantan dan Malaysia seluruhnya.
Beliau menegaskan, ia berdasarkan kepada hala tuju untuk memperjuangkan Islam, menjadikan ummah yang progresif dan berjaya di samping keadilan untuk semua kaum.

komen : Walaupun kalah didalam Pilihanraya Kecil Manik Urai, kerajaan BN tetap meneruskan projek yang dijanjikan semasa kempen yang lalu. Ini membuktikan kerajaan mempu dalam membantu rakyat dalam segi pembangunan dalam memberikan kemudahan kepada rakyat.

Friday, September 4, 2009

LEBIH 78,000 PENEROKA FELCRA TERIMA DIVIDEN



MOHD. Shafie Apdal (tengah) menyampaikan replika cek kepada salah seorang wakil peneroka Felcra di Sik, Kedah semalam.
SIK 3 Sept. – Seramai 78,019 peserta Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (Felcra) di seluruh negara akan menerima bayaran dividen yang berjumlah RM445.99 juta sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, agihan dividen tersebut lebih rendah iaitu kira-kira 28 peratus berbanding RM588.18 juta pada 2008.
“Walaupun ekonomi lembap terutama sektor komoditi sawit dan getah yang tidak stabil, Felcra Berhad dapat mengimbangi cabaran itu,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dividen Peserta Felcra Berhad Peringkat Negeri Kedah 2009 dan berbuka puasa bersama peneroka di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik di sini malam ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mohd. Nasir Baba dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Hanipah.
Mohd. Shafie yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah memberitahu, kerajaan sentiasa berusaha membantu meningkatkan ekonomi rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.
Sejak penubuhannya kata beliau, Felcra berjaya mengeluarkan masyarakat luar bandar di negara ini daripada belenggu kemiskinan.
“Kita yakin Felcra akan meneruskan usaha secara berterusan untuk menjana ekonomi negara dan membangunkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” tambah beliau.

komen : Ini mengambarkan kerajaan begitu perihatin masalah rakyat dan mampu menguruskan pendapatan rakyat dengan baik dan dibayar kepada yang berhak.
Ini adalah sikap pemimpin yang terdahulu merancang demi kebaikan untuk rakyat dan golongan yang miskin di kampung terutama menjelang hari perayaan tidajk lama lagi. Apa lagi yang rakyat mahukan duduk sahaja apabila tiba masanya semua yang terpilih dapat wang untuk keperluan mereka. Apa yang pembangkang boleh buat seperti kerajaan BN yang merancang dari awal perkara ini. Teruskan sokongan kepada kerajaan BN, selamat berpuasa dan bersyukur apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.

Thursday, September 3, 2009

KEKEJAMAN BINTANGB TIGA

Kekejaman Bintang Tiga
Bau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan DITANGKAP dan disembelih hidup-hidup, darah menyembur keluar dari leher yang hampir putus, tubuh terangkat ke atas dan menggelepar menahan seksa sakratulmaut. Bunyi geruh menarik nafas akhir amat gerun dan memilukan. Tidak cukup dengan itu, walaupun batang tubuh sudah tidak bergerak dan basah bermandi darah, dagingnya ditakik pula sebelum dibakar dan dihumban ke dalam lubang sedalam paras paha. Perbuatan kejam dan di luar peri kemanusiaan itu adalah gambaran kekejaman komunis yang bermaharajalela ketika era darurat dari 1948 sehingga 1960.
Bagi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri menyifatkannya sebagai tindakan membalas dendam Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga dikenali Bintang Tiga terhadap individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun. Tentera Jepun menguasai negara ini untuk tempoh tiga tahun lapan bulan. “Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom pada 6 Ogos 1945. Sebaik mendapat khabar, komunis keluar daripada tempat persembunyian di hutan dan menunjukkan kekuatan dengan membunuh sesiapa saja yang dipercayai bersekongkol dengan Jepun,” katanya. Gambaran kekejaman Bintang Tiga dijelaskan beliau pada ceramah program Bicara Tokoh Darurat sempena pameran Darurat-Rentetan Sejarah 1948-1960 anjuran Muzium Negara yang berlangsung dari 30 Jun hingga 30 Ogos lalu.


Info

Kes keganasan komunis

Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947 Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah. Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.

Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948 Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak. Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.
Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948 Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.

Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948 Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.
Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950 Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.
Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950 Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.
Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950 Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950 150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.
Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950 Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.

Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951 Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.

Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951 Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin. Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang. Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.

Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951) Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.

komen : Begitu kejam yang dilakukan Bintang Tiga pada masa itu,..kemerdekaan yang dicapai bukan senang bergadai nyawa dan harta benda untuk mencapai kermedakaan, seharusnya rakyat perlu sedar susahnya nya mencapai keselesaan yang dinikmati pada hari ini.

PERSIDANGAN BAWAH POKOK KE HOTEL


Selepas mengadakan 'sidang Dewan Undangan Negeri' (DUN) di bawah pokok pada Mac lalu, Pakatan Rakyat (PR) Perak semalam meneruskan pula mesyuarat sama di sebuah hotel di sini. Persidangan itu diadakan di Ballroom, Hotel Heritage, Jalan Raja DiHilir Perak, kira-kira jam 11.30 pagi selepas 27 Adun pembangkang dilarang memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh kelmarin menolak permohonan bekas Speaker Perak, S Sivakumar, supaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim tidak menghalang Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di bangunan berkenaan. Pada 3 Mac lalu, Adun Pakatan Rakyat juga cuba memasuki bangunan itu tetapi tidak berjaya menyebabkan mereka mengadakan sidang DUN di bawah pokok kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan. Bagaimanapun, kali ini Pakatan Rakyat lebih bersedia dengan menempah hotel bagi mengadakan sidang DUN itu.
Malah, mesyuarat di hotel itu dipercayai sudah diatur lebih awal kerana ballroom berkenaan menyediakan susunan tempat duduk Adun DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Barisan Nasional (BN) yang lengkap dengan tanda nama kawasan DUN masing-masing, kecuali untuk tujuh Adun BN termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang digantung dan tiga Adun Bebas yang didakwa sudah meletak jawatan. Sivakumar yang mempengerusikan sidang itu duduk di pentas utama, tempat paling tinggi seperti susun letak dalam Sidang DUN sebenar, manakala Adun pakatan pembangkang duduk di sebelah kanan bekas speaker itu yang biasanya dikhaskan untuk wakil rakyat kerajaan. 'Setiausaha DUN', Misbahul Masduki Munir pula duduk di depan Sivakumar, manakala Adun Pasir Panjang (Pas), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin duduk di kerusi paling dekat dengan 'speaker', tempat yang secara tradisinya dikhaskan untuk Menteri Besar. Hanya 23 Adun Pakatan Rakyat menghadiri sidang berkenaan selepas tiga lagi Adun pembangkang ditahan polis, manakala Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim mengerjakan umrah.

komen ; Terlalu sukar menerima ketiadaan kuasa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja untuk membolehkan mereka mentadbir semula di Negeri Perak. Ini sikap pembangkang tidak menerima ketidak upayaan mereka berkuasa di pentadbiran Negeri Perak.
Sikap terlalu angkuh dan mengiktiraf karajaan baru yang lebih berhak dan perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Kalau beginilah cara pembangkang sedarlah rakyat bahawa Pakatan Rakyat ini akan melakukan apa sahaja demi mereka boleh berkuasa,
tolak pembangkang yang menghuru hara keamanan negara ini.

SELESAIKAN ISU KUIL

Oleh Azian Azizpengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 2 Sept. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu cadangan pembinaan kuil di Seksyen 23 di sini bagi mengelak perselisihan kaum.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu disampaikan kepada Abdul Khalid dalam sepucuk surat bertarikh 24 Ogos lalu.
“Baginda juga telah menitahkan perkara itu pada sesi menghadap hari Rabu iaitu sebelum mesyuarat Exco berlangsung,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas berita yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini bertajuk Sultan Selangor diminta campur tangan.
Dalam laporan tersebut, beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) meminta Sultan Selangor campur tangan isu kuil di Seksyen 23 di sini.
Isu tersebut bermula apabila penduduk di Seksyen 23 membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan mereka yang majoritinya beragama Islam berbanding hanya 40 penganut Hindu.
Ekoran tiada jaminan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan cadangan itu, kira-kira 200 penduduk bertindak mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat minggu lalu bagi menyatakan bantahan.
Keadaan bagaimanapun bertukar kecoh serta menjadi kontroversi apabila ada kalangan mereka yang menyertai perhimpunan itu membawa kepala lembu ketika berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuk dari luar negara mengkritik tindakan tersebut yang dianggap tidak sensitif dengan sentimen kaum dan agama.

komen : Isu kuil ini perlu diselesaikan dengan baik. Ia akan melibatkan rasa tidak puas hati penduduk melayu Syekyen 23 terhadap kelulusan kerajaan Negerib Selangor membina kuil
di tempat mereka. Sehingga perhimpunan yang menjadi kontervesi isu membawa kepala lembu di masa perarakan itu. Menteri Besar perlu menyelesaikan bagi menyelakkan perkara tidak puas hati antara kaum dan permusuhan di antara penduduk di tempat itu.

Tuesday, September 1, 2009

JANGAN SEKADAR LAUNG MERDEKA


Oleh ZULKIFLEE BAKARpengarang@utusan.com.my

''Saya memantau banyak Facebook status sepanjang minggu ini dan apa yang saya dapati agak menakutkan. Sebahagian anak muda Melayu, bukan sekadar berbeza pendapat dengan pemimpin negara malah ada di antaranya yang menunjukkan kebencian kepada negara, Jalur Gemilang dan sambutan Hari Kemerdekaan itu sendiri. Saya fikir ini cukup berbahaya."
Demikianlah bunyi sebahagian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima oleh seorang menteri kanan menjelang detik 12 tengah malam, 31 Ogos iaitu ketika negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 semalam.
SMS itu sudah menunjukkan dengan jelas betapa erti dan nilai kemerdekaan yang sebelum ini begitu disanjung oleh generasi-generasi sebelum merdeka semakin terhakis di kalangan generasi muda.
Bagi sebahagian golongan muda kemerdekaan bererti kebebasan dengan berkumpul di tempat-tempat di mana ambang kemerdekaan akan disambut hatta biarpun di bulan Ramadan.
Ia menjadi semakin meriah apabila ada VVIP yang hadir biarpun sepatutnya VVIP berkenaan berada di Masjid Negara bagi menghadiri majlis doa selamat.
Semua keadaan ini sebenarnya adalah satu ancaman yang semakin menular di kalangan rakyat Malaysia. Perasaan sayang kepada negara semakin terhakis di kalangan generasi muda dan mereka juga tidak akan sama sekali memahami betapa bernilainya sebuah kemerdekaan.
Oleh itu, kita tidak perlu membuang masa berhujah atau membuat seruan supaya menghargai dan mengingati jasa-jasa pejuang kemerdekaan, kerana sebahagian generasi muda tidak akan mempedulikan itu semua.
Pemikiran dan pandangan mereka tidak lagi serupa dengan generasi sebelum merdeka atau generasi yang mengenal sejarah. Kita kini berhadapan dengan generasi Facebook, Myspace dan entah-entah apa-apa lagi kelompok yang lebih mengenal sejarah hidup artis atau ahli sukan berbanding pahlawan-pahlawan bangsa.
Malah kita juga tidak perlu berasa terkejut kalau di kalangan generasi berkenaan untuk menyebut lima menteri Kabinet pun mereka tidak tahu, apatah lagi meminta mereka menghuraikan siapa itu Tok Janggut.
Inilah realitinya dan inilah juga generasi yang sering kita laung-laungkan sebagai pewaris masa depan negara. Persoalannya, apakah masa depan negara itu akan benar-benar wujud atau 52 tahun lagi, Malaysia sudah tiada identiti bangsanya?
Setakat ini, kita harus akui tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh mana-mana pihak untuk menanam semangat patriotik di kalangan generasi muda.
Kita hanya melaungkan seruan mengibarkan Jalur Gemilang atau menjerit 'merdeka' bersama-sama mereka di malam 31 Ogos, tetapi selepas itu apa kesannya?
Mereka tidak mahu memikirkan bahawa generasi muda melihat apa yang mereka lakukan dan ia kesudahannya akan menjadi contoh. Akhirnya yang akan menjadi mangsa ialah negara.
Justeru janganlah memandang ringan fenomena tidak sayangkan negara yang semakin menular di kalangan generasi muda tersebut. SMS yang dipaparkan pada awal rencana ini, sudah jelas membuktikan bahaya yang menanti kita.
Kita tidak pasti, apa yang akan dilakukan oleh kerajaan dan apa pula sumbangan parti-parti pembangkang dalam soal ini.
Selagi semangat meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya, maka selagi itu generasi muda akan terus hanyut dengan dunia mereka.
Tokoh-tokoh politik yang ada sekarang akan meninggalkan alam fana ini apabila tiba masanya, oleh itu kalau benar mereka sering melaung-laungkan untuk mewariskan sebuah negara yang aman, damai dan maju dengan identiti sendiri maka mereka perlu bertindak daripada sekarang untuk menyedarkan generasi muda daripada terus hanyut dengan dunia mereka.
Malaysia sudah 52 tahun mereka, Malaysia memerlukan pewaris bangsa yang mempunyai identitinya sendiri dan bukan 'kembali dijajah' dengan budaya luar.
Apalah gunanya segala kemajuan yang dinikmati kalau akhirnya rakyat Malaysia ibarat pelarian di negara sendiri. Tiada gunanya 52 tahun lagi kita hanya menjerit 'merdeka' sedangkan segala-galanya sudah menjadi milik asing tidak kira siapa pun mereka.

komen : Kita seharus menghayati semangat kemerdekaan dengan sebenar-benarnya, jangan
ambil mudah. Pejuang-pejuang yang memperjuangkan kemerdekaan bersusah payah untuk memerdekaan negara ini. Jangan kufur nikmat yang dinikmati selama ini, merdeka-merdeka-merdeka......

PETROL RON 95 KINI RM 1.80 SELITER

Oleh HATA WAHARIpengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Harga petrol RON95 yang akan dijual bermula esok ditetapkan pada RM1.80 seliter dan boleh diperoleh di semua stesen minyak di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, petrol RON97 pula dijadikan petrol premium dengan harga ditetapkan RM2.05 sen seliter.
''Penetapan RON95 pada RM1.80 dan RON97 pada RM2.05 adalah berikutan purata kos produk bagi petrol telah meningkat daripada US$40.75 (RM142.63) pada Disember 2008 kepada US$82.30 (RM288.05) pada Ogos 2009.
''Dengan jangkaan jualan RON95 sebanyak 95 peratus daripada keseluruhan jualan petrol di Malaysia, kerajaan dianggarkan masih membayar subsidi sebanyak 33.81 sen seliter atau RM304 juta sebulan untuk rakyat negara ini manakala subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi RON97 ialah 42.72 sen seliter,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Penjualan Petrol RON95 di seluruh negara bermula esok di Stesen Minyak Petronas Lebuh Raya Sprint di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Mohd. Sabaruddin Mohd. Amin.
Ismail Sabri memberitahu, berdasarkan pada harga produk petroleum dunia, kementerian yakin harga RON95 dan RON97 dapat dikekalkan sehingga akhir tahun ini.
Katanya, RON95 merupakan bahan bakar yang mematuhi spesifikasi Euro2M di mana ia dapat mengurangkan pencemaran yang berpunca daripada pengeluaran asap kenderaan.
''Spesifikasi Euro2M adalah merupakan standard baru bagi petrol dan diesel yang akan mengurangkan kandungan sulfur daripada 3,000 bahagian perjuta (ppm) kepada 500ppm yang akan mengurangkan pelepasan asap kenderaan di udara,'' katanya.
Beliau memberitahu, 80 peratus pengguna telah bertukar menggunakan RON95 berbanding RON97 sejak penjualan RON95 di beberapa stesen minyak terpilih di sekitar kawasan Lembah Klang dan Putrajaya pada 12 Mei 2009.
Tambahnya, sehingga kini tiada rungutan ataupun aduan diterima daripada pengguna mengenai prestasi enjin kenderaan akibat daripada penggunaan RON95.
Jelas beliau, kebanyakan enjin kenderaan ketika ini menggunakan teknologi yang direka bentuk sesuai dengan penggunaan petrol RON95.
''Negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia masa kini seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95,'' katanya.
Ismail Sabri juga mengumumkan bermula esok petrol RON92 akan dikeluarkan daripada pasaran memandangkan penggunaan petrol tersebut adalah begitu kecil iaitu sekitar lima peratus sahaja daripada keseluruhan penjualan petrol di negara ini.

komen :