Thursday, July 16, 2009

PENGUNDI 'MELUAT' PUNCA MAJORITI MENURUN



SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menolak kemungkinan sikap parti pembangkang yang suka mengutuk pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai punca Pas menang dengan majoriti tipis. Beliau berpendapat, sikap keterlaluan itu menyebabkan ramai pengundi di DUN berkenaan, terutama golongan muda yang sebelum ini menyokong Pas berpindah sokongan terhadap BN pula. “Mengapa undi BN meningkat di Manek Urai adalah kerana kita tidak buat kempen ‘mengata orang’. Tetapi parti kerajaan negeri (Pas) di sana mengutuk kita macam-macam. “Apabila terlampau banyak mengutuk, orang sudah ‘meluat’ dan mereka akhirnya memberi kelebihan kepada BN,” katanya. Mohamad juga tidak menolak kemungkinan keputusan pilihan raya itu turut dipengaruhi tindakan Pas yang tidak mahu bekerjasama dengan BN menerusi kerajaan perpaduan sebelum ini. “Saya rasa, itu salah satu sebab, tetapi sebenarnya, macam-macam sebab lain. Orang sekarang sudah pandai menilai sama ada kita ‘cakap kosong’ atau retorik,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di pejabatnya dekat Wisma Negeri, di sini, semalam. Mohamad berkata, biarpun BN tewas pada pilihan raya kecil itu, tetapi kelebihan hanya 65 undi menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat kepercayaan rakyat. “Saya rasa amat sukacita kerana sebelum ini BN diperkatakan sebagai tidak mempunyai peluang langsung untuk menang di Kelantan. Bahkan, parti pembangkang terlalu yakin akan menambah majoriti. “Bagaimanapun, keputusan itu sekali gus mengejutkan kerana berjaya mengurangkan majoriti yang begitu banyak. Bahkan, saya rasa kalau diambil kira separuh daripada 117 undi rosak itu, BN sebenarnya boleh menang pada pilihan raya itu,” katanya. Selain itu, Mohamad turut menyifatkan keputusan pilihan raya kecil DUN Manek Urai itu membuktikan BN berjaya mengembalikan kepercayaan pengundi Melayu serta pengundi muda. “Ini membayangkan bahawa penerimaan pengundi kepada BN telah bangkit semula. Ini juga merupakan urutan daripada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang apabila undi Melayu terhadap BN mula bertambah. “Malah, orang kata BN dahulu bermasalah terhadap pengundi muda, tetapi saya rasa corak yang dibuat pemimpin tertinggi dapat meyakinkan semula pengundi muda. Sebab itu, kita kena teruskan,” katanya.


UMNO perlu teruskan kerja mendamping golongan muda dan membuka banyak peluang perkerjaan kepada golongan tersebut. Ia bagi menghindarkan golongan ini menjadi penggangur dan dapat menyumbangkan tenaga untuk sama-sama membangunkan negara Malaysiaamnya.