Monday, February 13, 2012

BANTUAN KERAJAAN PUSAT DIPERINCI

KOTA BHARU 12 Feb. - Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPnK) akan menjelaskan secara terperinci kepada rakyat setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada kerajaan Pas Kelantan sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penjelasan tersebut bagi memberi maklumat yang tepat kepada rakyat negeri ini selain membuang tanggapan negatif mereka terhadap kerajaan Pusat.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses memperincikan semua peruntukan tersebut sebelum boleh didedahkan kepada umum.

"Saya hendak sebut kita (kerajaan Pusat) banyak membantu rakyat Kelantan, kita akan hebahkan, kita sudah ada angka-angka awalan dan pada minggu depan saya akan bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan untuk memperincikan semuanya.

"Kita tahu ada persepsi bahawa kita jahat, zalim dan tidak adil. Saya rasa amat tidak adil rakyat Kelantan mempunyai persepsi begitu kerana ia tidak tepat, tetapi tidak boleh salahkan mereka sebab mereka tidak mendapat maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat MTPnK di Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, antara perkara yang tidak diketahui oleh rakyat adalah secara purata kira-kira 40 peratus perbelanjaan mengurus dan 70 peratus perbelanjaan pembangunan di negeri ini sejak beberapa tahun lalu adalah sumbangan kerajaan Pusat melalui pelbagai jenis peruntukkan.

"Selain itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sedang membina loji air di Pintu Geng bernilai RM52 juta untuk bekalan air bersih dan setelah siap akan diserahkan kepada Air Kelantan Sdn. Bhd., (AKSB). Kita belanja wang untuk bantu rakyat Kelantan dan apabila siap nanti hasilnya akan dapat dinikmati oleh AKSB kerana mereka yang mengutip hasil.

"Pada tahun lepas Kerajaan Pusat memperuntukkan RM100 juta untuk menyelenggara jalan-jalan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) pula menerima peruntukan kira-kira RM21 juta setiap tahun. Ini satu angka yang sebelum ini ramai tidak tahu, kita akan memperincikan selepas ini," katanya

Katanya, semua peruntukan tersebut diberikan berdasarkan peruntukkan perlembagaan seperti mana yang dinikmati oleh negeri-negeri lain.

* Perkara sebenar perlu didedahkan kepada rakyat supaya rakyat tahu dan tidak melemparkan kesalahannya kepada Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat banyak membantu tetapi ia dinafikan oleh Kerajaan Pas Kelantan. Yang dibantu itu perlu diketahui oleh rakyat jangan menyalahkan Kerajaan Pusat menyatakan dianak tirikan itu sahaja.

Thursday, February 9, 2012

SOKONGAN CINA TENAT


Karier politik bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dilihat merudum apabila gagal mengekalkan jawatan sebagai Presiden MCA pada pemilihan Mac 2010. Namun menjelang Pilihanraya Umum ke-13, namanya kembali menjadi sebutan selepas dikaitkan dengan pemimpin kanan pembangkang. Kemunculannya sebagai Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) semakin menguatkan desas desus akan meninggalkan MCA.

Pertemuan bersama Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali, Editor kanan, Lailatun Khalilah Nasir, dan wartawan Robiatuladawiyah Abd Rashad serta jurufoto Rosli Talib, membongkar isi hati Ahli Parlimen ini yang terkenal dengan keberaniannya mengkritik parti.


Jatuh bangun dalam politik itu lumrah, namun sebagai seorang yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam parti, bagaimana Datuk Seri melihat MCA sekarang kerana sokongan kaum Cina dilihat sudah beralih arah kepada parti pembangkang?

TEE KEAT: Soalan ini agak sensitif pada masa sekarang apabila ia menyentuh sokongan kaum Cina khususnya kepada pucuk pimpinan­ MCA.

Pada hemat saya, apa yang mustahak kepada sesebuah parti itu adalah kebolehan entiti parti mengerahkan tenaga dan jentera di peringkat akar umbi. Kedua, berkebolehan untuk mendapat keyakinan khasnya masyarakat yang diperjuangkan hak mereka. Ketiga; sama ada sesebuah parti itu berpandukan nilai perjuangan atau didorongi kepentingan semasa khasnya kepentingan diri.

Dalam hubungan ini, saya nampak MCA , bukan sahaja perlu mengalami satu proses transformasi, yang bukan sahaja terhad kepada strukturnya tetapi pada masa sama memerlukan transformasi hala tuju parti itu sendiri.

Saya tidak kata perjuangan nenek moyang kita tidak relevan lagi, tetapi kita telah masuk ke era serba baru, kita tidak lagi boleh terbelenggu dalam minda yang lama. Adalah perlu untuk kita lebih cenderung memperjuangan isu-isu mikro yang merentasi kaum.


Bercakap soal transformasi, adakah Datuk Seri cuba membuat transformasi dalam MCA?

TEE KEAT: Saya perlu mengakui saya pernah berusaha untuk menjurus ke arah mentransformasikan MCA, tetapi tidak berjaya dan sedia maklum saya terkandas dalam usaha itu. Apa yang saya maksudkan itu mencakupi dalam struktur kepimpinan parti.

Bila saya menyandang jawatan Presiden MCA saya beritizam merompak sistem pemilihan parti iaitu direct election yang mana jawatan tertinggi parti dipilih oleh semua ahli bukanlah dipilih perwakilan sahaja. Itu adalah usaha pembaharuan yang saya cuba bawakan, tetapi malangnya walaupun diterima dalam majlis perhimpuan Agung ia tidak dapat dilaksanakan kerana ada rintangan dalaman. Keadaan ini juga menjadi faktor penyumbang kepada ‘penumbangan saya’, tapi itu sudah berlaku.

Saya lebih suka menyentuh soal nilai perjuangan. Orang selalu bercakap soal perjuangan,­ tetapi perjuangan itu berpandu kepada apa? Apa nilai perjuangan yang dibawa? Misi dan visi bukan hanya kata-kata manis tetapi perlu dijadikan panduan yang dapat dilaksanakan. Kalau berpolitik atau menceburi perjuangan untuk mendapatkan habuan peribadi, perkara itu sudah pasti akan menghancur-leburkan parti.


Selepas pemilihan parti yang lalu, Datuk Seri seringkali mengeluarkan kenyataan yang tidak seiring dengan pucuk pimpinan­ dan terbaru menyertai Amanah. Apakah beza Datuk Seri bersuara menerusi parti dan NGO (Amanah)?

TEE KEAT: Perkara ini perlu dilihat dalam dua sudut, iaitu dari segi penyertaan orang politik dengan NGO dan saya sebagai ahli biasa di dalam MCA tanpa sebarang jawatan yang masih belum pasti berpeluang atau tidak untuk bersuara di dalam parti.

Kalau mengikut persepsi umum wadah parti dan NGO tidak semestinya bercanggah. Kebanyakan orang politik ini ada pelbagai topi. Walaupun aktif dalam parti, mereka juga menyandang jawatan tertinggi di dalam NGO tertentu. Pada saya jika wadah perjuangan itu tidak bercanggah dengan kepentingan parti, perkara itu tidak sepatutnya menjadi pantang larang.

Saya akui, selepas saya tumbang, saya terpaksa merombak semula, hala tuju dan penekanan saya. Kini saya lebih kepada kerja di kawasan Parlimen Pandan dan kerja amal dalam NGO.

Biasanya untuk orang-orang yang bukan Melayu, NGO itu pelbagai, ada yang berteraskan kebaikan, ada yang berteraskan kepentingan suku kaum atau keturunan, perkara itu pelbagai. Tetapi di dalam MCA, Winner Takes All (pemenang membolot segala) itu memang sahih.


Penglibatan Datuk Seri di dalam Amanah yang dipelopori oleh kebanyakan­ veteran politik yang sudah tidak berada di dalam mainstream dilihat sebagai orang yang kecewa dengan parti. Apa komen Datuk Seri?

TEE KEAT: Amanah sebenarnya sebuah NGO baru, ia bukan sahaja dianggotai oleh veteran politik. Memang ada bekas-bekas pemimpin parti khasnya parti kompenan Barisan Nasional (BN) tetapi Amanah turut disertai orang buat BN dan pesara-pesara pegawai kanan kerajaan. Cuma perkara itu orang tidak pandang.

Saya sebagai orang politik yang masih berkhidmat menyertai NGO tentu ada sebabnya. Tetapi kecewa dengan parti atau mahu mencari wadah baru bukanlah penyebabnya. Apa yang digariskan Amanah dan prinsip utamanya berteraskan kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang mengutamakan semangat dalam penyatuan kaum menarik minat untuk saya menyertainya selain menolak rasuah dalam politik.

Walaupun ada yang menjangkakan Amanah akan ditransformasikan menjadi parti politik. Namun saya berpendapat hal itu masih terlalu awal kerana banyak proses yang perlu dilalui.


Tarikh sebenar pilihan raya masih lagi menjadi tanda tanya, namun ramai yang menjangkakan ia tidak lama lagi. Melihat kepada PRU 12 dilihat sokongan kaum Cina sudah beralih arah kepada DAP, dalam kemelut yang dihadapi oleh Gerakan. Jadi apakah harapan untuk meraih undi Cina kembali kepada BN pada PRU13?

TEE KEAT: Kalau kita menyingkap semula sejarah, iaitu sejarah PRU lalu pada 2004, 1999, dan 1995. Dalam tiga PRU itu sebenarnya masyarakat cina memberikan sokongan yang meyakinkan kepada BN sehingga banyak kubu pembangkang telah tumpas, itu membuktikan pada ketika itu kaum Cina menaruh kepercayaan melalui MCA.

Sokongan kaum Cina terhadap BN nampak begitu tenat hari ini. Apa yang berlaku pada tsunami politik yang 2008 bukan sesuatu petanda baru tetapi sudah ada tanda-tanda awal. Semua parti kompenan perlu terus terang apa yang tidak kena dalam hal ini, jika dibiarkan ianya berlarutan akan jadi satu bencana kepada BN pada PRU-13
Tidak lain daripada desakan masyarakat Cina khasnya terhadap parti kompenan dalam kerajaan untuk merombak corak perjuangan mereka bukannya semata-mata bersifat reaktif dan terus terbelenggu dengan isu-isu yang lama. Isu yang belum selesai memang perlu diteruskan. Tetapi perkara yang mendesak adalah seperti keselamatan, seperti rintihan hidup, kerana desakan hidup yang makin mencabar di peringkat akar umbi perlu ditanganani. Hal ini tidak perlu kenal benteng perkauman pun.

Pada keseluruhannya kaum Tionghoa memang beriktizam untuk menuntut keadilan­ atas beberapa keadilan misalnya dari segi peluang ekonomi.

* Seharusnya perlu dinilai apa yang diperlukan bagi menjamin kemenangan pada P Raya umum akan datang sekiranya orang Cina masih tidak mahu berubah. BN amat mengharapkan sokongan padu dari masyarakat Cina untuk menyokong kerajaan sedia ada jika tidak orang melayu juga tidak akan memberikan undian sepenuhnya jika orang Cina masih tidak mahu berubah.
Pas hanya akan menang sorak

BARU-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyatakan dalam satu perhimpunan di Shah Alam bahawa tidak kisah Pas diperkudakan oleh DAP dan DAP yang diperkudakan oleh Pas asalkan jangan 'diperlembukan' oleh UMNO.

Kenyataan itu mengesahkan Pas tidak kisah apa pun yang diminta oleh DAP asalkan cita-cita Pas untuk bersama-sama parti berkenaan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawan Putrajaya menjadi realiti.

Sebab itulah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyatakan Pas dan PKR akan membantu DAP meyakinkan orang Melayu di Perak bahawa parti itu tidak bersifat cauvinis Cina dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kita tidak boleh menyalahkan Koo Ham kerana berterus terang, sebaliknya perlu berterima kasih kepada beliau.

Ia memandangkan selama ini ramai tertanya-tanya kenapakah Pas begitu bersedia bergabung dalam pakatan pembangkang biar pun berbeza ideologi dan arah perjuangan.

Malahan ramai juga bertanya bolehkah Pas bekerjasama dengan DAP yang secara terang-terang menentang penubuhan negara Islam sehingga Pas terpaksa menggugurkan perjuangan berkenaan.

Tetapi rupanya, DAP dan PKR menerima Pas disebabkan mereka amat memahami kekuatan yang ada pada parti tersebut iaitu menarik sokongan orang Melayu menyokong pembangkang termasuk DAP.
/ Oleh itu Pas perlu dikejut dari mimpi yang mana mereka cuma dipergunakan oleh DAP untuk terus berkuasa dan mehu menjatuhkan UMNO. Pas sudah hilang pengaruh akibat berbaik dengan DAP dan PKR.Hala tuju Pas sudah tidak nampak jelas cuma mendengar kata DAP walaupun itu bukan kehendak PAS yang sebenarnya.
Tidak layak jadi pemimpin Islam – Ikhwan Muslimin

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Wakil perikatan pimpinan Ikhwan Muslimin yang berpangkalan di London, Dr. Azzam Tamimi menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang tidak layak menjadi pemimpin Islam kerana menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel.

Pengarah Institut Pemikiran Politik Islam (IIPT) itu berkata, seorang pemimpin Islam tidak seharusnya menyatakan pendirian yang bertentangan dalam kepercayaan umat Islam berhubung isu Palestin.

“Anwar Ibrahim sebagai pendukung perjuangan Islam di Malaysia baru-baru ini dipetik melalui The Wall Street Journal telah memberi sokongan kepada usaha menjaga keselamatan negara Israel.

“Ini adalah tindakan seorang pemimpin Islam yang benar-benar tidak layak memimpin,” katanya melalui entri blognya www.azzamtamimi.blogspot.com.

Anwar baru-baru ini mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya melalui The Wall Street Journal yang dipetik sebagai berkata: “Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.”

Bagaimanapun, selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.
// Sepatutnya isu negara Palestin ini dipertahankan dan tidak ingin membela negara Israel yang berkuasa dan ingin berkuasa di bumi Palestin tersebut.
Mei, Jun tempoh sesuai adakan PRU-13 – Penganalisis

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Beberapa penganalisis politik berpendapat bahawa bulan Mei dan Jun merupakan masa yang sesuai untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, bulan Mei adalah masa terbaik untuk kerajaan mengadakan PRU13 kerana kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan.

“Suasana politik tahun ini lebih baik berbanding 2008 kerana pemimpin BN sentiasa berusaha keras dan turun pandang untuk mendengar masalah rakyat.

“BN akan terus menguasai Persekutuan dan mempunyai harapan untuk mengambil semula negeri Selangor dan Kedah kerana sokongan rakyat mula beralih kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang memberi bayangan bahawa Parlimen mungkin dibubarkan awal Mei depan bagi membolehkan PRU-13 diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ini kerana, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dijangka akan mengemukakan semua cadangan kepada Dewan Rakyat untuk dilaksanakan oleh SPR pada April depan.

Turut berkongsi pandangan yang sama adalah Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Mansor Mohd. Noor memberitahu, tempoh itu sesuai dengan kedudukan politik semasa yang terjamin berikutan usaha kerajaan dalam melakukan pelan transformasi negara.

“Usaha berterusan kerajaan dalam memperkenalkan pelan transformasi negara, konsep Gagasan 1Malaysia dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat dapat menjamin kemenangan BN pada PRU-13 ini.

“BN pasti menang tetapi hasrat untuk memperoleh 2/3 majoriti adalah sukar dijangkakan. Oleh itu, kerajaan perlu berusaha untuk mengubah persepsi negatif rakyat terhadap BN,” ujarnya.

Tambahnya, pembangkang akan cuba membangkitkan beberapa isu untuk melemahkan kerajaan seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, kadar jenayah, ekonomi dan Bajet 2012.

Sementara itu, Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, PRU tidak begitu sesuai untuk diadakan pada bulan Mei atau Jun tahun ini kerana ada beberapa kekangan yang perlu diselesaikan kerajaan terlebih dahulu.

“Contohnya, Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) perlu diselesaikan secara berhemah agar semua pihak berpuas hati lebih-lebih lagi ia melibatkan 1.3 juta undi kakitangan kerajaan.

“Biarlah masalah-masalah itu diselesaikan terlebih dahulu dan biar rakyat merasai dahulu hasil program transformasi yang dilaksanakan kerajaan sebelum mahu mengadakan PRU-13. Biar lambat asal selamat,” katanya.
// Ini adalah pandangan mereka mengenai tarikh pilihanraya umum akan datang. Ini yang tahu cuma Perdana Menteri yang lebih arif dan lebih tahu mana kedudukan yang sesuai bila dan masa yang diadakan sesuai.

Wednesday, February 8, 2012

PR jangka Parlimen bubar awal Mei 2012

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberi bayangan Parlimen mungkin dibubarkan seawal Mei 2012 bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu sama ada pada Mei atau Jun.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin membubarkan Parlimen dalam masa terdekat kerana Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya (PSC) hanya dijangka selesai mengemukakan semua cadangan ke Dewan Rakyat untuk dilaksanakan SPR pada April depan.
Justeru, Abdul Aziz berkata, beliau berharap Perdana Menteri memberikan tempoh beberapa bulan kepada Ahli Panel SPR berbincang dan melaksanakan penambahbaikan proses pilihan raya seperti dicadangkan oleh PSC.
//Perdana Menteri yang bijak menentukan tarikh Pilihanraya tersebut diadakan cepat atau lambat, beliau adalah penentunya.
Pas: Jika PR menang, Salahuddin MB Johor

SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor, sekiranya Pas menguasai negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Membayangkan hasrat itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, ‘tuan punya badan’ juga telah memberi lampu hijau bersetuju untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan kerusi mana yang akan diberikan kepada Salahudin sehingga diumumkan pucuk pimpinan parti kelak.

“Keputusan ini bukan lagi khabar angin. Memang benar dan Salahuddin akan kembali ke negeri kelahirannya untuk menguatkan Pas dan pada masa sama memberi motivasi kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) di selatan Semenanjung,” katanya.

Mahfodz berkata, Pas akan menggunakan 33 kerusi yang dipertandingkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan sembilan di Parlimen

“Sudah tentu dia diletakkan di kawasan yang boleh dikatakan selamat, bukan ‘rumah sembelihan’ walaupun tidak semestinya kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Ditanya mengapa Pas Johor berminat mencalonkan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu sebagai calon menteri besar, beliau berkata, Salahuddin mempunyai pengalaman untuk membantu Pas negeri itu.

“Pengalaman beliau di peringkat Pusat amat penting untuk membantu kemenangan parti ini memandangkan musuh kami, BN juga mempunyai tokoh hebat,” katanya.

Ditanya apakah yang menjadi ‘kayu ukur’ kepada kekuatan kepada Pas di Johor, beliau berkata, undi kepada pembangkang khususnya Pas semakin meningkat pada pilihan raya umum yang lalu.

Malah beliau menyangkal dakwaan, tindakan meletakkan Salahuddin bertanding di Johor sebagai usaha meminggirkan golongan ulama.

“Tidak ada niat kami buat begitu dan ia sebenarnya tidak betul. Lagipun Salahuddin sendiri mahu menyumbang jasa dan memastikan banyak kerusi akan ditawan,” katanya.

Namun nada berbeza diutarakan Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau apabila beliau mengatakan isu bakal menteri besar tidak pernah dibincangkan di peringkat pimpinan pakatan di negeri itu.

“Saya khuatir sekiranya banyak cakap mengenai calon yang akan mengisi jawatan menteri besar boleh menyebabkan rakyat Johor melabelkan PR sebagai parti yang gila kuasa dan mahu jawatan semata-mata,” katanya.

//Itu belum menang lagi dah beranggan menjadi Menteri Besar dah, sedangkan peluang menang amat tipis kerana Johor negari yang kuat BN pada masa ini.
Negara hancur jika pakatan perintah
- Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Ali berkata, negara ini akan hancur dan Islam akan musnah sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berkata, kebebasan secara mutlak untuk beragama termasuk murtad, melakukan seks songsang akan dibolehkan atas nama hak asasi manusia dan hak serta keistimewaan Melayu juga dimansuhkan.

"Apa akan jadi kalau Pakatan Rakyat memerintah? Tidak ada negara Islam, tidak ada budaya al-Quran. Surau dan masjid akan mati. Anak kita akan dididik secara liberal. Calon Perdana Menteri yang mempunyai masalah moral dan bolehkah dibayangkan kalau parasit-parasit (Pas) dipilih jadi menteri?

"Budaya seks rambang, homoseksual, lesbian dan sebagainya akan dihalalkan. Pasal sekarang sudah ada orang yang minta perkara itu disemak semula. Bila dibantah katanya akan hilang kemanusiaan. Kita akan hilang agama, tidak ada lagi (pemerintahan mengikut) al-Quran dan hadis, bertambah konsep mengiyakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penyokongnya di dataran Bukit Naning, Air Hitam, dekat sini malam tadi.

Hasan berkata, buat pertama kalinya juga Malaysia akan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel dan tanda ke arah itu sudah kelihatan apabila seorang pemimpin pembangkang secara terang-terangan mahu mempertahankan keselamatan negara Yahudi itu.

Menurutnya, Pas yang kini sudah 72 peratus dipimpin parasit-parasit yang berfahaman sekular, tidak mampu untuk menghalang semua perkara itu daripada berlaku kerana mahu menjaga kepentingan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, Pas hanya mengikut apa sahaja kemahuan dua parti tersebut walaupun terpaksa menggadaikan Islam termasuk bersekongkol dalam hal akidah dan semua yang melibatkan kepentingan umat Islam.

Pas katanya, kini dikuasai dua elemen perosak iaitu parasit akidah yang menghalang segala usaha membanteras gejala murtad serta berkaitan akidah dan juga parasit politik yang sanggup berbuat apa sahaja asalkan dapat mengambil alih kerajaan Pusat.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Hafiz Nordin meminta umat Islam menolak fahaman pluralisme termasuk yang diamalkan seorang pemimpin pembangkang kerana ia mengeliru penganut agama itu.

Menurutnya, fahaman tersebut adalah strategi licik pihak Yahudi untuk memastikan umat agama itu berpecah-belah dan lemah sekali gus membolehkan mereka memperkotak-katikkan orang Islam.

MM: Mengapa setelah sekian lama ditipu baru kini sedarnya padahal kawan rasa Hasan ni orang yang terpelajar. Pembongkaran oleh Hasan sekarang menunjukkan bahawa sebenarnya Pas adalah sebuah parti yang bermasalah. Anwar telah berjaya menghuru-harakan Pas. Tapi, apakah pihak-pihak yang taksub dengan PR akan memikirkan apa yang dibongkar oleh Hasan.

Bhg.2 - PAS Jadi Penghalang Perjuangan Islam!!!

Nik Aziz perlu ditarbiah

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Ulama Pas perlu mentarbiah Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya kembali ke pangkal jalan dan berhenti daripada bersikap hipokrit semata-mata untuk menjaga kepentingan politiknya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keengganan Nik Abdul Aziz menyatakan pendirian berhubung sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keselamatan sebuah negara Israel baru-baru ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang tidak berpendirian.

"Dia sepatutnya berkata sesuatu yang lebih tegas bukannya berdiam diri atau sekadar meminta penjelasan Anwar yang sebenarnya hanya satu helah.

"Nik Abdul Aziz sudah banyak menyeleweng, maka perlu ulama dalam Pas sendiri membawa beliau kembali ke pangkal jalan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Puad mengulas sikap 'pak turut' Mursyidul Am Pas itu yang dilihat mempertahankan kenyataan Anwar menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel di dalam wawancara dengan The Wall Street Journal (WSJ) akhir bulan lalu.

Menurutnya, sebagai pemimpin parti yang memperjuangkan Islam, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya berdolak-dalih berhubung isu yang telah mengguris hati umat Islam dan imej negara yang konsisten menentang kezaliman Zionis.

"Dia buat andaian kononnya media memutar belit kenyataan Anwar tetapi Anwar sendiri tidak menafikan kenyataan yang beliau buat dalam WSJ.

"Tak perlu buat kenyataan berhelah, boleh bidas terus Anwar kalau itu yang dinyatakan," katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran itu percaya tindak-tanduk Nik Abdul Aziz dan penyokong PKR yang mempertahankan kenyataan Anwar mempunyai kaitan dengan harapan pembangkang meraih bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Yahudi untuk memenangi pilihan raya.

"Mereka tidak yakin boleh tawan Putrajaya melalui proses pilihan raya dan demokrasi tanpa campur tangan kuasa asing.

"Ulama politik itu atau Nik Abdul Aziz telah berjaya memukau semua ahli Pas supaya hanya tumpu kepada matlamat politik dan usaha menawan Putrajaya. Mereka sanggup membelakangi nasib dan maruah rakyat Palestin," katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Puad menyeru rakyat supaya menolak dan mengecam Nik Abdul Aziz serta penyokong Anwar yang menjadi punca Ketua Pembangkang itu semakin berani bersikap pro-Israel.


"Imej Malaysia yang selama ini konsisten men
entang kezaliman Zionis akan bertukar menjadi sebuah negara pro-Israel jika pembangkang menang pilihan raya,'' tambahnya.

Ia sepatutnya cuba mempertahankan negara kita dahulu dari bercakap tentang negara luar tersebut dan membela Israil, Nik Aziz cuba pertahankan pulak.