KOTA BHARU 12 Feb. - Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPnK) akan menjelaskan secara terperinci kepada rakyat setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada kerajaan Pas Kelantan sejak beberapa tahun lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penjelasan tersebut bagi memberi maklumat yang tepat kepada rakyat negeri ini selain membuang tanggapan negatif mereka terhadap kerajaan Pusat.
Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses memperincikan semua peruntukan tersebut sebelum boleh didedahkan kepada umum.
"Saya hendak sebut kita (kerajaan Pusat) banyak membantu rakyat Kelantan, kita akan hebahkan, kita sudah ada angka-angka awalan dan pada minggu depan saya akan bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan untuk memperincikan semuanya.
"Kita tahu ada persepsi bahawa kita jahat, zalim dan tidak adil. Saya rasa amat tidak adil rakyat Kelantan mempunyai persepsi begitu kerana ia tidak tepat, tetapi tidak boleh salahkan mereka sebab mereka tidak mendapat maklumat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat MTPnK di Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan di sini hari ini.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, antara perkara yang tidak diketahui oleh rakyat adalah secara purata kira-kira 40 peratus perbelanjaan mengurus dan 70 peratus perbelanjaan pembangunan di negeri ini sejak beberapa tahun lalu adalah sumbangan kerajaan Pusat melalui pelbagai jenis peruntukkan.
"Selain itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sedang membina loji air di Pintu Geng bernilai RM52 juta untuk bekalan air bersih dan setelah siap akan diserahkan kepada Air Kelantan Sdn. Bhd., (AKSB). Kita belanja wang untuk bantu rakyat Kelantan dan apabila siap nanti hasilnya akan dapat dinikmati oleh AKSB kerana mereka yang mengutip hasil.
"Pada tahun lepas Kerajaan Pusat memperuntukkan RM100 juta untuk menyelenggara jalan-jalan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) pula menerima peruntukan kira-kira RM21 juta setiap tahun. Ini satu angka yang sebelum ini ramai tidak tahu, kita akan memperincikan selepas ini," katanya
Katanya, semua peruntukan tersebut diberikan berdasarkan peruntukkan perlembagaan seperti mana yang dinikmati oleh negeri-negeri lain.
* Perkara sebenar perlu didedahkan kepada rakyat supaya rakyat tahu dan tidak melemparkan kesalahannya kepada Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat banyak membantu tetapi ia dinafikan oleh Kerajaan Pas Kelantan. Yang dibantu itu perlu diketahui oleh rakyat jangan menyalahkan Kerajaan Pusat menyatakan dianak tirikan itu sahaja.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment