Monday, May 3, 2010

MCA PERLU BUKTIKAN IA MASIH RELEVAN KALANGAN MASYARAKAT CINA



RAUB 2 Mei - MCA perlu membuktikan bahawa parti itu masih relevan untuk masyarakat Cina di negara ini, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Katanya, kemerosotan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini antara lain disebabkan krisis kepimpinan dalam parti MCA.


Justeru katanya, kepimpinan MCA perlu membuktikan yang ia boleh mengembalikan sokongan masyarakat Cina terhadap parti berkenaan yang merupakan komponen penting kepada BN.
''Masyarakat Cina yang terdedah kepada kesan pergolakan dalaman MCA menyebabkan mereka tidak menyokong BN sepenuhnya.
''Situasi ini akan bertambah baik jika MCA dapat dimantapkan dan perubahan yang perlu dilaksanakan segera, iaitu pemimpin berkenaan lebih banyak mendekati rakyat khususnya kaum Cina," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat kelompok iaitu 33 cawangan UMNO Bahagian Cameron Highlands, di Sungai Koyan dekat sini hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Cameron Highlands, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Pemuda Pahang, Abu Jimi Samat dan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor menunjukkan bukan semua pengundi Cina tidak menyokong BN.


Katanya, apa yang penting adalah perubahan besar yang perlu dilakukan dalam usaha menarik semula keyakinan masyarakat Cina terhadap parti berkenaan.
Beliau mengambil contoh kejayaan Tan Sri Mohd. Isa Samad pada Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang lalu yang mendapat sokongan majoriti masyarakat Cina disebabkan pendekatannya disenangi oleh pengundi kawasan berkenaan.
''Dalam hal ini, ia berkaitan soal kepimpinan, ia berhubungkait, apa yang penting kita mesti letakkan perjuangan parti dan perjuangan membela nasib rakyat melebihi segala-galanya, kita perlu melalui proses ini," katanya.
Hishammuddin menambah, UMNO sendiri telah melakukan pelbagai perubahan besar dalam usaha menarik sokongan masyarakat Melayu.


Oleh itu kepimpinan MCA mesti mencari satu fomula bagi menarik semula sokongan orang Cina kepada BN. Proses peralihan pemimpin yang baru selesai perlu dicari jalan keluar supaya masyarakat Cina kembali menyokong kepimpinan BN semula.

Tuesday, April 27, 2010

ADUN PAS PERTIKAIKAN KUASA SULTAN

ALOR SETAR 26 April – Tindakan seorang wakil rakyat Pas mengemukakan dua soalan kontroversi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini dilihat sebagai seolah-olah cuba mempertikai kuasa Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.

Perbuatan itu dapat dilihat apabila Mohd. Nasir Mustafa (Pas-Kubang Rotan) mengemukakan dua soalan bertulis kepada Dewan iaitu:
Sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat?
Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam?
Menyedari perkara itu, Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail kemudiannya bertindak menarik balik soalan tersebut dan mengakui beliau mungkin terlepas pandang selepas menerima bantahan pembangkang.


Bagaimanapun, sebelum soalan itu ditarik balik, sidang DUN menjadi kecoh selama 20 minit akibat pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang.
Ia bermula apabila soalan tersebut disanggah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mencadangkan kepada Abdul Isa supaya membatalkan soalan tersebut.
Ini kerana, menurut Mahdzir, tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN Kedah yang membahaskan tentang sejauh mana kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini dan soalan tersebut seolah-olah mempertikaikan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam.


Kita mesti faham perlembagaan negara ini sebelum membuat sesuatu, takkan kuasa raja hendak dipertikaikan dimana dilihat kuasa raja dipertikaikan sendiri oleh orang melayu, sepatutnya kaum lain mempertikaikan tetapi orang melayu pertikaikan kuasa Sultan yang menjadi kekuatan orang melayu dan agama islam dalam negara ini.

DATUK SERI NAJIB MEMBAWA IMEJ BARU DAN DITERIMA RAKYAT



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak telah dapat memperbaharui imej kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan ia berpeluang memperoleh kejayaan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau memuji peranan Najib dalam kemenangan calon BN P Kamalanathan dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor kelmarin.


“Saya fikir Datuk Seri Najib telah dapat tukar imej kepimpinan BN daripada yang terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas memberi ucap tama pada satu forum anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).


Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, BN harus melakukan post mortem tentang kehilangan sokongan pengundi Cina manakala sokongan pengundi Melayu dan India telah meningkat. “PRU (Pilihan Raya Umum) ke-13, ada kemungkinan kita menang, lebih dari kali ini. PRU 12 kalah bukan kerana BN, tapi orang tertentu yang rakyat tak suka,” katanya. - Bernama


Ia menampakkan gambaran kepimpinan Datuk Seri Najib mula diterima oleh rakyat. Ia telah banyak melakukan perubahan selepas mengambil alih kepimpinan negara. Oleh itu terus usaha memertabatkan malaysia di mata dunia.

SOKONGAN KAUM CINA KEPADA BN PERLU DICARI PUNCANYA



KUALA LUMPUR 26 April - Barisan Nasional (BN) perlu membuat satu 'bedah siasat' bagi mengenal pasti punca kenapa pengundi Cina enggan memberi sokongan pada parti tersebut semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana parti itu telah melakukan banyak perkara bagi membela nasib penduduk di Hulu Selangor termasuk kaum Cina sendiri.
Malah tegas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan yang terbaik bagi mendapatkan sokongan penduduk di kawasan tersebut.


''BN menang tetapi majoritinya tidaklah seperti yang sepatutnya. Ini agak jelas dan kita nampak sokongan yang kurang daripada pengundi Cina.
''Bagaimanapun sokongan kaum Melayu dan India meningkat dan membolehkan BN mencapai kemenangan.
''Kita kena buat bedah siasat dan analisis supaya kita tahu apa masalahnya yang menyebabkan kita menang tetapi dengan majoriti yang tak seperti dijangkakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada perbincangan "China Yang Kukuh - Implikasi dan Cabaran" anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini hari ini.


Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, biarpun ada yang berpendapat bahawa politik berasaskan kaum akan berkurangan selepas pilihan raya umum lalu namun jelas bahawa ia semakin kuat berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau percaya, harapan untuk melihat BN menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti tetap ada.
''Ini kerana keputusan Pilihan Raya Umum 2008 bukan kerana parti BN tetapi kerana orang tertentu yang rakyat tidak suka,'' katanya lagi.


Oleh itu kepimpinan MCA perlu mendakati semua golongan dan turun padang bertemu masyarakat Cina yang masih gagal memberikan sokongan kepada BN. Mereka boleh berubah jika sekiranya nasib dan masalah mereka dapat diselesaikan atau kepimpinan MCA perlu dapat berubah serta mendekati rakyat tanpa pilih kasih.

Monday, April 26, 2010

BN MENANG TAPI HILANG SOKONGAN MASYARAKAT CINA

2010/04/26HULU SELANGOR: Menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor hari ini sebagai kemenangan yang baik, para pemimpin BN berkata parti masing-masing telah dapat menawan hati dan fikiran rakyat di kawasan berkenaan.

Namun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata walaupun menang dengan majoriti 1,725, tetapi pengundi Cina didapati tidak menyokong BN, bukan sahaja dalam pilihan raya kecil itu tetapi juga semasa pilihan raya umum 2008.
"Kita perlu melihat di mana silap kita. Saya akan berjumpa dengan parti-parti komponen untuk membincangkan perkara ini, tetapi kita gembira kerana pengundi India kembali menyokong BN. Begitu juga dengan pengundi Melayu.


"Kita hilang kerusi pada pilihan raya 2008 dengan majoriti kecil 198 undi tetapi kini mengekalkan kembali kerusi dengan majoriti yang lebih besar. Ini menunjukkan rakyat menyambut baik konsep yang diutarakan pucuk pimpinan seperti gagasan 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru," katanya selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor diumumkan di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Baharu di sini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula berkata MCA memerlukan anjakan paradigma bagi mendekati masyarakat Cina yang dilihat tidak begitu memberi perhatian kepada soal kehendak dan keperluan asas. "Anjakan paradigma ini mesti datang dari pemimpin MCA. Selain itu Hulu Selangor mempunyai masalah dalamannya sendiri. Bagi saya dan pemimpin parti yang lain, banyak perkara yang perlu dilakukan. "Ia satu lagi isyarat, jika mereka tidak meletak ke tepi perbezaan antara mereka, maka MCA akan menjadi bakul sampah politik atau dinosur politik. "Kami perlu melihat kembali diri kami, sama ada selepas 50 tahun menumpukan perhatian kepada masyarakat peringkat setempat, kami perlu melihat lebih lagi. Anda boleh pasti bahawa kami akan menjadi lebih vokal selepas ini," katanya.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata walaupun BN menang, tetapi terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan diselesaikan. "Sokongan di kalangan masyarakat Cina tidak bertambah. Apabila kita mula berkempen di sini, tahap sokongan hanya sekitar 12 hingga 15 peratus. Selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) turun menemui rakyat, ia meningkat kira-kira 25 peratus.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemenangan itu menunjukkan rakyat yakin dengan dasar yang di bawa Perdana Menteri berbanding keyakinan mereka terhadap pembangkang. "Rakyat telah pilih parti yang lebih jamin masa depan, itu tanda pemulihan rakyat dan keyakinan rakyat pada BN. Saya harap ini akan menjadi titik tolak untuk BN untuk pilihan raya kecil yang lain pada masa depan," katanya. - Bernama

Oleh itu kepimpinan MCA perlu mencari apakah punca hilang sokongan penggundi terutama masyarakat Cina terhadap BN. Sedang dalam bidang ekonomi mereka lebih berjaya dan mengaut keuntungan dalam negara ini kerana kerja kuat mereka. Oleh itu sepatutnya sokongan padu kepada kerajaan perlu diberikan untuk mengekalkan kesetabilan politik dalam negara ini.

Thursday, April 22, 2010

MEE SEGERA MEMBAWA KESAN PENYAKIT - CAP

GEORGETOWN - Senang didapati, mudah disediakan pada bila-bila masa dan harga murah antara faktor mi segera menjadi pilihan khususnya pelajar apabila lapar di waktu malam ketika mengulang kaji pelajaran. Bagaimanapun, masih ramai yang tidak menyedari makanan segera ini boleh memudaratkan kesihatan dan kajian mendapati ia boleh menyebabkan penggemarnya mendapat pelbagai penyakit kronik seperti serangan jantung, strok, kerosakan buah pinggang dan kanser.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris berkata, kajian CAP ke atas 10 sampel mi segera mendapati tiga daripadanya mengandungi natrium melebihi 1,000 miligram sedangkan saranan untuk orang dewasa dan kanak-kanak berusia empat tahun adalah 2,400 miligram sehari. “Pengambilan mi segera boleh menyebabkan pengambilan garam yang berlebihan kerana natrium sering ditambah dalam makanan harian kita dan mi segera adalah makanan yang menjalani pelbagai peringkat pemprosesan tanpa sebarang khasiat makanan.

“Mi segera adalah makanan remeh yang mengandungi karbohidrat, natrium dan pelbagai penambah perisa selain rendah khasiat seperti serat, vitamin dan galian. Perisa sup juga mengandungi ‘Monosodium Glutamate’ (MSG) yang berperanan menjadikan perisanya benar-benar tulen,” katanya pada sidang media semalam.

Oleh itu setiap kita perlu berhati-hati dalam mengambil makanan seharian kita. Adakah kita tahu bahawa mee segera yang kita selalu makan akan memberikan kesan mudarat kepada tubuh badan kita jika sekiranya kita tidak mengetahuinya akan bahayanya kepada kesihatan jika kita tidak awasi dan tidak menjaga makanan seharian. Oleh itu sayangilah diri kita dan keluarga kita.

PENGGUNDI WANITA KESAL CARA PKR MENTADBIR SELANGOR



HULU SELANGOR 21 April - Pengundi-pengundi wanita di sini kesal kerana kebajikan ibu tunggal, warga emas serta keluarga miskin terabai tanpa sebarang pembelaan sejak pakatan pembangkang memerintah Selangor dua tahun lalu.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hal sedemikian berlaku kerana kerajaan negeri tidak menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum 2008 dan kini terbukti semuanya adalah palsu bagi mengaburi fikiran rakyat.


Menurutnya, rasa serik kumpulan itu yang mewakili 52 peratus daripada jumlah keseluruhan 64,500 pengundi di Parlimen Hulu Selangor disuarakan ketika jentera Wanita UMNO, 'Jalinan Rakyat' membuat lawatan rumah ke rumah berkempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung sekarang.
"Ekoran tiada bantuan kerajaan negeri, masyarakat hanya bergantung kepada peruntukan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang memenangi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
"Maklumat balas yang diterima bahawa pengundi-pengundi wanita tidak mahu lagi memilih Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka juga tidak mahu mensia-siakan peluang untuk memilih calon BN pada pilihan raya kali ini," katanya.


Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan demikian selepas melawat rumah warga emas, Napsiah Abdul Rahman, 86, di Kampung Pasir Putih, Kalumpang dekat sini hari ini.
Beliau menambah, ekoran itu pengundi-pengundi wanita tidak lagi mahu tertipu dengan helah pembangkang setelah tiada pembangunan yang dibawa sejak dua tahun diberi peluang menguasai Parlimen Hulu Selangor.


Diharapkan penggundi memikirkan dengan sebaik sebelum memilih parti yang layak dipangkah.

Jika tidak janji yang dibuat hanyak tinggal janji sahaja tetapi kerajaan pusat mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kerana ia sentiasa membantu rakyat mengikut keutamaan dan kelayakan seorang itu. Oleh itu Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyalurkan kepada yang layak menerima bantuan tersebut.