Tuesday, January 5, 2010

KDN MEMFAILKAN NOTIS RAYUAN TERHADAP KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang membenarkan majalah mingguan, Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya. Selain itu, KDN akan memfailkan notis rayuan hari ini bagi memohon penangguhan pelaksanaan perintah yang dibuat Hakim Datuk Lau Bee Lan, sebelum ini. Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said, berkata notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada jam 4 petang semalam, manakala permohonan penangguhan akan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah.

"Prosiding rayuan bagi penangguhan pelaksanaan itu seterusnya akan didengar di Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Pada 31 Disember lalu, Lau membenarkan penerbit majalah itu menggunakan kalimah 'Allah' selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur selaku pemohon. Lau juga mengisytiharkan bahawa keputusan KDN pada 7 Januari 2009 memberikan permit penerbitan kepada Herald dari tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2009 dengan syarat ia dilarang menggunakan perkataan 'Allah' adalah batal dan tidak sah.

Dalam penghakiman lisannya, Lau berkata, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden pertama dan kedua gagal mengemukakan bukti bahawa penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald boleh mengancam keselamatan negara dan menimbulkan salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini. Beliau berkata, Herald mempunyai hak dari segi perlembagaan menggunakan kalimah itu dalam penerbitannya untuk menyebarkan agama Kristian kepada penganutnya selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa agama lain selain Islam boleh diamalkan dengan aman di negara ini. Lau mengakui berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' kepada orang Islam untuk penyebaran agama, tetapi ia boleh digunakan untuk bukan Islam bagi tujuan penyebaran agama kepada bukan Islam. Bagaimanapun, keputusan itu dibantah pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu Islam yang mengadakan perhimpunan secara aman di seluruh negara dan meminta campur tangan Majlis Raja-Raja.
Berikutan pelbagai bantahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta umat Islam bertenang dan tidak terlalu 'memanaskan' isu itu dan menegaskan kerajaan amat memahami perasaan dan sensitiviti umat Islam di seluruh negara. Beliau juga berkata, kerajaan sedar dan prihatin dengan pelbagai reaksi, termasuk pemimpin Islam dan NGO berhubung keputusan i
tu.

Sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam kita tidak membenar persatuan atau pertubuhan agama mengunakan perkataan Allah dalam apa jua urusan kerana boleh memesong akidah umat Islam itu sendiri.

No comments:

Post a Comment