Tuesday, December 15, 2009

KETERBUKAAN KERAJAAN MINTA RAKYAT NILAI NKRA BUKTI KETULUSAN KERAJAAN


LANGKAH kerajaan untuk mempamerkan semua dokumen terperinci enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada Khamis dan Jumaat ini bagi dinilai rakyat bukan saja membuktikan ketelusan kerajaan memperbaiki mutu perkhidmatan seperti dijanjikan, malah menepati pendekatan falsafah 1Malaysia, iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Inilah kali pertama kerajaan berbuat demikian dan kesanggupan itu bermakna kerajaan sanggup menerima kritikan atau teguran orang ramai jika ada perkara tidak memuaskan hati berkisar kepada enam bidang yang digariskan NKRA itu.

Enam NKRA itu ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan (diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin); mengurangkan kadar jenayah (Datuk Seri Hishammuddin Hussein); memerangi rasuah (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz); meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah (Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil); memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman (Datuk Seri Shafie Apdal) dan menambah baik pengangkutan awam (Datuk Seri Ong Tee Keat).

Apabila dokumen itu dipamerkan nanti, sudah pasti memberi akses kepada orang ramai mengenai apa yang sudah, sedang dan akan dilakukan kerajaan. Apakah mereka berpuas hati terhadap usaha mengekang jenayah atau memerangi rasuah. Kerajaan ada cara tersendiri menangani isu berkaitan dan orang ramai pula mungkin ada cadangan balas yang boleh diambil kira kerajaan untuk menangani isu itu dengan lebih berkesan. Misalnya, kes jenayah ragut hingga membimbangkan dan apakah langkah seterusnya dilakukan kerajaan atau menteri yang dipertanggungjawabkan untuk membendung masalah itu. Kita yakin orang ramai ada cadangan boleh diambil kira apatah lagi daripada mereka yang pernah menjadi mangsa ragut. Begitu juga kes rasuah dan orang ramai boleh memberi pelbagai cadangan bagaimana masalah ini boleh ditangani sebaik mungkin. Mungkin senang mencapai NKRA bagi projek prasarana luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan pendidikan berkualiti kerana ia lebih berbentuk projek pembangunan tetapi rasuah, jenayah dan soal pengangkutan awam, bukan sesuatu yang mudah apatah lagi berkisar kepada persepsi rakyat terhadap isu tertentu.

Misalnya, walaupun berjuta-juta ringgit diumumkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam, tetapi jika orang ramai masih tidak berpuas hati dengan tahap perkhidmatannya, tidak akan mencapai NKRA dihasratkan. Ini bermakna, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pengguna iaitu orang ramai apa yang mereka perlukan. Oleh itu, apabila dokumen terperinci enam NKRA ini dipamerkan, orang ramai boleh membuat cadangan balas dan inilah sebenarnya dikehendaki Datuk Seri Najib Razak yang bersikap terbuka mengenai kepemimpinannya. Jika berlaku penolakan NKRA oleh seorang dua individu, ia tidak bermakna program itu tidak baik atau dikaji semula. Kita akui sukar memuaskan hati semua, tetapi yang pasti, apa dilakukan itu adalah untuk kebaikan semua demi kesejahteraan rakyat.

Ia sebagai langkah yang baik dalam mempertingkat mutu keberhasilan kepada negara. NKRA bertujuan menambahkan baik bagi memberikan kepuasan hati kepada rakyat dalam negara ini.

No comments:

Post a Comment