Friday, June 25, 2010

ASW 2002 BANDAR BANTU MISKIN TEGAR

2010/06/25KUALA LUMPUR: Seramai 4,976 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin bandar di seluruh negara menjadi kumpulan pertama menerima saham Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 Bandar yang dilancarkan semalam dengan masing-masing diperuntukkan RM10,000 sebagai wang prinsipal pelaburan.

Program khas ASW 2020 Bandar yang membabitkan RM100 juta peruntukan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri itu adalah satu lagi usaha kerajaan mengeluarkan rakyat miskin tegar serta miskin di bandar daripada kepompong kemiskinan ke arah mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi.

Semua penerima, termasuk 196 di Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada 5,466 miskin tegar dan 2,973 miskin di bandar yang berdaftar dengan program e-Kasih Fasa 1 dan Fasa II. Penerima akan menerima dividen serta pulangan lain setiap tahun daripada pelaburan 10,000 unit saham itu sepanjang hayat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkannya, berkata unit saham itu akan diberikan kepada KIR lain yang layak apabila penerima terbabit meninggal dunia. Saham ini tidak dijadikan harta pusaka kerana mungkin anak mereka sudah menjadi doktor, jurutera atau tidak layak menerima, katanya.


Najib berkata, 50,931 KIR sudah dimasukkan dalam pendaftaran e-Kasih Fasa I dan Fasa II bagi kategori miskin tegar tetapi berkurangan kepada 33,417, manakala bagi kumpulan miskin, berkurangan daripada 68,468 kepada 66,848. Jumlah itu dapat dikurangkan kerana kerajaan tidak mengambil sikap bahawa negara kita adalah negara kebajikan.

Setiap rakyat yang susah perlu dibantu. Mereka hidup dalam keadaan susah perlukan bantuan dari kerajaan. Oleh itu dengan skim ASW 2020 serba sedikit meringan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh golongan miskin tersebut.

No comments:

Post a Comment