KUALA LUMPUR 30 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ekonomi negara kini mulai menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang sebenar dengan terdapatnya peningkatan positif sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Najib berkata, perkembangan itu adalah hasil yang ditunjukkan oleh permintaan domestik selepas menerima faedah daripada tindakan proaktif kerajaan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, sektor luaran perlu mengalami pengukuhan yang sama untuk membolehkan ekonomi negara kembali berada di landasannya.
Najib menjelaskan, dua perkara yang diberikan tumpuan oleh kerajaan telah menyumbang kepada peningkatan positif tersebut iaitu pakej rangsangan fiskal dan usaha memastikan kesinambungan akses untuk kredit kepada sektor perniagaan dan individu.
"Secara puratanya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM1 bilion sebulan hasil dari pengumuman pakej rangsangan I dan II dan ia akan berterusan sehingga tahun 2010," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan ekonomi Malaysia dan sektor kewangan di sini, hari ini.
Ditanya tentang perkembangan pakej rangsangan yang diumumkan pada awal tahun ini, Najib berkata, sehingga 11 September lalu, pakej rangsangan pertama kerajaan telah membiayai 52,486 projek bernilai RM6.022 bilion dengan sejumlah RM4.087 bilion bayaran telah dikeluarkan.
"Bagi pakej rangsangan kedua, 30,640 projek bernilai RM7.540 bilion telah dilaksanakan dan sejumlah RM3.624 bilion pembayaran telah pun dibuat," kata beliau.
Sementara itu, Najib berkata, sejak pertengahan 2008, kerajaan dan BNM mewujudkan lima tabung khas dengan jumlah peruntukan sebanyak RM13.4 bilion dan sehingga kini RM8.2 bilion telah pun diluluskan kepada 17,600 perniagaan di seluruh negara. ( dari sumber Utusan Malaysia )
komen : Itu adalah langkah-langkah yang di ambil oleh kepimpinan Dato' Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Kerajaan masih mampu bertahan dan tidak terbawa kepada kejatuhan ekonomi yang teruk. Malaysia mampu mengawal ekomomi negara, rakyat masih hidup dengan selesa dan berbelanja dengan berhemah terutama golongan yang berpendapatan rendah dan golongan pertengahan.
No comments:
Post a Comment