Monday, September 28, 2009

TUN MAHATHIR MAHUKAN CALON BERSIH BAGI UMNO



KUALA LUMPUR, 22 Sept: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan lagi usaha mempengaruhi keputusan pemilihan calon Barisan Nasional dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan.
Mahathir menegaskan Umno harus memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang, lapor agensi berita Bernama.
Kenyataan beliau itu boleh dilihat sebagai menolak pencalonan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, kenyataan kali kedua selepas kenyataannya menggesa Isa tidak dicalonkan di Bagan Pinang.
"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu sama ada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya," Mahathir dilapor berkata.
Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 selepas disabitkan bersalah rasuah politik ketika pemilihan kepimpinan Umno pada 2004.
Beliau pada mulanya digantung dua penggal iaitu enam tahun tetapi dikurangkan kepada tiga tahun selepas rayuan.
Isa dalam pemilihan itu mendapat undi tertinggi mengatasi dua calon lain bagi jawatan naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas kenyataan Mahathir itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap Umno berjaya mengemukakan calon yang bebas politik wang dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.
"Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan bahawa 'Umno sudah jadi parti perasuah.' Mungkin hari ini Umno bukan lagi parti perasuah dan sebab itulah bekas perdana menteri menekankan supaya Umno tampil dengan calon bebas politik wang dalam pilihan raya Bagan Pinang.
"Mungkin juga Umno Bahagian Teluk Kemang (yang meliputi kawasan Dun Bagan Pinang) tidak pernah mengamalkan politik wang dan tokoh-tokoh Umno di bahagian itu bebas politik wang semuanya," kata Salahuddin yang juga pengarah Jentera Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil tersebut.
Isa, ketua Umno Bahagian Teluk Kemang ialah calon popular dalam kalangan akar umbi Umno di Negeri Sembilan dan mendapat sokongan meluas untuk bertanding di Bagan Pinang.
Menurut laporan itu lagi, Mahathir melahirkan keyakinan Umno boleh memperolehi majoriti besar dalam pilihan raya kecil itu nanti kerana faktor kawasan itu sebagai kubu kuat BN.

komen : Cadangan Tun Mahathir agar calon yang dipilih adalah calon yang terbaik bagi mempastikan UMNO terus menang dan mendapat mojeriti besar di Bagan Pinang di dalam Pilihanraya Kecil akan datang. Cadangan yang baik itu perlu dinilai apa yang diutarakan oleh Tun Mahathir Mohamad itu dan jangan ia dianggap remih, dan perlu bersifat positif di atas cadangan tersebut.

2 comments:

  1. UMNO / BN harus belajar dari kesilapan..jgn jd kn ianya modal buat PR utk menghentam UMNO BN pd PRK itu nnti...

    ReplyDelete
  2. Salam,
    Pengajaran dari Pilihanraya kecil yang lalu adalah satu pengajaran yang perlu belajar apa kesilapan yang dilakukan.
    Pengajaran yang lalu perlu diambil iktibar.
    Terima kasih atas kemen saudari.

    ReplyDelete