Tuesday, September 29, 2009

HASSAN ALI BOHONG

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor, Teng Chang Khim, mendakwa Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berbohong apabila menuduhnya melabel pegawai daerah di negeri ini 'tidak cekap' dan 'tidak layak' memegang jawatan berkenaan. Teng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang dari DAP, berkata beliau tidak pernah membuat kenyataan sedemikian ketika pegawai daerah disoal mengenai prosedur kelulusan pengagihan peruntukan RM500,000 setahun bagi wakil rakyat dalam pendengaran awam, baru-baru ini. "Beliau (Hasan) kata saya menuduh pegawai daerah sebagai tidak cekap dan tidak layak pada sidang media selepas setiap pendengaran. Ini satu penipuan yang nyata oleh Hasan Ali.
"Beliau kini cuba berbohong untuk menutup penipuan pertamanya. Beliau sering tidak konsisten dalam semua kenyataannya," katanya pada sidang media di sini, semalam. Hasan sebelum ini dilaporkan berkata beliau mencadangkan supaya Selcat ditambah baik apabila mendengar isteri Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Husin, kini malu untuk keluar rumah selepas suaminya dikatakan tidak cekap dan tidak layak untuk memegang jawatan itu. Teng bagaimanapun mempersoalkan kejujuran Hasan untuk memperkemaskan Selcat kerana Pesuruhjaya Pas itu tidak menghubunginya selepas menerima aduan mengenai pegawai daerah yang didakwa dibuli jawatankuasa itu.
Katanya, Hasan tidak sepatutnya bercakap mengenai memperbaiki prosedur Selcat kerana penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan peraturan. "Ia tidak ada kena mengena dengan prosedur. Jika mereka merasakan ia tidak wajar, mereka patut bercakap mengenai kod etika dan bukan prosedur," katanya yang tidak bersetuju dengan cadangan Hasan supaya Selcat melakukan pendengaran secara tertutup untuk melindungi integriti pegawai awam. Katanya, integriti adalah mengenai kejujuran dan bagaimana hendak melindungi kejujuran dalam pendengaran tertutup. Beliau berkata, Hasan perlu berhenti bermain politik dalam usahanya mencari sokongan di kalangan penjawat awam, sedangkan Pesuruhjaya Pas itu sendiri didakwa pernah mencadangkan pertukaran beberapa pegawai daerah dan Yang Dipertua.
"Saya sendiri pernah melihat senarai cadangan pertukaran. Tiba-tiba beliau bertukar menjadi pelindung kepada penjawat awam. Saya memberi peluang kepadanya untuk bertaubat. Bertaubatlah," katanya. Teng berkata, beliau bimbang tindak-tanduk Hasan itu boleh menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang. "Saya sangat percaya jika mereka terus dengan perbuatan ini, Pakatan Rakyat di Selangor bukan dikalahkan Barisan Nasional (BN), tetapi oleh Pas pada pilihan raya umum akan datang," katanya. Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Teng bahawa Pakatan Rakyat mungkin kalah disebabkan Pas, berkata ia tidak ada kena mengena dengan pentadbiran Selangor.


komen : Itulah dapat kuasa mahu mentadbirkan sesebuah negari itu bukan satu perkara yang mudah mahu melaksanakannya.

No comments:

Post a Comment