Wednesday, September 30, 2009

ISA CALON BN DI BAGAN PINANG


PORT DICKSON 30 Sept.: Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober ini. Pemilihan Mohd Isa, 60, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis jamuan Aidilfitri di Batu 6 Jalan Pantai di sini, semalam. Pas pula mencalonkan Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohamad Omar, 45, yang diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malam tadi.
Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN, berkata pemilihan Mohd Isa dibuat bukan saja selepas diteliti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah mengambil kira pandangan akar umbi penduduk Bagan Pinang. Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kerja peringkat bawahan dilakukan sebelum keputusan itu dibuat dengan mendapatkan pandangan semua lapisan masyarakat dan semua kaum. "Oleh kerana ini adalah pilihan raya kecil, apa yang penting ialah rakyat didahulukan, rakyat di Bagan Pinang mesti didahulukan.
"Mana yang rakyat hendakkan, itu yang kita akan beri. Siapa yang rakyat mahu, siapa yang Bagan Pinang mahu," katanya disambut laungan gemuruh orang ramai yang menyebut nama `Mohd Isa' beberapa kali. "Okay, Tan Sri Isa lah menjadi calon BN," kata Muhyiddin dan pengumuman itu sekali lagi disambut dengan laungan serta tepukan gemuruh kira-kira 10,000 orang yang menghadiri majlis itu. Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Umno, Azman Mohammad Noor, 54, pada 31 Julai lalu kerana jangkitan dalam darah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian pada 11 Oktober ini.

komen : Pemilihan Tan Seri Isa Samad sebagai calon BN di Bagan Pinang adalah calon terbaik dan ia atas kehendak akar umbi di Dun Bagan Pinang. Walaupun berbagai pandangan pucuk pimpinan tetap memilih Tan Seri Samad sebagai calon, ia mengambil kira pandangan penggundi di peringkat Dun Bagan Pinang. Semua pihak perlu akur kehendak pucuk pemimpin UMNO dan memberikan sokongan padu untuk mencapai kemenangan kepada calon BN pada Pilihanraya Kecil Bagan Pinang.

No comments:

Post a Comment