HULU SELANGOR 21 April - Pengundi-pengundi wanita di sini kesal kerana kebajikan ibu tunggal, warga emas serta keluarga miskin terabai tanpa sebarang pembelaan sejak pakatan pembangkang memerintah Selangor dua tahun lalu.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hal sedemikian berlaku kerana kerajaan negeri tidak menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum 2008 dan kini terbukti semuanya adalah palsu bagi mengaburi fikiran rakyat.
Menurutnya, rasa serik kumpulan itu yang mewakili 52 peratus daripada jumlah keseluruhan 64,500 pengundi di Parlimen Hulu Selangor disuarakan ketika jentera Wanita UMNO, 'Jalinan Rakyat' membuat lawatan rumah ke rumah berkempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung sekarang.
"Ekoran tiada bantuan kerajaan negeri, masyarakat hanya bergantung kepada peruntukan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang memenangi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
"Maklumat balas yang diterima bahawa pengundi-pengundi wanita tidak mahu lagi memilih Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka juga tidak mahu mensia-siakan peluang untuk memilih calon BN pada pilihan raya kali ini," katanya.
Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan demikian selepas melawat rumah warga emas, Napsiah Abdul Rahman, 86, di Kampung Pasir Putih, Kalumpang dekat sini hari ini.
Beliau menambah, ekoran itu pengundi-pengundi wanita tidak lagi mahu tertipu dengan helah pembangkang setelah tiada pembangunan yang dibawa sejak dua tahun diberi peluang menguasai Parlimen Hulu Selangor.
Diharapkan penggundi memikirkan dengan sebaik sebelum memilih parti yang layak dipangkah.
Jika tidak janji yang dibuat hanyak tinggal janji sahaja tetapi kerajaan pusat mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kerana ia sentiasa membantu rakyat mengikut keutamaan dan kelayakan seorang itu. Oleh itu Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyalurkan kepada yang layak menerima bantuan tersebut.
No comments:
Post a Comment