IPOH 31 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kesal dengan sikap pembangkang yang sengaja mencetuskan kekecohan dan suasana huru-hara pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Beliau turut mendedahkan ada di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak mahu melemparkan fail ke arahnya.
Menurut Zambry, sikap yang ditunjukkan oleh pembangkang tersebut mencerminkan 'wajah' dan peribadi mereka sebenarnya.
''Mereka mengaku mahu menjadi pembangkang yang baik, apa yang berlaku hari ini membuktikan segala yang dipertontonkan mereka adalah sikap yang buruk.
''Dewan seolah-olah dijadikan 'kandang' dan medan demonstrasi jalanan mempamerkan poster-poster. Inikah contoh ditunjukkan oleh mereka sebagai wakil rakyat," katanya di sini hari ini.
Zambry berkata, telahan beliau bahawa pembangkang akan tetap dengan sikap 'kurang ajar' mereka dan tidak langsung mengutamakan kepentingan rakyat telah terbukti hari ini.
''Mereka membohongi, memfitnah dan terus memekik-mekik iaitu suatu perbuatan yang buruk sekali dan tidak sepatutnya berlaku dalam Dewan yang dianggap mulia ini.
''Saya yakin rakyat akan menilai mereka menerusi perangai-perangai dan perbuatan tidak bermoral ini," katanya.
Rakyat yang memilih wakil rakyat. Setiap perbuatan yang dilakukan akan di nilai oleh rakyat.
Jika beginilah sikap pembangkang akan rosaklah Dewan yang bersidang tanpa faedah yang baik demi kepentingan rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment