Tuesday, September 8, 2009

PELAJAR TERBAIK


KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pelajar Malaysia, Adelina Raisa Sufian, 21, meraih anugerah 'Pelajar Terbaik Keseluruhan' dengan kelulusan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di Queen Mary College di University of London yang sekali gus mengharumkan nama negara.
Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih untuk anugerah 'Westfield Trust Prize for Outstanding Academic Achievement' apabila berjaya menjadi pelajar Malaysia pertama memenangi anugerah yang dianggap paling berprestij dari universiti tersebut.
Anak sulung kepada pasangan, Datuk Sufian Majid dan Datin Alissa Fitri ini berkata, beliau begitu gembira dan bangga kerana mendapat kelulusan kelas pertama dan berjaya menggondol anugerah tersebut kerana ia merupakan impian dan cita-citanya ketika mula menjejak kaki ke universiti tersebut.
''Saya belajar bersungguh-sungguh dengan menetapkan sasaran tertentu. Yang penting adalah kesungguhan dan keyakinan pada diri kita. Saya terpaksa menandingi ramai pelajar di London dan juga pelajar dari negara lain tetapi berbekalkan semangat yakin boleh, saya berjaya melakukannya.
''Saya juga selalu mendapat sokongan dan rangsangan daripada ibu bapa dan juga adik saya. Kata-kata rangsangan mereka memberikan suntikan semangat yang kuat kepada saya,'' katanya kepada Bernama.
Adelina Raisa yang mahir bermain piano dan pernah mewakili universiti dalam pertandingan koir, pertandingan Matematik dan banyak lagi aktiviti lain berkata, pelajar Malaysia boleh melakukan yang terbaik dalam pengajian bahasa Inggeris walaupun meneruskan pengajian di luar negara seperti di London yang penuh dengan cabaran.
Beliau juga pernah memenangi anugerah 'Headmaster's Prize' pada 2004 di Oakham School dan juga Anugerah Terbaik untuk mata pelajaran Matematik, Inggeris dan Kimia pada tahun yang sama.
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya, Adelina Raisa yang suka meluangkan masanya untuk menulis berkata: ''Saya akan bekerja di Malaysia. Saya sayangkan Malaysia. Negara kita tetap menjadi pilihan saya untuk meneruskan karier saya kerana banyak peluang di sini.
''Apabila kita habis belajar di luar negara, adalah lebih baik kita balik dan menyumbang tenaga dan khidmat kita kepada negara kita yang tercinta,'' katanya yang bercadang meneruskan pengajian mastersnya kelak.
komen : Ini contoh yang perlu diikuti oleh pelajar-pelajar dinegara ini.

1 comment:

  1. Salam, tahniah kepada Adelina, inilah hasil dari PPSMI....

    ReplyDelete