Thursday, December 31, 2009

KERJASAMA, SOKONGAN MENJAYAKAN MISI DATO' NAJIB


AZAM pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menjadikan 2010 sebagai tahun melaksanakan pelbagai program dan projek yang sudah dijanjikan kepada rakyat, perlu disusuli tekad sama oleh seluruh jentera kerajaan. Tidak kira sama ada pemimpin, pegawai tinggi atau kakitangan kerajaan, mereka perlu menjadikan pengumuman Najib itu sebagai azam tahun baru mereka juga. Walaupun tugas melunaskan janji itu memang menjadi kewajipan setiap pemimpin dan kakitangan kerajaan, tiada salahnya mereka memperbaharui iltizam berbuat demikian.

Soal sama ada pendirian peribadi mereka sejajar dengan aspirasi kerajaan atau tidak, harus diketepikan. Seperti mana Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah akujanji ketelusan kerajaan terhadap usaha membela nasib rakyat, kakitangan kerajaan juga sudah membuat ikrar sama ketika memulakan tugas mereka. Lebih daripada itu, mereka harus sedar komitmen kerajaan berbuat demikian ialah demi kepentingan seluruh rakyat, tanpa mengira anutan politik. Peringatan Najib bahawa seluruh jentera kerajaan perlu menjuruskan usaha melaksanakan agenda pembangunan kerana rakyat akan meneliti sejauh mana keberkesanannya adalah isyarat jelas untuk semua pihak yang terbabit dalam pentadbirannya bingkas memikul tanggungjawab yang sudah diamanahkan. Semua peringkat pemimpin dan kakitangan kerajaan harus insaf bahawa kerjasama mereka adalah tonggak kepada usaha merealisasikan komitmen itu.

Ia mesti berpaksikan kepentingan rakyat secara menyeluruh dan dikecualikan daripada sebarang niat lain. Kita yakin, jika semua pihak sedia memainkan peranan mereka sebaiknya, 2010 akan menjadi tahun yang cukup bermakna dari segi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Oleh itu setiap rakyat malaysia harus membantu dalam menjayakan azam Perdana Menteri tersebut. Negara telah beransur pulih dari krisis ekonomi dunia di zaman Dato' Seri Najib berkat kerja kuat dan perancangan yang baik bagi memulihkan ekonomi negara ini.

No comments:

Post a Comment