Wednesday, December 30, 2009

MIER RAMAL EKONOMI TUMBUH 4.0 PERATUS

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan hampir 4.0 peratus pada 2010 apabila "kesemua perangkaan yang ada menunjukkan dengan jelas bahawa Malaysia kini telah keluar dari kemelesetan."
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, negara akan mencatatkan pertumbuhan positif pada suku keempat tahun ini dan berkemungkinan akan melimpah ke tahun 2010.
"Pada peringkat awal, kami merasakan negara ini akan mencatatkan angka pertumbuhan seperti dari -3 hingga -4 peratus bagi tahun ini.
"Kini, selepas melihat perangkaan suku ketiga dan data bulan seterusnya, kami merasakan pertumbuhan tahun ini dijangka dicatatkan sekitar -2 hingga -3 peratus," katanya kepada Bernama di sini.
Bagaimana pun beliau berkata, 2010 akan terus mencabar kerana walaupun ekonomi global sedang bergerak keluar dari kemelesetan, ia belum keluar sepenuhnya dari kegawatan.
Ekonomi Malaysia juga dijangka terus berhadapan cabaran.
"Wujud kebimbangan bahawa lajakan pertumbuhan yang kita lihat sekarang ini - yang bukan sahaja di Malaysia malah di tempat lain juga - agak rapuh kerana pertumbuhan yang kita lihat di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah dan sesetengah negara lain terlalu dipacu oleh pakej rangsangan fiskal," kata Mohamed Ariff.
Bagi meneruskan lajakan itu, katanya negara-negara berkenaan kemungkinan perlu menyuntik satu lagi pakej rangsangan fiskal.
"Persoalannya, mampukah negara-negara ini melaksanakan satu lagi pakej rangsangan fiskal?"
"Banyak pihak merasakan usaha itu tidak akan berjaya. Wujud juga kebimbangan bahawa AS mungkin mengalami kemelesetan dua angka pada suku pertama tahun depan," katanya.
Jika keadaan itu berlaku, katanya jelas sekali keadaan akan memberi kesan limpahan kepada negara lain yang berdagang dan mempunyai hubungan dengan AS.
Kebimbangan lain ialah, katanya kemungkinan berlaku gelembong aset, terutama di China dan banyak negara lain di Asia Timur dan peningkatan inflasi.
— BERNAMA


Berkat usaha kepimpinan YAB Dato' Seri Najib berusaha membawa keluar negara dari krisis ekonomi negara yang melanda dunia pada masa ini, Malaysia mampu dan beransur pulih dari kegawatan ekonomi tersebut.

1 comment:

  1. Salam bro, InsyaAllah segalanya akan cerah dibawah kepimpinan DSN........Amin....

    ReplyDelete