KUALA LUMPUR 28 Mac – Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memenangi jawatan Presiden parti dengan majoriti tipis 68 undi, mengetepikan bekas pemimpin nombor satu, Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam pemilihan parti di sini hari ini.
Soi Lek, 62, memperoleh 901 undi berbanding Ka Ting meraih 833 undi manakala Tee Keat di tempat tercorot dengan 578 undi.
Speaker, Datuk Yip Phooi Hong mengumumkan keputusan tersebut kira-kira pukul 6.45 petang yang disusuli sorakan bergema penyokong Soi Lek.
Dengan keputusan tersebut, Soi Lek mempunyai tugas berat dalam usaha menyatukan semula kepimpinan MCA selepas parti berkenaan melalui fasa krisis kepimpinan sejak dua tahun lalu.
Semua yang terpilih hari ini akan memegang jawatan sehingga Oktober 2011.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menang tipis apabila majoriti yang diperolehnya hanya 65 undi sahaja.
Tiong Lai berjaya memperoleh 1,171 manakala lawannya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bekas Naib Presiden memperoleh 1,106 undi.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen, Datuk Donald Lim Siang Chai; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dan Ahli Jawatankuasa Pusat (CC), Gan Ping Sieu.
Bagi perebutan 25 jawatan dalam CC, Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong mendapat undi paling tinggi.
Seramai 86 calon bertanding dengan jumlah perwakilan yang membuang undi hari ini mencatat angka paling tinggi iaitu 2,315 orang. Tiga perwakilan tidak mengambil kertas undi sebaik sahaja proses pemilihan diadakan.
No comments:
Post a Comment