Wednesday, October 28, 2009

BELANJAWAN TEPATI ASPIRASI RAKYAT SABAH /SARAWAK

KETIKA Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat Jumaat lalu, masih ada penduduk di Sabah dan Sarawak yang mendengar ucapan beliau melalui radio yang menggunakan kuasa bateri dan minum air dari sungai atau telaga.

Pada masa sama, sebahagian rakyat di Semenanjung Malaysia mengikutinya melalui televisyen, radio dalam kereta mewah atau rumah mewah, dan portal berita melalui jalur lebar dari telefon bimbit canggih. Walaupun sudah merdeka selama 46 tahun, Sarawak dan Sabah masih terkebelakang dari segi kemudahan prasarana dan kemudahan asas yang lain. Pada 2005, Sabah menjadi negeri terendah, iaitu pada tangga ke-14 dari segi Indeks Komposit Pembangunan, manakala Sarawak berada di tangga ke-11.

Di kedua-dua negeri ini masih ramai yang hidup dalam keadaan tidak selesa kerana ketiadaan kemudahan asas seperti di negeri lain, terutama di luar bandar, sedangkan mereka ialah penyokong kuat kerajaan. Malah, pembangunan boleh disifatkan sebagai gagal, terutama di luar bandar sebagai akibat dasar yang memihak kepada bandar dan kota, ketirisan dalam proses pelaksanaan, serta pengagihan sumber dan projek pembangunan yang tidak seimbang. Elit politik tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada kawasan tertentu atas kepentingan politik semata-mata, sebaliknya rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan kawasan berhak merasai nikmat daripada dasar pembangunan kerajaan.

Setiap kali mengikuti ucapan bajet, seperti pemimpin politik dan Ahli Parlimen daripada kedua-dua negeri ini, penduduk di luar bandar negeri terbabit juga mengharapkan agar peruntukan yang lebih besar disalurkan untuk pembangunan asas dan ekonomi penduduk luar bandar. Bagi negeri yang membantu merealisasikan pembentukan gagasan Persekutuan Malaysia pada 1963, permintaan berkenaan tidaklah keterlaluan kerana mereka turut ingin menikmati hasil daripada sokongan, perjuangan dan pengorbanan mereka selama ini. Tambahan pula, Sabah dan Sarawak menyumbang 22 dan 30 kerusi masing-masing daripada 139 kerusi yang kini dikuasai oleh Barisan Nasional (BN). Adakah sesuatu yang keterlaluan jika rakyat dan pengundi yang berdiri teguh di belakang kerajaan diberi ganjaran dan imbuhan sewajarnya? Jika tidak, sampai bilakah kerajaan boleh memujuk supaya mereka bersabar atas alasan bahawa ia tidak dapat melaksanakan pembangunan, sekali gus kerana peruntukan dan dananya terbatas? Apatah lagi, isu pembangunan sentiasa hangat dijaja dan dieksploitasikan oleh pihak pembangkang dalam kempen menjelang pilihan raya.

Isu pembangunan dijangka terus dimanipulasikan dalam pilihan raya negeri yang akan datang. Bagi pihak kerajaan, ia menegaskan sudah berjaya membawa pembangunan kepada rakyat dan kawasan luar bandar, tetapi bagi pembangkang, pembangunan adalah tidak berkadar dengan peruntukan yang disalurkan selama kemerdekaan dan sumbangan negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan, terutama dari segi pendapatan daripada petroleum.
Perdana Menteri yang sudah banyak kali berkunjung ke Sabah dan Sarawak, termasuk ke kawasan pedalaman sejak menerajui negara April lalu, faham akan denyut nadi, masalah dan aspirasi penduduk di kedua-dua negeri ini.


Bajet 2010 bukan saja membuktikan pengagihan yang adil kepada kedua-dua negeri itu di bawah gagasan 1Malaysia, tetapi memperlihatkan komitmen jitu beliau untuk melihat bahawa penduduk Sabah dan Sarawak dapat berdiri sama tinggi dengan mereka di Semenanjung Malaysia. Peruntukan yang diumumkan itu akan dapat meneruskan projek pembangunan prasarana yang masih belum dinikmati oleh semua penduduk, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar. Dalam lawatan beliau, Najib berjanji memberi perhatian khusus kepada keperluan dan permintaan penduduk di luar bandar. Ternyata, janji beliau untuk tidak mahu melihat ada negeri yang tertinggal di belakang dikotakan beliau melalui Bajet 2010 apabila Sabah dan Sarawak diperuntukkan RM20 bilion.

Peruntukan RM1.5 bilion bagi projek, termasuk pembinaan jalan masuk ke empangan Murum di Kapit di bawah Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) dan empangan Baram di Miri, misalnya sudah pasti akan mampu menjana kegiatan ekonomi bagi penduduk. Ketidakseimbangan pendapatan antara wilayah dan negeri turut berpunca daripada ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi.
Sarawak tidak seharusnya terlalu bergantung pada sektor perlombongan dan perhutanan yang menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sebaliknya, kerajaan perlu mewujudkan pembangunan ekonomi lebih pelbagai agar dapat menjana punca pendapatan secara berterusan kepada penduduk luar bandar bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak. Dengan itu, jumlah anak muda dari kawasan pedalaman yang berhijrah ke Singapura dan Semenanjung untuk mencari pekerjaan akan berkurangan. Dalam hubungan ini, kerajaan hendaklah memperbanyak projek yang mampu menjana ekonomi, terutama sektor pertanian, pelancongan, pertanian dan mengeksploitasi sumber berpotensi di kawasan luar bandar ini dengan cara yang berkesan.


Dengan terlaksananya projek kemudahan asas dan prasarana dengan lebih berkesan tanpa ketirisan, diharapkan mereka tidak lagi mendengar ucapan daripada radio yang menggunakan kuasa bateri ketika mendengar Bajet 2011 tahun depan. Sebaliknya, diharapkan mereka akan menonton Perdana Menteri menyampaikan ucapan dari Dewan Rakyat menerusi kaca televisyen, sambil menghirup teh daripada air bersih yang disalurkan terus ke rumah atau rumah panjang mereka.
dipetik dari sumber utusan malaysia.

komen : Adalah diharapkan Bajet 2010 ini akan menyumbangkan pembangunan Negeri Sabah dan Sarawak. Ia dibawah kepimpinan datuk Seri Najib bin Tun Hj Abdul Razak sebagai Perdana Menteri.

1 comment:

  1. Masihkah rakyat Sabah bersabar diperlakukan beda dengan rakyat di Semenanjung?

    ReplyDelete