Tuesday, October 27, 2009

PAS BERPECAH DUA - NAJIB



HUA HIN - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, percanggahan dalam Pas sudah sampai ke kemuncak dan semakin serius sehingga timbul dua kumpulan dalam parti itu. Najib, yang juga Perdana Menteri berkata, satu kumpulan mahu bekerjasama dan mewujudkan persefahaman dengan UMNO dalam bentuk yang sesuai manakala satu lagi menentangnya.


“Ada pihak yang lebih mementingkan politik daripada ummah. Kita hargai pihak yang melihat UMNO sebagai mewakili orang Melayu, berjasa dalam perjuangan ummah dan menjaga kepentingan kaum-kaum lain,” katanya pada sidang media selepas tamatnya Sidang Kemuncak Asean ke-15 di sini. Najib berkata, percanggahan dalam Pas semakin serius berikutan hasrat Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan Muktamar Khas bertujuan membersihkan parti daripada pemimpin-pemimpin yang bermasalah. Menurutnya, ada kumpulan dalam Pas yang tidak mahu bekerjasama dengan UMNO untuk menegakkan kepentingan orang Melayu dan Islam semata-mata kerana kepentingan politik mereka.


Najib berkata, pihak itu (anti UMNO) tidak menghargai jasa UMNO dalam mewakili kepentingan orang Melayu dan menjaga perpaduan ummah. Katanya, terdapat sekumpulan pemimpin dalam Pas pula yang berhasrat untuk mencari pendekatan yang boleh membawa kepada perpaduan ummah, mirip kepada bekerjasama. “Apa bentuk tak tahu... maknanya tak mahu perpecahan. Satu lagi kumpulan mahu perbalahan berterusan dan tiada pertimbangan apa-apa untuk perpaduan,” katanya. Ditanya sama ada ada UMNO akan mengadakan perbincangan dengan Pas, Najib berkata, selagi Pas tiada kata sepakat, UMNO tidak boleh mengadakannya secara rasmi. “Kita tunggu dan lihat perkembangan dalam Pas,” katanya, sambil berkata, bahawa sebarang perbincangan tidak akan membuahkan hasil jika diadakan dengan wakil tertentu sahaja dan bukan keseluruhan parti itu.
- dari sumber Bernama


komen : Itu kepimpinan Nik Aziz yang sudah tidak diterima oleh penyokong PAS itu sendiri, ia terlalu taksub demi perjuanganya.

No comments:

Post a Comment