Friday, October 2, 2009

JUALAN KERETA PROTON DI UNITED KINGDOM LEPASI SASARAN



JUALAN kereta Proton di United Kingdom (UK) sudah melepasi sasaran bagi seluruh tahun ini sebanyak 10 peratus di sebalik penurunan permintaan kenderaan di negara itu susulan kegawatan ekonomi global dan persaingan sengit industri automotifnya. Pengarah Urusan Proton Cars (UK) Ltd, Brian Collier, berkata jualan yang memberangsangkan itu berikutan peningkatan minat pengguna di UK terhadap kenderaan kapasiti enjin kecil, insentif skim pelupusan kenderaan yang diperkenalkan kerajaan negara itu serta pengembangan pasaran kereta yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG). “Krisis kewangan global dijangka menyebabkan jualan kenderaan di UK tahun ini dianggarkan susut 29 peratus kepada 1.7 juta unit berbanding 2.4 juta unit pada 2007.
“Susulan itu kami merendahkan sasaran jualan bagi tahun ini kepada 1,000 unit. Bagaimanapun, ketika ini kami sudah mengatasi sasaran itu sebanyak 10 peratus,” katanya kepada wartawan Malaysia di Norwich, UK semalam. Proton UK kini memasarkan empat model Proton di negara itu iaitu Gen.2, Pesona, Satria dan Savvy menerusi 80 pengedarnya. Collier berkata, model Proton paling laris di UK ketika ini adalah Savvy yang menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jualan keseluruhan.
Sejak mula meneroka pasaran negara berkenaan pada 1989, Proton sudah menjual sejumlah 150,000 keretanya di negara itu. Ketika ini dianggarkan ada kira-kira 60,000 kereta Proton yang digunakan di jalan raya UK dengan jangka hayat purata kenderaan antara 10 hingga 12 tahun. “Berdasarkan maklum balas daripada pengedar kami, Proton memiliki ramai pelanggan setia yang mana setiap enam daripada 10 pelanggan membeli semula model baru Proton. “Peningkatan tinggi harga minyak tahun lalu menyaksikan minat penggunaan terhadap kenderaan kapasiti enjin kurang daripada 1200 cc meningkat, sekali gus menyaksikan jualan Savvy melonjak,” katanya.
Collier berkata, turut menyumbang kepada jualan Savvy adalah peningkatan kesedaran pengguna mengenai penjagaan alam sekitar dan kenderaan kecil seperti Savvy yang lebih mesra alam berbanding kenderaan dengan kapasiti enjin besar. Selain itu, katanya, perubahan minat pengguna kepada kenderaan kapasiti enjin kecil juga adalah disebabkan kesukaran mendapat pinjaman daripada bank. “Krisis kewangan global menyaksikan banyak permohonan pembiayaan pembelian kenderaan baru ditolak bank. Justeru, mereka beralih kepada kenderaan kecil yang berharga lebih murah dan mampu dimiliki. “Umumnya, kami menjangka dapat menjual sehingga 400 unit model Savvy tahun ini,” katanya.


komen : Ini menunjukkan jualan kereta buatan Malaysia dapat diterima di pasaran luar negara. Kita seharus berbangga kereta Malaysia dapat diterima di United Kingdom dan berada dijalanraya mereka. Semoga ekonomi negara bertambah baik
di zaman kepimpinan Dato' Seri Najib selaku Perdana Menteri Ke 6.

1 comment:

  1. Apa yang sedihnya, ada orang Malaysia beli kereta proton, tukar lambag jenama lain, malu konon......... tapi pakai juga sebab itulah kereta yang dia beli.....

    ReplyDelete