Tuesday, October 6, 2009

KANAK-KANAK TERTIMBUS KETIKA MENGAJI AL QURAN

PARIAMAN (SUMATERA BARAT): Kira-kira 30 kanak-kanak yang sedang mengaji al-Quran di sebuah masjid adalah antara lebih 200 orang yang terkorban akibat tanah runtuh yang melenyapkan Kampung Lubuk Laweh Tandikek di sini dalam gempa bumi, Rabu lalu. Kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu tidak sempat menyelamatkan diri apabila sebahagian lereng Bukit Tandikek runtuh dan menimbus kampung kira-kira jam 6.30 petang.

Beberapa penduduk yang terselamat berkata, kanak-kanak terbabit mengikuti kelas pengajian al-Quran yang diajar imam kampung berkenaan pada setiap hari sehingga waktu Maghrib. Norfadli Adi, 29, yang rumahnya terletak bersebelahan masjid berkenaan, berkata penduduk percaya kanak-kanak terbabit memasuki semula masjid itu tanpa menyedari tanah bukit berkenaan merekah akibat gempa, kira-kira sejam sebelumnya. "Bukan saja mereka, malah semua penduduk tidak menyedari bukit itu akan runtuh selepas gempa bumi melanda.
"Disebabkan itu, semua kembali masuk ke rumah selepas gempa bumi reda tanpa menyedari ia sebenarnya mencetuskan bencana lain," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, semalam. Dalam kejadian jam 6.30 petang Rabu lalu, sebahagian bukit sepanjang kira-kira 1,000 meter itu runtuh selepas gempa bumi berkekuatan 7.6 Skala Ritcher menggegarkan Sumatera Barat. Tanah dari bukit berkenaan yang membawa bersama pokok tumbang, melanda kampung itu dan melenyapkan keseluruhan kawasan berkenaan yang mempunyai lebih 50 rumah. Hanya 15 penduduk kampung berkenaan sempat menyelamatkan diri manakala yang lain tertimbus dalam rumah masing-masing.


Seorang lagi mangsa yang terselamat, Anisa Zulherman, 13, berkata adik lelakinya, Iqbal, 10, yang mengaji bersama kanak-kanak lain di masjid berkenaan bagaimanapun sempat melompat keluar ketika runtuhan berlaku. "Iqbal hanya memberitahu dia melompat keluar dari masjid ketika runtuhan berlaku tapi enggan bercerita lanjut, mungkin kerana trauma dengan kejadian itu," katanya. Katanya, keluarganya termasuk Iqbal kemudian segera melarikan diri ke kawasan selamat kerana takut ada lagi tanah runtuh.

komen : Itulah kekuasaan Allah yang maha berkuasa. Kanak-kanak yang belajar mengaji dan masih bersih seperti kain putih juga ditimpa bencana bencana alam. Oleh itu, berfikirlah dan tertaubatlah serta kuatkan keimanan kepada Allah.
Kita seharusnya bersyukur apa yang ada dan nikmat yang limpahkan ke atas diri kita.

No comments:

Post a Comment