Tuesday, October 13, 2009

KEGANASAN CEMARI HARI PENGUNDIAN DI BAGAN PINANG

PORT DICKSON – Proses pengundian Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang menyaksikan beberapa insiden kekecohan yang memburukkan perjalanan pengundian semalam. Pilihanraya kecil kali ini boleh dikatakan terburuk setakat ini dengan beberapa insiden bertikam lidah, provokasi sehingga berlaku serangan ke arah kumpulan lawan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kedua-dua parti tidak mahu mengalah dan membalas semula cercahan sambil membaling objek antara satu sama lain namun masih terkawal dengan kehadiran polis. Antara lokasi panas ialah di Batu 8 berhampiran pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang di mana berlakunya insiden baling botol dan batu pada kira-kira pukul 11 pagi. Kejadian itu dikatakan bermula dengan tindakan membaling batu oleh individu yang belum dipastikan identitinya sebelum mencetuskan insiden baling botol dan ‘perang mulut’ antara penyokong terbabit. Tiga ditahan polis berikutan melakukan provokasi kepada pihak lawan disepanjang Jalan Pantai yang memisahkan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas bagi membantu siasatan berikutan cuba menimbulkan provokasi dan kesalahan kecil pilihan raya. Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Tengku Adnan, keadaan yang sama turut berlaku dengan seorang lelaki dipercayai penyokong BN cuba menyerang penyokong Pas. Insiden itu dapat dileraikan polis yang cepat mengambil tindakan terhadap perkara itu. Turut kelihatan lebih 400 polis dari pelbagai unit antaranya Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Trafik dan pelbagai unit lain ditugaskan sepanjang proses pilihan raya.

Sementara itu, jalan masuk ke beberapa estet di sini sesak sejak awal pagi dengan kehadiran penyokong kedua-dua parti yang mula membanjiri beberapa tempat pengundian. Di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Bradwall dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Sua Betong, Siliau mendapati penyokong Pas menguasai kedua-dua kawasan terbabit. Kesesakan di situ menyebabkan anggota polis dikerah untuk mengawal keselamatan termasuk lalu lintas untuk memastikan pengundi datang ke pusat pengundian dengan selesa. Biarpun dipenuhi ramai penyokong, namun keadaan di pusat pengundian membabitkan kawasan estet terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Suasana yang sama turut berlaku di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaaan (Tamil) Ladang Atherton, Siliau yang turut membabitkan pengundi di kalangan pekerja estet.
( dipetik dari sumber Sinar Harian )

komen : Sikap penyokong kedua pihak seharusnya perlu berhemah dan bersikap
tertib perlu dilakukan oleh ke dua belah pihak. Jika tidak boleh menahan sabar akan berlakulah peristiwa pergaduhan di antara ke dua belah pihak. Kawalan ppihak Polis seharusnya dipuji dan mendapat sanjungan.

No comments:

Post a Comment