Friday, October 16, 2009

TUNAIKAN JANJI SEBELUM TERLAMBAT KATA NAJIB



PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) mengotakan janji mereka membuat pembaharuan dalam parti masing-masing demi keutuhan gabungan itu. Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, parti komponen yang menghadapi kemelut kepimpinan wajib secepat mungkin menangani keadaan sebelum terlambat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.


“Peluangnya ada, masa pun ada, tapi jangan melengah-lengahkan penyelesaian masalah dalaman sehinggakan nanti sudah di ambang pilihan raya, dah terlambat untuk memperbetulkan keadaan,” katanya. Najib yang mahu melihat setiap parti komponen BN menjadi stabil dan kuat supaya mereka dapat menyumbang kepada kejayaan BN, berkata, sebarang masalah terutama kemelut kepimpinan yang serius boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap BN walaupun ia hanya berlaku dalam satu parti komponen. “Sebab itulah saya sarankan, cuba selesaikan secepat mungkin krisis atau kemelut dalam parti masing-masing,” katanya. Najib berkata, selaku Pengerusi BN, pintunya sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak mendapat pandangan dan nasihat. Ditanya perubahan fundamental yang harus dilakukan oleh parti komponen berkenaan, Najib berkata: “Mereka mesti membuat pembaharuan. Itu yang mereka janjikan. “Semua parti menjanjikan bahawa mereka akan melakukan pembaharuan. Jadi mereka mesti kotakan apa yang mereka telah katakan atau tunaikan apa yang mereka janji.” Katanya, walapun ada tanda proses pembaharuan itu dilaksanakan, ia dianggap masih berjalan dan belum sampai peringkat mantap. “Proses ini belum boleh dianggap sudah selesai. Jadi apa yang mereka janjikan tu, mereka patut teruskan seperti mana saya pernah kata dalam satu majlis bahawa apa gunanya jawatan dalam parti kalau kita tidak dapat sokongan daripada rakyat,” katanya.


Ditanya sama ada parti-parti komponen berkenaan patut diberi tempoh untuk melaksanakan perubahan itu, Najib berkata: “Mereka sepatutnya tahu”. Najib berkata, walaupun pada dasarnya prinsip formula perkongsian kuasa dalam BN akan diteruskan, BN perlu menampilkan calon yang mampu menang pilihan raya. Ditanya sama ada kuota calon bertanding pada pilihan raya akan diubah jika ada parti komponen masih tidak berubah, Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dulu. “Itu tanggungjawab saya sebagai pengerusi Barisan Nasional. Saya tetap menghormati proses dalam Barisan Nasional. Di samping itu, saya minta kita juga membuat penilaian yang realistik atas kemampuan masing-masing. “Kerana yang penting, kita tidak hendak korbankan mana-mana kerusi. Kita mesti letakkan calon-calon yang boleh menang. Jadi kalau dia nak menang, dia buat kerja dia dari sekarang,” katanya. BN mempunyai tugas untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan bagi meraih kemenangan meyakinkan pada pilihan raya umum akan datang berbanding keputusan pilihan raya lepas pada 2008.


Najib tidak menolak kemungkinan dengan konsep 1Malaysia, BN, satu hari nanti akan menjadi satu parti tanpa komponen seperti UMNO, MCA atau MIC, tetapi beliau menegaskan belum tiba masanya. “Apa-apa boleh berlaku tetapi rakyat dan masyarakat kita mesti bersedia," katanya. - ( dari sumber bernama )


komen : Semoga peringatan dari Dato Seri Najib akan melakukan perubahan kepada kemponen yang dimaksudkan dalam BN. BN akan kuat yang dapat menyakin semula rakyat dalam negara ini.

1 comment:

  1. Salam, bagaimana dengan tuan, sudahkah mula berubah ?

    ReplyDelete