Thursday, October 22, 2009

KELANTAN LULUSKAN 2,200 HEKTAR HUTAN UNTUK PEMBALAKAN

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Kerajaan Negeri Kelantan didapati meluluskan 2,200 hektar kawasan hutan simpan kekal dengan ketinggian melebihi 1,000 meter untuk aktiviti pembalakan kepada sebuah syarikat swasta walaupun ia sepatutnya diwartakan sebagai Hutan Perlindungan Sepenuhnya.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang (gambar) berkata, tiga kawasan iaitu Tanah Tinggi Lojing, Sungai Betis dan Sungai Brook di Gua Musang diluluskan sebagai projek perintis atas alasan menggantikan kawasan konsesi yang diambil semula daripada Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn. Bhd. (KPK).
Katanya, kelulusan itu dibuat kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kecil Perhutanan (JKKP).
''Bagaimanapun, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) tidak disediakan sehingga kini dan Jawatankuasa Teknikal yang diwujudkan tidak mematuhi syarat yang ditetapkan JKKP,'' katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.


Beliau berkata, syarat tidak dipatuhi itu melibatkan keahlian Jawatankuasa Teknikal yang sebahagian besar membabitkan kakitangan syarikat yang mempunyai kepentingan.
Katanya, bagi tempoh 2005 hingga 2008, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) meluluskan enam lesen pembalakan dengan keluasan 555 hektar iaitu sebahagian daripada 2,200 hektar yang diluluskan bagi projek perintis Pembalakan Berimpak Rendah (RIL) kepada syarikat itu.


Ambrin berkata, bagaimanapun, sehingga kini pihak KPK tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai kawasan balak di tanah tinggi itu yang dikatakan akan diberi sebagai ganti mengikut perjanjian konsesi tersebut.
''Jabatan Audit Negara mendapati projek perintis ini telah memberi keuntungan kepada syarikat berkenaan kerana mendapat kawasan pembalakan dengan kayu yang banyak dan berkualiti tinggi yang belum diterokai tanpa melalui proses tender.
''Kerajaan Negeri Kelantan pula hanya mendapat royalti dan premium sebagaimana kawasan pembalakan biasa yang lain.
''Sekiranya tujuan projek perintis ini untuk mengkaji Pengusahasilan Hutan Berimpak Rendah khususnya untuk kawasan tanah tinggi, JPNK tidak sepatutnya meluluskan kawasan yang luas sehingga 2,200 hektar sebagai projek perintis,'' katanya.
Beliau berkata, kesan daripada pembalakan di kawasan itu mengakibatkan kerosakan serius terhadap struktur tanah seperti berlakunya tanah runtuh dan pokok tumbang.
Sehubungan itu, Ambrin melalui laporan itu mengesyorkan supaya aktiviti pembalakan di kawasan tanah tinggi yang melebihi 1,000 meter tidak lagi diteruskan di kawasan itu seperti arahan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

komen : Tidak mengikut peraturan, sepatut nya Jabatan Audit Negara mengambil tindakan bagi mempastikan ia mengikut peraturan dan syarat-syarat apa yang perlu dilakukan oleh Syarikat Pembalakan dan Kerajaan Negeri yang meluluskannya semestinya mengikut peraturan yang ditetapkan. Jangan cuma pandai menyalahkan kerajaan pusat.

1 comment:

  1. Salam, mana lagi dia nak cari duit sebelum PRU13, kalau tak kebas sekarang kot-kot PRU 13 hilang kuasa, masa nilah nak kebas banyak-banyak....

    ReplyDelete