Monday, October 12, 2009

NAJIB BERHARAP EGM KEPUTUSAN SEGERA PULIHKAN MCA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, sebarang tindakan Jawatankuasa Pusat MCA pada Khamis ini berhubung kemelut kepemimpinan parti itu, perlu berlandaskan keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang menolak kepemimpinan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Perdana Menteri berkata, keputusan EGM kelmarin adalah kuasa tertinggi dalam mana-mana struktur parti dan percaya kepimpinan MCA mengambil iktibar daripada keputusan mesyuarat berkenaan. Dalam konteks ini, beliau berkata, salah satu ciri yang boleh menyumbang kepada parti yang kuat dan stabil ialah penyelesaian kemelut kepemimpinan serta krisis dalaman secara tuntas supaya ia tidak berulang.
“Saya amat berharap kepemimpinan MCA membuat keputusan segera membaik pulih parti serta mengembalikan keyakinan ahli dan masyarakat terhadap MCA. “Saya percaya kepimpinan MCA tahu apa yang diperlukan untuk mengembalikan kredibiliti dan keyakinan dalam kepemimpinan parti itu,” katanya selepas majlis memperkenalkan buku beliau bertajuk Menakhoda Zaman (Helming the Times), di sini semalam.


Jawatankuasa Pusat parti itu dijadual mengadakan mesyuarat khusus untuk membincangkan keputusan EGM serta hala tuju parti Khamis ini. Ditanya sama ada keputusan EGM itu akan mempengaruhi kedudukan Ong yang juga Menteri Pengangkutan dalam Kabinet, Najib berkata, ia adalah soal lain dan isu kepimpinan MCA perlu diselesaikan terlebih dulu. Mengulas kesan terhadap MCA dan Barisan Nasional (BN) jika Ong enggan melepaskan jawatan, Najib menjawab: “Mengapa anda mahu mengandaikan beliau tidak akan melepaskan jawatan atau apa-apa?... biarlah ambil langkah satu persatu.” Sambil menegaskan keputusan EGM itu perlu dihormati kerana ia dibuat ahli MCA, Najib yakin kebijaksanaan dan mengutamakan kepentingan BN mengatasi kepentingan lain boleh mengembalikan MCA sebagai parti yang kuat, stabil dan rakan penting BN.

“Amat penting supaya MCA (menjadi) sebuah parti yang kuat dan stabil. Ini objektif utama yang saya gariskan sebagai Pengerusi BN. Ada beberapa ciri yang menyumbang kepada MCA yang kuat dan stabil. Pertama, kepimpinan MCA perlu berwibawa serta berkesan. “Kepimpinan MCA juga mesti mampu meraih sokongan masyarakat Cina terhadap BN dan ketiga, kepimpinan MCA perlu menyelesaikan kemelut kepimpinan dan krisis dalaman supaya tidak berulang,” katanya. Najib juga berkata, Umno hanya bersedia membantu jika diminta oleh MCA kerana tidak mahu disalah tafsir sebagai masuk campur dalam hal ehwal parti berkenaan.

komen : Langkah mengadakan EGM sebagai satu langkah yang terbaik bagi memulihkan MCA. Keputusan yang dibuat oleh perwakilan perlu diambil tindakan.

1 comment:

  1. Tindakan perwakilan EGM MCA adalah tepat, membuang semua sampah-sampah yang tersangkut di mata......

    ReplyDelete