Tuesday, October 20, 2009

AWAS DUNIA TANPA SEMPADAN



PUTRAJAYA 19 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan kerajaan dan rakyat negara ini supaya tidak terlalu ghairah dan mudah terpengaruh dengan konsep dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan oleh Barat.


Katanya, ia adalah strategi halus kuasa dunia itu untuk menakluki negara-negara lain bukan melalui peperangan atau persengketaan, tetapi melalui ekonomi dan perdagangan.
Sambil memberi contoh konsep Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) misalnya, ia adalah satu perjanjian yang tidak memberi faedah yang besar kepada Malaysia.
''Negara Singapura yang merupakan negara pertama di rantau ini yang menandatangani perjanjian FTA dengan Amerika Syarikat mungkin tidak rugi apa-apa kerana negara itu mempunyai pelabuhan bebas cukai.
''Tapi jika FTA dijalankan di Malaysia, apa yang perlu kita korbankan?'' tanya beliau di hadapan kira-kira 200 hadirin pada majlis Wacana Intelek Ulung anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dalam syarahannya yang bertajuk Strategi Memartabatkan Melayu di Dunia Tanpa Sempadan, Dr. Mahathir berkata: ''Kita kena faham betul-betul apa yang dikatakan dunia tanpa sempadan ini, kesan dan kebaikannya kepada negara supaya kita tidak terperangkap.
''Saya percaya ada udang di sebalik batu tentang konsep ini.
''Kalau kita terima bulat-bulat, mungkin kita boleh hilang kemerdekaan,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya orang Melayu diperkukuhkan dalam semua bidang agar dapat membentuk nilai hidup yang mampu memartabatkan bangsa.
Salah satu daripadanya, jelas beliau, meningkatkan jati diri dengan mengamalkan budaya rajin bekerja supaya tidak mudah dipengaruhi gejala rasuah.
Selain itu, katanya, orang Melayu perlu memastikan kuasa politik tidak lemah supaya tidak hilang hak-hak keistimewaan.
"Seterusnya orang Melayu perlu berwaspada dengan sebarang idea yang datang dari luar termasuk berupaya menolak perkara-perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada kita," katanya.


Pada majlis itu, Dr. Mahathir turut melancarkan laman web Persatuan Alumni UiTM, www.uitmalumni.com dan buku-buku hasil karya persatuan berkenaan.
Persatuan ini yang sedang mengumpulkan ahlinya seramai kira-kira 350,000 orang di merata tempat, ditubuhkan baru-baru ini bagi membantu meningkatkan profesionalisme ahlinya serta menjaga kebajikan mereka.
Turut hadir pada majlis syarahan perdana itu ialah bekas wanita pertama negara, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Naib Canselor UiTM, Tan Sri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah dan Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.

( dipetik dari sumber Utusan Malaysia )


komen : Pandangan dari Tun Mahathir itu sebagai peringatan kepada orang melayu dan rakyat Malaysia supaya berhati dalam dunia tanpa sempadan pada masa ini. Ianya amat penting dalam menjaga kemerdekaan yang kita nikmati sekian lama di negara ini.

1 comment:

  1. Salam, ada orang Melayu yang tidak mahu memerdekakan diri dari budaya mendengar ceramah, menerima apa saja yang disampaikan tok guru tanpa berfikir logiknya......

    ReplyDelete