Friday, October 2, 2009

KOH TSU KOON SETUJU BERBAHAS TETAPI BERSYARAT

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengubah status klasifikasi minit mesyuarat Exco mengenai Kampung Buah Pala dan menjawab tiga soalan yang berkaitan menjelang Rabu sebelum beliau bersetuju dengan cadangan berbahas dengan Guan Eng yang akan disiarkan di televisyen.
Tsu Koon berkata, Guan Eng perlu mengumumkan sepenuhnya minit perbincangan semua Exco yang dipengerusikan oleh beliau, yang merupakan Ketua Menteri terdahulu, dan juga oleh Guan Eng yang mengambil alih jawatan itu selepas pilihan raya umum tahun lepas.
''Guan Eng sepatutnya mengalu-alukan ketelusan sepenuhnya kecuali beliau mahu menyembunyikan beberapa fakta sebenar. Beliau juga mesti mengeluarkan salinan geran tanah yang disahkan dan dokumen lain yang relevan," kata Tsu Koon dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh parti itu.
"Beliau tidak boleh hanya menerbitkan kronologi ringkasan minit mesyuarat Exco secara terpilih, sebahagian dan berat sebelah semasa di bawah pimpinan saya seperti dikeluarkan sebelum ini," kata Tsu Koon, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tsu Koon berkata, beliau memutuskan untuk menerima cabaran Guan Eng untuk memberikan penjelasan dan membersihkan namanya dan menurutnya, Ketua Menteri telah mengulangi 'separuh benar' dan telah menyalahkannya dan Barisan Nasional, dan mengelirukan rakyat.
"Oleh sebab Guan Eng mahukan pertarungan, lebih baik saya puaskan hati beliau," katanya.
Soalan pertama yang beliau mahu Guan Eng jawab ialah untuk mengesahkan jika pakatan pembangkang khususnya DAP telah memberitahu penduduk Kampung Buah Pala yang tapak itu tidak akan dibangunkan jika mereka mengundi pembangkang pada pilihan raya umum lepas.
Keduanya, Guan Eng mesti menyatakan pemilikan penduduk terhadap kampung itu dari segi undang-undang sebelum ia dipindah milik kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan ketiganya kenapa pindah milik tanah itu berkuat kuasa tiga minggu selepas pembangkang berkuasa.
Kampung Buah Pala akhirnya dirobohkan baru-baru ini selepas bantahan besar-besaran oleh penduduk, untuk memberi laluan bagi projek pembangunan.

( dari sumber Bernama )

komen : Perbahasan yang dicadangkan oleh Lim Guan Eng dan Tan Seri Dr. Koh Tsu Koon adalah langkah yang baik bagi mencari kebenaran. Jangan cuma pandai menaburkan janji di masa Pilihanraya Umum untuk rakyat di Kg Buah Pala selepas itu di biarkan tanpa memperdulikan keperluan rakyat bagi menyelesaikan masalah mereka yang berkehendakkan pertolongan dari pemimpin yang ada kuasa.

No comments:

Post a Comment