Wednesday, October 28, 2009

BAJET 2010 PAKEJ BERHEMAH IMBANGI SUASANA KELEMBAPAN EKONOMI GLOBAL

BAJET 2010 disifatkan sebagai pakej berhemah dengan pelbagai pihak menerima manfaatnya, walaupun sebenarnya ramai membuat spekulasi tertentu serta mengharapkan 'durian runtuh' seperti pemberian bonus, insentif dan subsidi lain. Ternyata, pembentangan bajet kali ini amat berbeza daripada kelazimannya yang turut menaikkan cukai terhadap rokok dan arak, selain memberi bonus kepada kakitangan awam. Kali ini, pemberian bonus tetap dilakukan, tetapi ia tidak menyeluruh kepada penjawat awam, sebaliknya bayaran khas RM500 hanya diagihkan kepada mereka yang berada pada Gred 41 hingga Gred 54 dan setarafnya. Pengagihan bonus itu tidak harus dijadikan isu dalam bajet kerana yang lebih utama adalah untuk menjana pertumbuhan negara yang turut menerima tempias akibat kelembapan global. Namun, bajet bertemakan '1Malaysia, Kemakmuran Bersama' bernilai RM191 bilion itu, tetap menumpukan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat pelbagai golongan, termasuk matlamat mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini.

Malah, kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuat kuasa tahun taksiran 2010, pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi membolehkan pembayar cukai nikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000 dianggap bonus yang mampu mengurangkan bebanan golongan terbabit. Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fatimah Kari, melihat bajet kali ini sebagai strategi jangka pendek untuk menangani pertumbuhan ekonomi dalam negara serta mengimbangi suasana kelembapan ekonomi pada peringkat global. Apa juga situasi, kerajaan perlu mengambil kesempatan itu untuk mempertahankan pertumbuhan negara ketika kedudukan ekonomi global yang tidak memberangsangkan.

Pemasalahan defisit bajet yang masih berada pada tahap lima hingga tujuh peratus dianggap angka yang besar dan menyulitkan kerajaan dan memerlukan pelaksanaan lebih berhemah. "Saya optimis terhadap bajet itu. Kerajaan juga terus dilihat mahu mengekang peningkatan defisit. Penstrukturan subsidi minyak juga dilihat sebagai langkah terbaik, terutama dengan keadaan harga minyak pasaran dunia semakin tinggi. Saya fikir jika berlaku kenaikan petrol untuk kali kedua pada masa depan, ia mungkin tidak dapat diterima ramai. Belanjawan ini sekurang-kurangnya dapat menangani isu kenaikan harga minyak. Cuma kita berharap supaya tidak berlaku ketirisan pihak yang layak menerima subsidi," katanya. Dalam aspek lain, beliau mencadangkan supaya peniaga kecil dikelompokkan dalam sebuah pertubuhan koperasi bagi membantu golongan itu yang lebih berisiko tinggi disebabkan kekurangan modal dan sukar mendapat pinjaman. Mengenai bonus kepada sebilangan penjawat awam, Fatimah berkata, bilangan yang layak menerima hanya kira-kira 20 peratus saja daripada keseluruhan jumlah 1.3 juta pekerja awam.

"Golongan ini layak menerima dan tidak memberi impak besar kepada situasi ekonomi negara, sebaliknya bonus itu akan dibelanjakan boleh menjana semula ekonomi," katanya. Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Penyelidikan MIDF, Zulkilfi Hamzah, berkata Bajet 2010 memberi lebih penekanan kepada perbelanjaan yang berhemah, terutama dari segi keberkesanan perbelanjaan itu sendiri. Katanya, pengurangan perbelanjaan operasi adalah sesuatu pendekatan baru yang agak mencabar dan bukan mudah untuk kerajaan mengurangkan subsidi, geran dan sebagainya, terutama dalam keadaan kelembapan ekonomi.

"Kos operasi kerajaan agak tinggi, walaupun ia bukannya perbelanjaan strategik. Perbelanjaan pembangunan adalah lebih penting di dalam konteks pemulihan ekonomi. Walaupun kerajaan tidak menaikkan cukai, perbelanjaan juga tidak dinaikkan. Kerajaan mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif. Perbelanjaan pembangunan terus dikekalkan sebanyak lebih RM50 bilion dan inilah yang akan menjana pendapatan kerajaan pada masa depan," katanya. Beliau berkata, walaupun, pakar ekonomi menjangkakan defisit terus meningkat pada tahun depan, beliau berpendapat defisit 5.6 peratus yang diunjurkan adalah kurang daripada enam hingga tujuh peratus yang diramalkan oleh pemerhati pasaran saham. Sekiranya pengurangan ini adalah disebabkan oleh pemotongan perbelanjaan pembangunan, ia mungkin akan meresahkan ahli ekonomi.

"Bagaimanapun, kerajaan mengambil pendekatan mengurangkan defisit dengan menyekat perbelanjaan tidak produktif. Kerajaan beranggapan bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan mestilah memberi pulangan yang maksimum dan ini termasuk pulangan dalam bentuk kesan sosial yang diharapkan. Oleh itu, ini adalah pendekatan yang dianggap baik," katanya.
dipetik sumber utusan malaysia.

komen : Rakyat seharusnya bersyukar dari apa nikmat yang kita dapati dari Bajet 2010 kita tidak dibebani oleh kenaikan cukai, dan lain-lain dikenakan oleh kerajaan kepada penduduk dinegara ini.

No comments:

Post a Comment