Monday, October 19, 2009

PEMBANGKANG BIMBANG KEBANGKITAN SEMULA UMNO

ALOR SETAR 18 Okt. - Pakatan pembangkang mula bimbang dengan kebangkitan semula UMNO selepas beberapa pindaan dalam perlembagaan dibuat bagi memantapkan semula parti itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, apabila pembangkang mula mengkritik UMNO mengenai pindaan tersebut, itu adalah petanda baik yang menunjukkan mereka tidak selesa dengan perubahan dilakukan UMNO.
"Pakatan pembangkang gusar melihat UMNO mula diterima rakyat sehingga mereka mengeluarkan kenyataan berbaur cemuhan kepada UMNO.


"Itu hanya retorik politik yang mereka cuba lakukan kerana selama ini apa yang kita lakukan tidak pernah betul pada mata mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan Untuk Khariah Masjid di sini hari ini.
Beliau mengulas kritikan para pemimpin parti pembangkang mengenai perubahan dilakukan oleh UMNO bagi menarik semula kepercayaan rakyat terhadap parti itu.
Menurut Mukhriz, biar apa pun perubahan yang cuba dilakukan oleh UMNO, para pemimpin pakatan pembangkang akan terus mengkritik dan dijadikan bahan untuk dibangkitkan dalam hujah politik mereka.


"Kita lakukan perubahan untuk merakyatkan UMNO dan sebelum ini pun mereka kata UMNO adalah parti elit.
"Mereka hanya cuba nak cucuk kita dan ejek kita kerana mula gusar dengan kebangkitan semula UMNO," katanya.
Jelasnya, pemimpin-pemimpin UMNO masih mempunyai masa dan sempat menukar sikap mereka selaras dengan saranan yang diberikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Perubahan yang dilakukan tidak akan mengambil masa lama kerana ia tidak susah untuk kita lakukan.
"Kita perlu nekad dan memasang niat untuk berubah serta mendekati setiap lapisan masyarakat bagi mengetahui masalah mereka," katanya.


komen : Itulah UMNO di era kepimpinan Dato' Seri Najib sebagai Presiden UMNO yang perlu berubah. Pindaan perlembagaan adalah salah satu langkah yang baik supaya UMNO akan dapat diterima oleh semua.

No comments:

Post a Comment