Friday, October 23, 2009

BAJET 2010 JANA EKONOMI NEGARA

DALAM keadaan ekonomi yang pantas berubah ditambah dengan keadaan persekitaran global yang tidak menentu, Bajet 2010 diharapkan dapat membantu menjana ekonomi negara, sejajar dengan hasrat Perdana Menteri menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Sehubungan itu, adalah diharapkan Bajet 2010 akan mengambil kira dasar-dasar percukaian dan inisiatif percukaian yang dapat menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Di samping itu, langkah-langkah yang diperkenalkan seharusnya mudah dilaksanakan, bersaiz kecil namun memberikan kesan yang besar dalam jangka masa pendek.

Antara cadangan yang dapat membantu menjana ekonomi negara adalah dengan mengurangkan kos menjalankan perniagaan di Malaysia. Pada masa ini, di bawah seksyen 33(1), Akta Cukai Pendapatan Malaysia, 1967, perbelanjaan yang layak diberi potongan cukai adalah perbelanjaan yang 'kesemuanya dan semata-mata dilakukan dalam menghasilkan pendapatan kasar perniagaan'. Oleh itu, mana-mana perbelanjaan yang tidak berada di bawah seksyen ini akan ditambah balik di dalam pengiraan cukai pendapatan syarikat. Definisi ini agak ketat. Antaranya, perbelanjaan perjalanan tiket kapal terbang untuk pulang bagi individu dalam syarikat, perbelanjaan bersifat modal seperti pembelian peralatan perniagaan, perbelanjaan untuk memenuhi keperluan undang-undang syarikat, yuran setiausaha dan juga setengah jenis lesen atau yuran bagi perniagaan tidak diberikan potongan cukai sedangkan setiap perbelanjaan tersebut adalah perlu dalam menjalankan perniagaan. Satu lagi contoh adalah kos bagi mendapatkan pinjaman seperti yuran jaminan (guarantee fees) atau yuran komitmen (commitment fees). Kos-kos ini harus ditanggung oleh syarikat bagi mendapatkan pinjaman perniagaan, menyebabkan kos yang lebih tinggi bagi mendapatkan pinjaman yang diperlukan dalam perniagaan. Kesemua ini secara langsung menyebabkan peningkatan kos perniagaan kerana kos cukai termasuk dalam kos bagi perniagaan. Penurunan cukai boleh menyebabkan lebih banyak kegiatan ekonomi dijalankan, seterusnya meningkatkan kadar pungutan cukai pada masa hadapan dan menarik pelabur asing melabur di negara ini serta menggalakkan syarikat tempatan untuk terus mengembangkan perniagaan.
Insentif-insentif percukaian juga sepatutnya menggalakkan pihak korporat untuk melabur semula di dalam negara, lebih-lebih lagi memandangkan negara-negara jiran turut menawarkan dasar percukaian yang menarik untuk pelabur-pelabur asing di samping membantu syarikat tempatan. Proses untuk mendapatkan insentif-insentif ini juga seharusnya lebih cepat dan mudah tanpa banyak birokrasi agar pihak korporat dapat menikmati faedah ini tanpa banyak halangan. Sekatan ke atas elaun pelaburan semula harus disemak semula agar syarikat dapat melabur semula bagi tujuan permodenan dan memperkembangkan perniagaan. Harus diingat bahawa insentif-insentif tersebut pada dasarnya diwujudkan untuk membantu pihak korporat menikmati kadar cukai yang lebih rendah, seterusnya meningkatkan aliran wang tunai agar dapat dilabur semula dalam memperkembangkan syarikat.


Memandangkan negara sedang menuju ke arah industri berasaskan perkhidmatan dan informasi teknologi, lebih banyak insentif yang menggalakkan pertumbuhan sektor ini harus diwujudkan sejajar dengan matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang dapat memberikan perkhidmatan bermutu dunia. Buat masa ini, insentif-insentif percukaian lebih menjurus kepada sektor perkilangan.
Satu lagi sektor yang harus difokuskan adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dilihat sebagai nadi pertumbuhan negara dan menjadi asas penting untuk menjana ekonomi negara. PKS harus diberi galakan yang dapat menjadikannya lebih berdaya-saing di dalam dan luar negara. Insentif patut diperkenalkan kepada PKS yang berjaya menembusi pasaran luar negara.
Sejajar dengan perkembangan global di mana faktor mesra alam dititikberatkan seperti di United Kingdom, Taiwan, Norway, Amerika Syarikat, Hong Kong dan sebagainya, lebih banyak insentif atau potongan cukai patut diperkenalkan kepada pihak korporat. Buat masa ini, taraf perintis dan elaun pelaburan semula diberikan kepada syarikat yang menghasilkan tenaga dari sumber kitar semula dan perbelanjaan dalam penyimpanan tenaga. Langkah yang boleh diambil seterusnya adalah dengan memperkenalkan lebih insentif kepada korporat yang menggunakan peralatan mesra alam, mengadakan aktiviti-aktiviti mesra alam atau merangka dasar bersifat mesra alam, contohnya pengurangan penggunaan elektrik atau membuat langkah-langkah kitar-semula. Di samping itu, insentif menarik yang menggalakkan penggunaan kenderaan hibrid patut diperkenalkan bagi mengurangkan pergantungan kepada petrol.


Dari perspektif sosial, infrastruktur sosial seperti pendidikan, penjagaan anak dan perubatan patut diberi perhatian. Sejak akhir-akhir ini, lebih banyak institusi-institusi pendidikan tinggi telah ditubuhkan di negara ini. Ini bermakna lebih ramai penuntut luar negara menjadikan Malaysia destinasi pembelajaran mereka. Lebih banyak insentif untuk sektor pendidikan tinggi harus diberikan. Sebagai contoh, potongan cukai dua kali boleh diberikan bagi institusi yang menghantar pensyarah melanjutkan pelajaran atau mengikuti kursus-kursus yang diiktiraf dan dapat menaikkan mutu pendidikan. Selain itu, insentif percukaian juga boleh diberi bagi institusi yang menaik taraf bangunan atau infrastrukturnya yang mana dapat menaikkan imej institusi tersebut. Penubuhan lebih banyak institusi pendidikan tinggi berkualiti dapat menjadikan industri ini lebih kompetitif. Manfaatnya bukan sahaja kepada negara malah dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia yang mana lebih banyak anak-anak Malaysia akan memperolehi mutu pembelajaran bertaraf dunia dengan kos yang lebih murah. United Kingdom, misalnya, terkenal dengan mutu pembelajarannya dan mengenakan yuran yang tinggi untuk rakyat asing tetapi rakyatnya dikenakan yuran yang lebih murah. Bagi ibubapa pula, mungkin insentif boleh diberi kepada mereka yang memilih untuk menghantar anak mereka belajar di negara. Ini secara langsung dapat membantu mengurangkan aliran wang ke luar negara serta menggalakkan anak mereka untuk bekerja dan menetap di Malaysia selepas tamat pengajian. Insentif juga patut dipertimbangkan bagi menggalakkan warga asing untuk menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di sini. Antaranya, sistem yang memberi faedah yang tinggi jika mereka menyimpan wang di negara ini atau kelonggaran untuk membeli rumah jika mereka mempunyai sejumlah deposit. Secara tidak langsung, ini bukan sahaja menaikkan nama negara sebagai pusat pendidikan tinggi tetapi juga menjana ekonomi dengan terdapatnya aliran wang dari negara asing. Sektor industri lain seperti hartanah dan perbankan akan turut mendapat manfaat ini.
Memandangkan lebih ramai wanita yang bekerja, adalah diharapkan insentif diberikan kepada pihak majikan yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak. Potongan cukai dua kali adalah sesuatu yang mungkin dapat menarik pihak korporat untuk membantu masalah ibubapa yang bekerja memandangkan penjagaan anak adalah isu semasa. Ini juga dapat mengurangkan pergantungan kepada tenaga luar untuk menjaga anak-anak.
Dalam merealisasikan impian negara ini, adalah diharapkan Bajet 2010 dapat menyelesaikan masalah jangka pendek dengan mengenakan langkah-langkah strategik yang cepat dan mempunyai impak yang besar.


komen : Diharapkan bajet 2010 yang dibentang hari akan memuaskan hati semua pihak dalam menjalani kehidupan kerana pada masa ini kos kehidupan adalah tinggi.

No comments:

Post a Comment