Thursday, October 8, 2009

KRISIS EKONOMI TIDAK BERULANG

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kerajaan yakin kemelut ekonomi semasa yang meninggalkan kesan negatif mendalam kepada orang ramai di seluruh dunia, tidak akan berulang.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, keyakinan itu berdasarkan usaha reformasi kewangan global yang turut disokong Malaysia untuk memastikan musibah seumpama itu tidak berlaku lagi.


Beliau menambah, cadangan reformasi yang bakal dibuat perlu merangkumi semua sistem penting, instrumen dan pasaran termasuk dana lindung nilai.
Sambil menyatakan kejayaan Malaysia mengharungi krisis kewangan Asia pada tahun 1997 berdasarkan caranya sendiri, beliau menambah, pengiktirafan perlu diberikan kepada negara-negara sedang membangun dengan membenarkan mereka bersuara lebih lantang dan membuat penyataan.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia di Istanbul, Turki hari ini.


Husni juga berkata, pertumbuhan ekonomi global berada pada asas perkhidmatan dan aliran modal melangkau sempadan tetapi Malaysia kecewa kerana negara-negara maju telah meletakkan pula tembok pelindungan.
''Polisi pelindungan hanya akan melembapkan pergerakan perdagangan global yang dikecapi setakat ini,'' jelasnya.
Husni berkata, Malaysia telah memulakan proses meliberalisasi ekonomi pada awal 1990 secara berperingkat dan dimulakan dengan sektor pembuatan, diikuti dengan sektor perkhidmatan.
Katanya, liberalisasi yang dilaksanakan kerajaan adalah untuk memastikan institusi dapat bersaing.
''Sektor kewangan tempatan kini telah mendapat manfaat daripada persaingan sihat dalam pasaran domestik.
''Liberalisasi merupakan sesuatu yang tidak perlu ditakuti sekiranya ia diuruskan dengan baik,'' katanya.


Selain itu, Husni berkata, proses pemulihan ekonomi mengambil masa yang panjang dan menyakitkan, masyarakat perlu bersedia dan bekerjasama untuk mencapai masa depan yang cerah.

( dari sumber utusan malaysia )

komen : Ia langkah yang baik di ambil oleh kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara dalam masa yang singkat.





No comments:

Post a Comment