Wednesday, November 11, 2009

BAI'AH CERMINKAN SIKAP PAS



KUALA LUMPUR 10 Nov. - Konsep bai'ah dalam Pas mencerminkan sikap sebenar pemimpinnya yang cuba menjadikan Islam sebagai agama yang buruk, suka menekan dan tidak rasional.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sikap itu wujud apabila Pas mula mengajar orang ramai tentang perkara-perkara yang tidak munasabah.
"Sebagai contoh, pemimpin Pas menyatakan sesiapa yang tidak mengundi Pas tidak akan masuk syurga.
''Malah sebelum itu, mereka juga boleh mengampunkan dosa seorang wanita sekiranya berani membuat pengakuan telah melakukan kesalahan, tidakkah itu sama seperti agama tertentu yang dengan mudah menjanjikan pengampunan. Itu sudah salah dengan konsep agama Islam,'' katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ceramah Gender Series Talk on Women's Role in Nation Building anjuran Institut Pengupayaan Wanita NAM (NIEW) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pegangan politik Pas pada masa ini ekoran timbulnya isu amalan bai'ah iaitu ikrar taat setia di kalangan pemimpin Pas bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti.
Dr. Mahathir berkata, sejak dulu, beliau menasihati semua parti supaya jangan sesekali mencampuradukkan politik dengan Islam kerana ia akan membawa ke arah perpecahan.
Menurut beliau, bai'ah itu, jelas memperlekehkan wanita Islam yang seharusnya mereka diletakkan di tempat yang tinggi dan dihormati.
''Tetapi bagi ahli-ahli Pas, mereka dengan sewenang-wenangnya 'melepaskan' wanita semata-mata kerana kepentingan politik. Ini memang ada kaitan dengan polisi politik Pas. Saya tidak percaya dengan konsep itu.


Bai'ah yang diamalkan oleh Pas telah menampakkan wanita dijadikan alat bagi kepentingan politik mereka. Mereka menjahanamkan keluarga demi kepentingan sempit Pas, oleh itu seharusnya semua kaum wanita faham jika telah termasuk di dalam golongan ini amat sukar untuk keluar dari bai'ah tersebut.

No comments:

Post a Comment