Thursday, November 12, 2009

HUBUNGAN BEJING-KL MENUJU ERA BARU KATA HU JINTAO, PRESIDEN CHINA

PUTRAJAYA 11 Nov. - Presiden China, Hu Jintao menganggap hubungan dua hala yang progresif sepanjang tempoh lebih tiga dekad dengan Malaysia banyak menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Malah, beliau percaya hubungan Kuala Lumpur-Beijing yang berusia 35 tahun kini melangkah ke era baru apabila wujud kesepakatan strategik dalam pelbagai hala.
''Saya amat berbesar hati dapat melakukan lawatan ke Malaysia bertepatan dengan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
''Malaysia merupakan sahabat yang baik dan sepanjang tempoh itu, hubungan antara kedua-dua negara serta rakyatnya semakin matang dan kerjasama dalam pelbagai bidang telah membuktikan hakikat itu," katanya.


Beliau bercakap pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Terdahulu Jintao bersama anggota delegasinya mengadakan rundingan dua hala hampir sejam dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra sini.
Jintao berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, mereka berdua mengadakan perbincangan mendalam mengenai kerjasama perdagangan, pelaburan, pembinaan dan sumber tenaga.
''Ini sebagai langkah menangani kesan krisis ekonomi global bagi menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi," katanya.


Presiden China itu berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua negara amat penting kerana Malaysia merupakan rakan dagang terbesar China di ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah RM190.3 bilion.
''Kita bersetuju mengekalkan hubungan di peringkat tertinggi dan akan mengambil langkah berkesan bagi melaksanakan pelan tindakan membabitkan kerjasama strategik itu.
''Kami bersetuju untuk melangkah aktif menuju satu era kerjasama yang baru," katanya.
Selain itu, Jintao berkata, kedua-kedua negara juga sepakat mahu memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, kebudayaan dan pelancongan.

Dengan hubungan yang baik kedua buah negara akan dapat memulihkan ekonomi Malaysia / China dengan perbincangan menjurus kepada kesefahaman yang baik dan dapat membawa keluar negara dari kegawatan ekonomi.

No comments:

Post a Comment