PUTRAJAYA 9 Nov. - Malaysia perlu mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus setahun bagi memastikan matlamat menjadi negara maju menjelang tahun 2020 tercapai.
Perdana Menteri berkata, kadar itu disifatkan realistik dan boleh dicapai selepas negara pulih daripada kesan krisis ekonomi dunia.
"Maknanya kita kena menggandakan usaha bagi mencapai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi dengan mencari sumber-sumber baru.
"Antaranya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta berdasarkan model ekonomi baru yang akan dilancarkan penghujung tahun ini,"katanya,
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan (ICM) Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ke-21 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Ia sempena Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC Malaysia ke-12 yang berlangsung di sini sehingga esok.
Ini kali pertama Najib mempengerusikan mesyuarat tersebut selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada April lalu.
Menurut Perdana Menteri, ekonomi negara yang bergantung kepada pasaran eksport dijangka pulih sepenuhnya sekiranya krisis ekonomi dunia berakhir.
"Setakat ini, kadar pertumbuhan sebenar belum kita keluarkan lagi dan kita masih belum pulih daripada krisis ekonomi dunia.
"Pertumbuhan negara akan berlaku lebih cepat sekiranya ekonomi dunia pulih yang turut meningkatkan permintaan negara barat dan menjadikan sektor pembuatan berjalan lebih baik," katanya.
Terdahulu dalam ucapan pembukaannya, Perdana Menteri berkata, model ekonomi baru berasaskan pendapatan tinggi akan dijana oleh inovasi, kreativiti dan aktiviti bernilai tinggi.
Katanya, pendekatan itu bersesuaian dengan aspirasi MSC Malaysia yang mahu membina industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang bertenaga.
"Kita bertuah kerana mempunyai MSC Malaysia yang menjadi asas bagi membolehkan kita membina sektor teknologi bertaraf dunia.
"Ia akan menjadi enjin pertumbuhan bagi model ekonomi baru," katanya.
Najib berkata, bagi menjadi sebuah negara maju pada 2020, kadar per kapita rakyat perlu digandakan daripada RM25,000 setahun kepada RM61,200 setahun.
"Ini bagi memenuhi spesifikasi sebuah negara maju yang ditetapkan oleh Bank Dunia,"katanya.
Bagi mencapai matlamat itu, Najib berkata, MSC Malaysia menekankan kepada beberapa sektor ICT.
"Kita telah membina jaringan hab multimedia kreatif serantau dengan kira-kira 200 buah syarikat yang menjana pendapatan tahunan sebanyak RM677 juta dalam bidang pasca produksi, animasi, permainan, e-pembelajaran dan kandungan interaktif serta mudah alih.
"Kita perlu mengambil peluang daripada permulaan yang baik ini bagi meraih perkongsian pasaran kandungan global yang lebih besar dianggarkan sejumlah RM2.2 trilion tahun ini," katanya.
Adalah diharapkan keadaan ekonomi negara akan sulih sepenuhnya. Rakyat Malaysia akan terbela dizaman kepimpinan Dato' Seri Najib.
No comments:
Post a Comment