Friday, November 20, 2009

SOAL SAKSI WAKTU PEJABAT - SPRM

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Berkuat kuasa hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh lagi menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat seperti diamalkan sebelum ini.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Mohamad Ariff Md. Yusof dalam penghakiman bersejarah itu berkata, tindakan menahan seorang saksi untuk disoal siasat menjangkaui waktu pejabat adalah satu penahanan secara salah di sisi undang-undang.
Pada hemat hakim itu, peruntukan menyoal siasat saksi ‘sehari-ke-sehari’ seperti tertera dalam Seksyen 30(3)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 tidak bermakna SPRM boleh melakukannya secara berterusan selama 24 jam.
Seksyen itu hanya menyatakan seseorang yang diarahkan oleh SPRM, hendaklah terus hadir membantu siasatan ‘sehari-ke-sehari’ seperti diarahkan.
Hakim Mohamad Ariff menegaskan, oleh kerana tafsiran ‘sehari-ke-sehari’ tidak dinyatakan secara jelas, maka mahkamah tidak boleh memberikan tafsiran secara literal atau mengandaikan ia membawa maksud 24 jam kerana ia boleh mendatangkan kesan terhadap kebebasan seseorang.
Menurut hakim itu, mahkamah juga perlu berhati-hati memberikan tafsiran berhubung perkara yang menyentuh kebebasan seseorang individu.
Lantaran tiadanya tafsiran tersebut, mahkamah merujuk kepada kamus Oxford berhubung definisi ‘sehari-ke-sehari’, kata Hakim Mohamad Ariff.
Berdasarkan kamus tersebut, beliau menyatakan frasa ‘sehari-ke-sehari’ membawa maksud daily basis (asas harian).
Beliau memutuskan demikian ketika membenarkan semakan kehakiman oleh Tan Boon Wah bagi mendapatkan perisytiharan bahawa SPRM hanya boleh menyoal siasat saksi dalam tempoh waktu pejabat antara pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan bukannya selepas tempoh itu.
Hakim Mohamad Ariff turut membenarkan tuntutan ganti rugi oleh plaintif dengan jumlah yang ditaksirkan kemudian selain defendan diperintah membayar kos.
Boon Wah, 39, menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Mohammad Hassan Zulkifli selaku Penolong Penguasa SPRM Selangor dan SPRM sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam afidavit sokongannya, Boon Wah menyatakan, dia dikehendaki hadir di Ibu Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada pukul 8.45 malam, 15 Julai lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan pembelian bendera Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun lalu.
Menurutnya, setelah disoal oleh pegawai-pegawai SPRM, dia hanya dilepaskan pada pukul 1.35 tengah hari keesokan harinya.
Akibat tindakan ejen-ejen defendan itu, dia mendakwa mengalami kerosakan akibat ditahan di luar kemahuannya di dalam premis SPRM di luar masa yang dibenarkan oleh undang-undang pada 15 dan 16 Julai lalu.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Karpal memberitahu, keputusan hari ini bukan sahaja mengikat SPRM tetapi juga memberikan kesan kepada penyiasatan polis.
“Saya berharap mereka yang pernah disiasat oleh SPRM selepas waktu pejabat menyaman suruhanjaya itu,” katanya.


Adalah diharapkan SPRM akan mematuhi undang-undang tersebut kerana semua yang ditahan itu cuma dituduh dan bukan didapati bersalah. Banyak kes ditahan sampai besok sehari suntuk di tahan SPRM tetapi baru dituduh atau dilapurkan mereka yang sakit hati kepada beliau, ia akan terjerat dalam kes tersebut. Dalam keadaan tersebut mereka akan menghadapi tekanan dan apabila berdepan dengan masyarakat semuanya gara-gara disiasat oleh SPRM sahaja, tuduhan bersalam belum tahu lagi atau tindakan undang-undang belum tentu lagi.

No comments:

Post a Comment