Friday, November 13, 2009

EKONOMI NEGARA DIJANGKA TUMBUH POSITIF TAHUN HADAPAN

KUALA LUMPUR - Ekonomi negara diunjurkan kembali pulih dengan jangkaan pertumbuhan positif antara dua dan tiga peratus tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin. Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi itu dicapai dengan kedudukan defisit kewangan kerajaan yang dijangka lebih baik, pada paras 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 7.4 peratus tahun ini. “Akaun semasa dijangka terus mencatatkan lebihan yang besar berjumlah RM91 bilion pada 2010,” katanya menjawab soalan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang).

Charles bertanyakan mengenai rancangan kerajaan bagi mengatasi kemelesetan ekonomi sekiranya bentuk pemulihan ekonomi dunia bertukar daripada 'U' ke 'W' seperti yang diramal oleh ahli ekonomi. Awang Adek berkata, untuk tahun depan, ekonomi dunia kembali berkembang kukuh pada kadar 3.1 peratus, termasuk perdagangan dunia yang dijangka kembali pulih pada 2.5 peratus berbanding penguncupan 11.9 peratus tahun lepas.

“Sejajar perkembangan ekonomi dan perdagangan dunia yang semakin pulih serta pelaksanaan segera dan berkesan dua Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) serta pelonggaran dasar monetari, KDNK sudah beransur pulih, menyusut pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 3.9 peratus dalam tempoh suku kedua 2009 setelah menguncup ketara sebanyak negatif 6.2 peratus dalam tempoh suku pertama. “Bagi keseluruhan tahun 2009, KDNK diunjur negatif 3.0 peratus iaitu lebih baik daripada anggaran awal antara negatif 4 peratus hingga negatif 5 peratus yang diumumkan pada 28 Mei lepas,” katanya. Awang Adek berkata, Bajet 2010 yang dibentangkan baru-baru ini, berupaya mencergaskan ekonomi negara serta menjadi asas kepada pembentukan model ekonomi baru. - Bernama

Ia menampakkan pemilihan ekonomi negara. Sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersama-sama membantu memulihkan ekonomi dan menyokong saranan supaya negara terus maju di bawah konsep 1 Malaysia.

No comments:

Post a Comment